Monday, December 16, 2013

Perkasa siswa ringan tangan

Kegiatan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan tidak seharusnya dibebankan kepada agensi kerajaan dan NGO saja, sebaliknya semua lapisan masyarakat perlu tampil mengikut kadar keupayaan masing-masing. Ini termasuk mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) bersama-sama menjayakannya.
Sebagaimana yang kita sedia maklumi bahawa mahasiswa sebagai golongan terpelajar di menara gading tidak harus dikecualikan semata-mata dengan tanggapan yang golongan itu mesti menumpukan kepada pengajian. Melakukan kerja sukarelawan akan membenihkan nilai tambah kepada jati diri mahasiswa, sekali gus mampu membina tapak asas yang mantap sebagai seorang berperibadi unggul. Selangkah sederap bersama rakyat mesti menjadi slogan golongan terpelajar ini Kini, mahasiswa dan aktiviti sukarelawan bukan lagi sesuatu yang asing, malah perkembangannya begitu positif apabila wujud kesedaran tinggi dalam kalangan mahasiswa terhadap kepentingan aktiviti kesukarelawan. Ini ciri insan dikehendaki dalam Islam yang sentiasa bersikap prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Mantap jiwa penyayang Pemupukan mahasiswa yang berjiwa ringan tangan untuk membantu insan lain sewajar diperkasakan dari semasa ke semasa kerana impaknya sangat baik dalam visi menzahirkan modal insan yang bukan saja tinggi daya inteleknya tetapi juga mantap jiwa penyayang.
Kita boleh lihat bagaimana mahasiswa negara turun padang bersama masyarakat kampung yang mengalami bencana banjir, baru-baru ini. Dikatakan 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang ( UMP ) meninggalkan dewan kuliah demi menghulurkan tenaga membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir.

Demikian juga dengan IPT lain yang menghantar mahasiswa mereka masing-masing ke pelbagai lokasi dan situasi sebegini sewajarnya kita puji kerana generasi muda seperti mahasiswa begitu cakna dengan penderitaan rakyat.

Ciri-ciri nilai keinsanan seperti itu amat diperlukan untuk merealisasikan kelompok barisan pelapis dalam menerajui kepemimpinan negara nanti. Bergiat aktif dan tersusun dalam kegiatan kesukarelawan bolehlah kita sifatkan sebagai medan memberi latihan tidak formal yang berupaya membina golongan muda menjadi pemimpin berjiwa rakyat dan prihatin terhadap isu semasa.
Semangat membabitkan diri dalam aktiviti kesukarelawan bertambah mendalam dan kegiatannya dilihat semakin terancang selepas penubuhan Majlis Kesukarelawan Universiti-Universiti Malaysia atau ringkasnya Maksum. Maksum tampil sebagai penggerak utama menjayakan program kesukarelawan yang membabitkan mahasiswa. Politeknik pula kini mereka sudah pun mempunyai platform tersendiri dalam menggerakkan pelajarnya dalam aktiviti kesukarelawan. Penubuhan Sukarelawan Yayasan Politeknik Malaysia atau’ Yes’ selari hasrat kerajaan melahirkan mahasiswa muda negara yang kaya dengan amalan kesukarelawan. Malah, dalam kejadian banjir besar baru-baru ini, kita dapat saksikan bagaimana pelajar politeknik terbabit sama mengharung arus deras banjir dalam visi memberikan bantuan.

Bertempat di SMK Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini, anak muda warga kampus politeknik berkampung di sekitar pusat pemindahan mangsa banjir bersama pelbagai agensi kerajaan lain. Sesungguhnya, pembabitan mahasiswa pastinya membuahkan natijah positif kepada membina suatu generasi pelajar berjiwa penyayang, sarat dengan nilai kemanusiaan tinggi. Denyut nadi dan air mata masyarakat kampung yang tertimpa bencana pastinya dapat diselami dengan mata kepala sendiri oleh mereka, lalu ini pastinya memberikan kesedaran dan keinsafan kepada golongan terpelajar betapa mereka juga wajar bersama turun membantu.
Di samping itu, dirasakan amat patut pihak swasta bersama mahasiswa dalam menyemarakkan kegiatan kesukarelawan dengan menaja atau melaksanakannya secara kongsi-sama sesuatu program. Hal ini pernah dilakukan sebuah syarikat jenama pemakanan kesihatan terkenal yang membawa sekumpulan mahasiswa Malaysia untuk program komuniti di Thailand. Jadi, kejayaan syarikat itu membina jaringan bersama IPT dalam mengetengahkan sesuatu program kesukarelawan pada peringkat serantau seharusnya membuka mata pihak swasta lain untuk turut sama menjayakannya.

Serlah sifat kemanusiaan Sesungguhnya menerusi pembabitan aktif generasi muda di IPT dalam aktiviti sukarela akan mampu menyerlahkan landskap budaya sosial lebih bersifat kemanusiaan dan ini perwatakan yang kita hendak lihat wujud dalam kalangan mereka supaya mempunyai perasaan mementingkan insan lain yang memerlukan bantuan sentiasa berada di ruang legar pemikiran. Ingatlah bahawa Allah menganjurkan kita supaya berlumba dan berebut peluang untuk berbuat amal kebaikan dan kebajikan. Pesan Allah kepada kita semua, ‘Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.’ (Maksud Surah Al-Maidah ayat 2) Penulis guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu

No comments:

Post a Comment