Monday, December 2, 2013

Pengakhiran, sayangku

Setiap baris bimbingan abah, aku tiada lupa. Sampai kini pun aku ingat setiap apa yang dia lentur padaku. Begitu juga ibu. Setiap teguran aku simpan rapi di dalam kotak hati. Kini, sudah menjelang tiba pula saat di mana aku dan Nasuha berbuat benda yang sama terhadap keluarga kami, bilamana kami mendirikan rumah tangga nanti.
Aku ingin meneladani abah. Ingin seperti dia, menguruskan sebuah rumah tangga yang berjaya. Abah dijadikan ku contoh untuk pembelajaran masa hadapan, sebagai ‘role model’ yang teragung. Aku memilihnya kerana aku percaya, darah yang mengalir dalam tubuhku adalah darah miliknya. 
Dialah lelaki sanjungan hati ini. Dia terpilih sebagai guru dalam hidup ini. Aku percaya, dalam galur perjalanan, sememangnya hidup penuh cabaran. Dalam rentak perjuangan yang tiada penghujung, sesungguhnya laluannya penuh getir. 

Dalam menongkah sekelumit kemenangan, tidak dapat tidak diri ini diuji, hati diduga, emosi dicarik rabak. Lantaran aku sedar diri hanya manusia biasa. Memandangkan aku hamba Allah yang kerdil cuma.

Kadang-kadang tewas mendepani kemelut. Sering kali goyah mengharung onak dan duri. Namun, Tuhan begitu baik. Membantu aku senantiasa. Mengurniakan aku abah, ibu, juga keluarga yang sempurna daripada kasih dan sayangnya.

Kerana merekalah jiwa aku perkasa seperti hari ini. Sebagaimana ombak yang menghempas pantai, sebagaimana karang laut di gelodak badai, hendaknya aku kini gagah melawan ombak, hendaknya hati ini gigih menerjang badai. 

Aku ingat kata-kata yang abah petik daripada al-Quran padaku: “Dan sesungguhnya akan Aku berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah: 155) 

Kesabaran itu berjaya aku semai dalam diri dengan adanya keluarga berserta orang tua yang begitu memahami. Walaupun sedikit gentar pada dunia namun pertalian erat bersama mereka membuat diri ini teguh. 


Menilik kembara 

Terima kasih Tuhan kerana Engkau mengurniakan aku seorang abah yang baik. Kerana dia, aku menjadi insan berjiwa besar. Kerana dia juga aku berubah kepada manusia berhati waja. Terima kasih juga kerana Engkau banyak membantu aku. 

Setiap doa yang aku ucap tak kira masa, kau menyahut. Ternyata betul, apa juga kemungkinan yang datang, terselit hikmah di sebaliknya. Kerana Engkau dan juga abah, aku berjaya meniti tiap-tiap anak tangga kehidupan. 

Kalian adalah pria pilihanku. Terima kasih atas segala-galanya. Untuk keluarga ini, Abang Afie, abah, ibu, juga tak ketinggalan Nasuha, yang kini bergelar seorang pensyarah di sebuah universiti terkemuka. 

Sekarang baru aku berhasil menilai hidup. Baru aku berkebolehan menilik kembara ini. Baru aku mempunyai sakti merenung tajam dunia fana ini. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih yang tak terhingga, Ya Tuhan kerana Engkau juga aku mampu berjawatan sebagai seorang pengurus kilang papan. 

Meskipun gelaran ini tiadalah megah, namun rencana-Mu begitu sempurna. Tiada cacat celanya. Aku begitu bersyukur. Terima kasih juga untuk kasih dan sayang yang Engkau wujudkan dalam keluarga kami. Segala-galanya amatlah bermakna. Cernalah ayat-ayat ini dalam kehidupan seharianmu. 

Rasa kasih dan rasa sayang sebenarnya satu perasaan indah, kurniaan Tuhan. Tiada tanding nilainya, sebagai bekal dalam mengharungi badai dan gelombang hidup. Bohong andai manusia tidak memiliki rasa kasih dan rasa sayang sesama makhluk. 

Tidak benar jika manusia tidak memerlukan rasa kasih dan rasa sayang dalam perjalanan kehidupan. Satu kepelikan sekiranya manusia tidak memahami rasa kasih dan rasa sayang yang wujud dalam sanubari setiap insan. Hargailah rasa itu, yang dihadirkan dalam diri masing-masing. 

Sesungguhnya ‘kasih sayang manusia pudar menjelang hari, tetapi kasih sayang Allah SWT tetap kekal abadi’. Carilah sayang-Nya!

No comments:

Post a Comment