Monday, December 16, 2013

Rapuhnya emosi

Terdetik dalam hati, masalah sebegini bukanlah baru dalam dunia anak muda. Malah ramai yang terperangkap dalam cinta berlainan agama yang akhirnya terkandas kerana salah seorangnya belum bersedia untuk bertukar agama.
Jika ada yang berjaya, sudah tentu kebahagiaan mengiringi majlis perkahwinan itu, namun kepada mereka yang tidak berjaya meyakinkan pasangan untuk memeluk Islam sebelum berkahwin, kekecewaan dan gangguan emosi akan berlaku untuk berdepan perasaan dan konflik itu, antara cinta dan tuntutan agama.
Cerita pengirim e-mel juga Ejen Gen Y kepada penulis, dia mencintai seorang lelaki yang amat baik pada pandangannya. Bukan saja baik, namun lelaki itu penyayang dan begitu menghormati dirinya.

Namun hanya satu masalah yang ada, dia bukan Islam. Mereka saling mencintai dan sesuatu yang pasti kata pengirim e-mel ini lagi, lelaki itu punya keserasian dan persefahaman sepanjang lebih dua tahun menjalin cinta.

Bagaimanapun, walau sejauh mana lelaki itu mencintai dirinya, dia tidak mahu menukar agama dengan alasan dia akan kehilangan keluarga terutama ibu bapanya kerana mereka tidak merestui perhubungannya dengan gadis beragama Islam.

Apa yang merisaukannya ialah lelaki itu adalah anak sulung dan anak tunggal lelaki dalam keluarganya. Lelaki itu adalah harapan dan tonggak utama kepada keluarga terutamanya si ibu. Walaupun sudah menjelaskan keistimewaan dan keindahan Islam, dia benar-benar tidak mampu mengecewakan ibunya dan meminta agar kami hanya kekal begitu sebagai pasangan kekasih.

Gadis ini semakin buntu. Dia mencintai kekasihnya itu, namun tidak sanggup menggadaikan agama kerana rasa sayang kepadanya.

Gen Y meneliti sedalam-dalamnya konflik cinta ini dan merujuk kepada beberapa pakar yang sesuai. Penyelesaian yang ada hanya satu, ia bergantung kepada diri sendiri dan bagaimana kamu merencanakan tekanan yang ada.


Semakin sulit

Jelas sekali, kamu menghadapi tekanan dan konflik antara tuntutan emosi dengan agama. Jawapannya sangat jelas. Jika kekasih kamu ingin berkahwin dengan kamu, dia perlu memeluk agama Islam terlebih dulu kerana itu adalah hukum Allah yang tidak mampu sesiapa belakangkan.

Ketakutan kekasih kamu untuk bertukar agama kerana tidak mahu kehilangan keluarga dan ibu bapanya adalah petunjuk yang dia belum bersedia untuk menjadi seorang Muslim dan mencintai kamu sepenuh jiwanya.

Kesan kepada ketidaksediaan teman lelaki kamu untuk menukar agamanya kepada Islam ialah kamu perlu bersedia untuk menghadapi kesan perpisahan dari sudut emosi kerana memutuskan hubungan dan melupakan seseorang memang sukar.

Ia menuntut kesediaan emosi dan psikologi yang tinggi. Jelasnya, kamu perlu lalui itu semua dengan perasaan tenang dan kuatkan semangat. Secara realitinya untuk melupakan seseorang yang sudah terjalin hubungan emosi sukar dilakukan.

Sesuatu perhubungan berkonflik jika diteruskan akan lebih merumitkan pada kesudahannya. Jika perhubungan kamu itu tanpa ada kesudahan yang dibenarkan dalam agama, ia akan lebih menyulitkan pada masa akan datang. Itu adalah faktanya.

Semakin lama masa yang perlu diambil kekasih kamu untuk membuat keputusan, semakin meletakkan perhubungan kamu berdua dalam situasi sukar.

Semakin lama jalinan jiwa, rasa dan emosi bertaut antara kamu dan teman lelaki, semakin menyulitkan keadaan. Mintalah kekasih kamu membuat keputusan segera. Apapun keputusannya, kamu perlu bersedia menghadapinya.

Teman lelaki kamu perlu tahu yang Islam itu indah. Jika dia tidak yakin dan percaya, itu petanda yang sememangnya dia belum bersedia. Jelaskan: “Kalau kamu sayangkan saya, kamu perlu memeluk Islam dan kalau kamu tidak mampu memeluk Islam atas apa saja alasan, saya rasa kita perlu putus.”

Perlu ada penegasan kerana jika semakin lama kamu bermain dengan masa, lebih parah luka yang dihadapi nanti.

Semanis mana pun hubungan kamu berdua, batasan antara perkara boleh dan dilarang dalam Islam dalam sesuatu perhubungan itu perlu wujud. Itu adalah hukum dan jangan sekali sengaja melupakannya.

No comments:

Post a Comment