Thursday, December 19, 2013

Get Your Head Around Migraines Infographic

Precision tinted lenses have been used widely to reduce visual perceptual distortions in poor readers, and are increasingly used for migraine relief, but until now the science behind these effects has been unclear. Now research uses functional magnetic resonance imaging (fMRI) for the first time to suggest a neurological basis for these visual remedies for migraine relief.
Read the full-length article: Study Finds That Tinted Specs Offer Migraine Relief
Research has shown that pressure to the P6 antiemetic point on the inner wrist with an acupressure wristband is an effective and quick therapy for relieving of migraine nausea.
Read the full-length article: Acupressure Wristband Effective For Relieving Migraine Nausea
Get Your Head Around Migraines Infographic
Get Your Head Around Migraines Infographic

ORANG SOLEH DIRINDUI KUBURNYA

Kubur Rindukan Anak Adam Yang Soleh
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sekali Rasulullah SAW. masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong.
Lalu baginda bersabda yang bermaksud : “Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, nescaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian.”
“Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, ‘aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing.”
“Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, ‘marhaban wa ahlan’ (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu.”
Sambung Nabi, “Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke syurga..”
“Dan apabila dikebumikan hamba yang berdosa dan kafir, maka kubur berkata kepadanya, ‘la marhaban wa la ahlan’ (yakni tidak diundang dan tidak diterima kehadirannya).’ Engkaulah antara mereka yang paling aku benci yang berjalan di atas belakangku selama ini. Dan apabila aku menerima kamu hari ini, kamu akan saksikan apa yang bakal aku lakukan terhadapmu.”
Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Maka kubur pun sedikit demi sedikit mula menghimpit tubuhnya hingga bertemu rapatlah segala tulang belulangnya.”
Rasulullah mengepal jari-jarinya lalu menyambung, ” Dihantarkan kepadanya tujuh puluh ular besar lagi berbisa, jika seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas muka bumi ini, nescaya tidak akan tumbuh sesuatu apa pun. Selama mana baki dunia ini, maka selama itulah dia akan dibelit dan dipagut ular-ular itu hinggalah tiba hari perhitungan (Yaumul Hisab).”
Nabi SAW bersabda lagi maksudnya :
“Kubur itu samaada sebuah taman syurga ataupun sebuah lubuk api neraka.”
(Hadis Riwayat Abu Sa’id Al-Khudri r.a)
Sahabat yang dikasihi,
Abu Umamah r.a. berkata : “Rasulullah SAW. telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah SAW. memberitahu tentang kelebihan Al-Quran.”
Telah bersabda Rasulullah SAW: “Belajarlah kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. “Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, “Kenalkah kamu kepadaku?”
Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : “Siapakah kamu?”
Maka berkata Al-Quran : “Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari.”
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu: “Adakah kamu Al-Quran?”
Lalu Al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah SWT. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : “Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?”
Lalu dijawab : “Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Quran.”

7 alasan orang malas bersenam

Terdapat salah faham dikalangan majoriti masyarakat Malaysia mengenai idea ‘bersenam’ dan erti ‘gaya hidup sihat’. Berikut adalah beberapa alasan yang selalu kita dengar dan respon mengenai cara untuk mengelaknya.

Alasan #1 – “Saya sangat sibuk, mana ada masa nak bersenam!”

Anda tidak akan pernah sibuk untuk bersenam! Bersenam ialah suatu kewajipan selagi kita masih hidup (dan jika mahu hidup panjang!). Jika anda sangat sibuk dan langsung tidak ada masa untuk luangkan masa ‘berharga’ anda walaupun 20 minit sehari, jadilah lebih aktif! Gunakan tangga berbanding lif. Cuba kurangkan penggunaan kenderaan. Jika sangat perlu, letak kereta anda sejauh mungkin supaya anda masih perlu berjalan ke destinasi yang anda ingin tuju.
Okay anda mungkin berpendapat bahawa perkara-perkara ini adalah ‘remeh’ dan tidak mungkin membantu anda dalam mencapai objektif anda. Tetapi, jika anda mengambil langkah-langkah ini setiap hari, ianya akan memberi kesan lebih dalam jangka panjang! Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit juga kan!

Alasan #2 – “Buat apa bersenam? Saya telah ditakdirkan sebagai seorang gemuk!”

Saya berpendapat bahawa ini merupakan alasan yang tidak boleh diterima sama sekali! Ia seperti mengaku bahawa ada yang tidak kena tentang diri anda tetapi anda tidak mahu mengambil langkah proaktif untuk mengubahnya kerana menganggap bahawa ianya suatu yang telah ‘sebati’ dalam diri anda. Saya percaya setiap personaliti yang anda baca di ruangan ‘Success Stories’ di Kevin Zahri mempunyai pendapat yang sama berkenaan ini.
Kadangkala, kegemukan bukanlah kesalahan individu itu sendiri, ianya sesuatu yang dikongsi bersama. Ianya disebabkan oleh kebiasaan yang dipupuk dari kecil. Ingat tak pesan, kalau makan, makan sampai kenyang kan? Bersenam juga dianggap sebagai perkara yang tidak wajib oleh kebanyakan masyarakat kita. Sama juga bagi mereka yang kurus disebabkan kadar metabolism tinggi, senaman masih juga relevan dan penting!
Percayalah cakap saya, jika anda mempunyai azam untuk berubah anda pasti boleh mencapainya. Yang penting sekali, anda perlu ubah persepsi dan berhenti menyalahkan diri anda terhadap keadaan diri anda sekarang. Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!
Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!

Alasan #3 – “Saya diet, tak payah bersenam lah!”

Perkataan ‘diet’ ialah salah satu terma yang paling gemar digunakan dan juga ‘disalahguna’ oleh orang ramai yang cuba untuk mengurangkan berat badan! Diet tak bermakna anda ‘berpuasa’ dan mengikat perut anda dari makanan.
‘Diet’ sebenarnya ialah jumlah makanan yang diambil oleh seseorang. Setiap individu mempunyai jumlah nilai kalori harian (DCR) berlainan bergantung kepada fizikal badan dan juga gaya hidup seseorang itu (sama ada aktif atau tidak). Sudah tentu, tidak mustahil bagi seseorang itu untuk mengurangkan berat badan dengan hanya berdiet. Tetapi ianya sangat tidak disyorkan kerana seseorang itu perlu sangat berdisiplin dalam pengambilan makanan. Terdapat juga kemungkinan besar untuk berasa lapar dan akhirnya anda mungkin terlebih makan kerana tersangat lapar! Oleh itu, ‘diet seimbang’ sangat disyorkan oleh majoriti pakar nutrisi yang meliputi diet (‘reduced calorie diet’) dan senaman. Tahukah anda bersenam membantu anda mengurangkan nafsu makan?

Alasan #4 – “Saya tak mahu pergi gym, saya tak mahu badan ‘besar’ macam ahli bina badan!”

Mungkin ini salah satu sebab kenapa kurangnya pengunjung perempuan di gimnasium. Kaum wanita sangat risau jika tubuh badan mereka akan berotot seperti lelaki bina badan. Jangan risau, kebanyakan lelaki juga mempunyai kerisauan yang sama kerana tidak mahu kelihatan ‘besar’ macam ‘weightbuilder’.
Sebenarnya, bukan senang untuk seseorang kelihatan seperti ahli bina badan. Ianya adalah proses yang mengambil masa yang agak panjang dan diet mereka sangat berbeza berbanding mereka yang hanya pergi gym untuk menjadi sihat dan meningkatkan kesihatan diri. Jadi anda tak perlu risau!
Perempuan dan lelaki juga mempunyai fisiologi yang berbeza. Kepada kaum wanita, bentuk badan anda akan menjadi lebih menarik kerana latihan di gym membantu membakar lemak badan. Jangan jadikan alasan ini untuk tidak mahu pergi ke gym lagi okay?

Alasan #5 – “Bencilah bersenam! Tak suka!”

Saya suka berlari. Mungkin anda tidak suka berlari. Anda mungkin mempunyai aktiviti yang anda minat yang mungkin anda sendiri tidak tahu lagi. Yang penting di sini, jangan mudah berhenti dan berputus asa. Teruskan bersenam dengan pelbagai aktiviti yang anda boleh cari dan cuba. Kawan saya dah berhenti berlari dengan saya selepas beberapa minggu dan sekarang masuk kelas ‘pole dancing’. Tak kisahlah apa pun yang anda buat, cuma pastikan ianya sesuatu yang aktif dan membuat anda berpeluh!

Alasan #6 – “Buat penat saja exercise, tak ada beza apa-apa pun!”

Ramai orang putus asa dan berhenti bersenam sepenuhnya sebab tak nampak apa-apa pun beza selepas penat bersenam selama beberapa minggu. Banyak faktor yang menyebabkan kenapa ianya berlaku tetapi ianya boleh disimpulkan kepada satu sahaja, iaitu pengetahuan asas mengenai senaman.
Senaman akan menjadikan anda lebih sihat dan fit tetapi tidak akan membantu anda mengurangkan berat badan jika anda masih teruskan dengan diet anda yang biasa. Anda perlu tahu tentang konsep pemakanan sihat, dan juga tips mengenai senaman supaya anda boleh mencapai objektif anda secara efektif. Ingat, kualiti selalunya lebih penting dari kuantiti!

Alasan #7 – “Susahlah nak teruskan bersenam!”

Ada juga yang mahu bersenam tapi susah nak jadikan ianya satu amalan. Banyak sebab kenapa situasi ini boleh terjadi. Lazimnya ia mungkin disebabkan oleh terlalu memaksa diri untuk mencapai suatu objektif. Saya ingat lagi dahulu betapa azabnya untuk berlari hanya sejauh 1km tanpa henti. Ianya semuanya proses yang mengambil masa. Sekali lagi, ianya sangat bergantung kepada psikologi anda.
Betapa banyak anda mahu mencapai objektif tersebut. Saya selalu ingatkan diri saya untuk buat yang terbaik setiap kali bersenam kerana saya yakin setiap kali bersenam ialah satu kejayaan terhadap diri saya. Tak ramai orang yang sanggup bangun dari sofa dan keluar rumah hanya untuk pergi bersenam bukan?
Akhir sekali, kita perlu ingat bahawa seseorang tidak akan berubah kerana apa yang mereka sudah ketahui, tetapi apa yang mereka rasa tentang sesuatu. Seorang perokok tidak akan berhenti merokok kerana tahu merokok membahayakan kesihatan atau mungkin menyebabkan kanser, tetapi berhenti kerana merasakan sesuatu yang tidak kena tentang tabiat tersebut.

Monday, December 16, 2013

Rapuhnya emosi

Terdetik dalam hati, masalah sebegini bukanlah baru dalam dunia anak muda. Malah ramai yang terperangkap dalam cinta berlainan agama yang akhirnya terkandas kerana salah seorangnya belum bersedia untuk bertukar agama.
Jika ada yang berjaya, sudah tentu kebahagiaan mengiringi majlis perkahwinan itu, namun kepada mereka yang tidak berjaya meyakinkan pasangan untuk memeluk Islam sebelum berkahwin, kekecewaan dan gangguan emosi akan berlaku untuk berdepan perasaan dan konflik itu, antara cinta dan tuntutan agama.
Cerita pengirim e-mel juga Ejen Gen Y kepada penulis, dia mencintai seorang lelaki yang amat baik pada pandangannya. Bukan saja baik, namun lelaki itu penyayang dan begitu menghormati dirinya.

Namun hanya satu masalah yang ada, dia bukan Islam. Mereka saling mencintai dan sesuatu yang pasti kata pengirim e-mel ini lagi, lelaki itu punya keserasian dan persefahaman sepanjang lebih dua tahun menjalin cinta.

Bagaimanapun, walau sejauh mana lelaki itu mencintai dirinya, dia tidak mahu menukar agama dengan alasan dia akan kehilangan keluarga terutama ibu bapanya kerana mereka tidak merestui perhubungannya dengan gadis beragama Islam.

Apa yang merisaukannya ialah lelaki itu adalah anak sulung dan anak tunggal lelaki dalam keluarganya. Lelaki itu adalah harapan dan tonggak utama kepada keluarga terutamanya si ibu. Walaupun sudah menjelaskan keistimewaan dan keindahan Islam, dia benar-benar tidak mampu mengecewakan ibunya dan meminta agar kami hanya kekal begitu sebagai pasangan kekasih.

Gadis ini semakin buntu. Dia mencintai kekasihnya itu, namun tidak sanggup menggadaikan agama kerana rasa sayang kepadanya.

Gen Y meneliti sedalam-dalamnya konflik cinta ini dan merujuk kepada beberapa pakar yang sesuai. Penyelesaian yang ada hanya satu, ia bergantung kepada diri sendiri dan bagaimana kamu merencanakan tekanan yang ada.


Semakin sulit

Jelas sekali, kamu menghadapi tekanan dan konflik antara tuntutan emosi dengan agama. Jawapannya sangat jelas. Jika kekasih kamu ingin berkahwin dengan kamu, dia perlu memeluk agama Islam terlebih dulu kerana itu adalah hukum Allah yang tidak mampu sesiapa belakangkan.

Ketakutan kekasih kamu untuk bertukar agama kerana tidak mahu kehilangan keluarga dan ibu bapanya adalah petunjuk yang dia belum bersedia untuk menjadi seorang Muslim dan mencintai kamu sepenuh jiwanya.

Kesan kepada ketidaksediaan teman lelaki kamu untuk menukar agamanya kepada Islam ialah kamu perlu bersedia untuk menghadapi kesan perpisahan dari sudut emosi kerana memutuskan hubungan dan melupakan seseorang memang sukar.

Ia menuntut kesediaan emosi dan psikologi yang tinggi. Jelasnya, kamu perlu lalui itu semua dengan perasaan tenang dan kuatkan semangat. Secara realitinya untuk melupakan seseorang yang sudah terjalin hubungan emosi sukar dilakukan.

Sesuatu perhubungan berkonflik jika diteruskan akan lebih merumitkan pada kesudahannya. Jika perhubungan kamu itu tanpa ada kesudahan yang dibenarkan dalam agama, ia akan lebih menyulitkan pada masa akan datang. Itu adalah faktanya.

Semakin lama masa yang perlu diambil kekasih kamu untuk membuat keputusan, semakin meletakkan perhubungan kamu berdua dalam situasi sukar.

Semakin lama jalinan jiwa, rasa dan emosi bertaut antara kamu dan teman lelaki, semakin menyulitkan keadaan. Mintalah kekasih kamu membuat keputusan segera. Apapun keputusannya, kamu perlu bersedia menghadapinya.

Teman lelaki kamu perlu tahu yang Islam itu indah. Jika dia tidak yakin dan percaya, itu petanda yang sememangnya dia belum bersedia. Jelaskan: “Kalau kamu sayangkan saya, kamu perlu memeluk Islam dan kalau kamu tidak mampu memeluk Islam atas apa saja alasan, saya rasa kita perlu putus.”

Perlu ada penegasan kerana jika semakin lama kamu bermain dengan masa, lebih parah luka yang dihadapi nanti.

Semanis mana pun hubungan kamu berdua, batasan antara perkara boleh dan dilarang dalam Islam dalam sesuatu perhubungan itu perlu wujud. Itu adalah hukum dan jangan sekali sengaja melupakannya.

Perkasa siswa ringan tangan

Kegiatan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan tidak seharusnya dibebankan kepada agensi kerajaan dan NGO saja, sebaliknya semua lapisan masyarakat perlu tampil mengikut kadar keupayaan masing-masing. Ini termasuk mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) bersama-sama menjayakannya.
Sebagaimana yang kita sedia maklumi bahawa mahasiswa sebagai golongan terpelajar di menara gading tidak harus dikecualikan semata-mata dengan tanggapan yang golongan itu mesti menumpukan kepada pengajian. Melakukan kerja sukarelawan akan membenihkan nilai tambah kepada jati diri mahasiswa, sekali gus mampu membina tapak asas yang mantap sebagai seorang berperibadi unggul. Selangkah sederap bersama rakyat mesti menjadi slogan golongan terpelajar ini Kini, mahasiswa dan aktiviti sukarelawan bukan lagi sesuatu yang asing, malah perkembangannya begitu positif apabila wujud kesedaran tinggi dalam kalangan mahasiswa terhadap kepentingan aktiviti kesukarelawan. Ini ciri insan dikehendaki dalam Islam yang sentiasa bersikap prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Mantap jiwa penyayang Pemupukan mahasiswa yang berjiwa ringan tangan untuk membantu insan lain sewajar diperkasakan dari semasa ke semasa kerana impaknya sangat baik dalam visi menzahirkan modal insan yang bukan saja tinggi daya inteleknya tetapi juga mantap jiwa penyayang.
Kita boleh lihat bagaimana mahasiswa negara turun padang bersama masyarakat kampung yang mengalami bencana banjir, baru-baru ini. Dikatakan 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang ( UMP ) meninggalkan dewan kuliah demi menghulurkan tenaga membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir.

Demikian juga dengan IPT lain yang menghantar mahasiswa mereka masing-masing ke pelbagai lokasi dan situasi sebegini sewajarnya kita puji kerana generasi muda seperti mahasiswa begitu cakna dengan penderitaan rakyat.

Ciri-ciri nilai keinsanan seperti itu amat diperlukan untuk merealisasikan kelompok barisan pelapis dalam menerajui kepemimpinan negara nanti. Bergiat aktif dan tersusun dalam kegiatan kesukarelawan bolehlah kita sifatkan sebagai medan memberi latihan tidak formal yang berupaya membina golongan muda menjadi pemimpin berjiwa rakyat dan prihatin terhadap isu semasa.
Semangat membabitkan diri dalam aktiviti kesukarelawan bertambah mendalam dan kegiatannya dilihat semakin terancang selepas penubuhan Majlis Kesukarelawan Universiti-Universiti Malaysia atau ringkasnya Maksum. Maksum tampil sebagai penggerak utama menjayakan program kesukarelawan yang membabitkan mahasiswa. Politeknik pula kini mereka sudah pun mempunyai platform tersendiri dalam menggerakkan pelajarnya dalam aktiviti kesukarelawan. Penubuhan Sukarelawan Yayasan Politeknik Malaysia atau’ Yes’ selari hasrat kerajaan melahirkan mahasiswa muda negara yang kaya dengan amalan kesukarelawan. Malah, dalam kejadian banjir besar baru-baru ini, kita dapat saksikan bagaimana pelajar politeknik terbabit sama mengharung arus deras banjir dalam visi memberikan bantuan.

Bertempat di SMK Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini, anak muda warga kampus politeknik berkampung di sekitar pusat pemindahan mangsa banjir bersama pelbagai agensi kerajaan lain. Sesungguhnya, pembabitan mahasiswa pastinya membuahkan natijah positif kepada membina suatu generasi pelajar berjiwa penyayang, sarat dengan nilai kemanusiaan tinggi. Denyut nadi dan air mata masyarakat kampung yang tertimpa bencana pastinya dapat diselami dengan mata kepala sendiri oleh mereka, lalu ini pastinya memberikan kesedaran dan keinsafan kepada golongan terpelajar betapa mereka juga wajar bersama turun membantu.
Di samping itu, dirasakan amat patut pihak swasta bersama mahasiswa dalam menyemarakkan kegiatan kesukarelawan dengan menaja atau melaksanakannya secara kongsi-sama sesuatu program. Hal ini pernah dilakukan sebuah syarikat jenama pemakanan kesihatan terkenal yang membawa sekumpulan mahasiswa Malaysia untuk program komuniti di Thailand. Jadi, kejayaan syarikat itu membina jaringan bersama IPT dalam mengetengahkan sesuatu program kesukarelawan pada peringkat serantau seharusnya membuka mata pihak swasta lain untuk turut sama menjayakannya.

Serlah sifat kemanusiaan Sesungguhnya menerusi pembabitan aktif generasi muda di IPT dalam aktiviti sukarela akan mampu menyerlahkan landskap budaya sosial lebih bersifat kemanusiaan dan ini perwatakan yang kita hendak lihat wujud dalam kalangan mereka supaya mempunyai perasaan mementingkan insan lain yang memerlukan bantuan sentiasa berada di ruang legar pemikiran. Ingatlah bahawa Allah menganjurkan kita supaya berlumba dan berebut peluang untuk berbuat amal kebaikan dan kebajikan. Pesan Allah kepada kita semua, ‘Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.’ (Maksud Surah Al-Maidah ayat 2) Penulis guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu

Anak Melayu usah sentimental

Hong Kong adalah bandar pelabuhan entreport terpenting di Asia. Ia pintu masuk kepada pasaran Tanah Besar China dengan mobiliti pasaran 1.4 bilion penduduk, hampir seperempat penduduk dunia.
Hong Kong sangat berpengaruh dalam perdagangan antarabangsa dengan pengukuhan pelabuhan Shanghai di utara, Osaka di timur laut dan Singapura di selatan. Mereka membentuk sebuah pakatan yang dinamik berpandukan paksi kemegahan Naga Asia Timur.

Selain melabuhkan barangan, kapal pelbagai saiz mendaratkan ribuan kelasi kapal yang sudah beberapa minggu belayar dan dahagakan keseronokan berpijak di tanah rata. Kapal pengangkut jet pejuang Tentera Laut Amerika Syarikat misalnya mempunyai 4,000 kelasi kapal. Pelayar lautan ini, mereka berevolusi. Mereka transformasikan diri menjadi lebih baik daripada semalam.
Sesetengah mereka bersara awal menjadi jutawan dan memulakan perniagaan kedai runcit, restoran mahupun kedai serbaneka kecil-kecilan di serata Hong Kong, Dubai, Rotterdam dan Osaka.

Cukup 10 tahun belayar, kelasi biasa boleh mengumpulkan hampir RM500,000 dan memulakan kehidupan baru. Istimewanya, baru-baru ini saya terserempak sekumpulan kelasi Malaysia yang bekerja dengan syarikat perkapalan antarabangsa. Rupa-rupanya mereka kelasi yang dilatih Akademi Laut Malaysia ALAM berpangkalan di Melaka.

Saya rasa bangga kerana mereka anak Malaysia dan berbangsa Melayu. Hasil dialog bersama mereka di remang-remang senja berlatarbelakangkan Tsim Sha Shui dan kapal persiaran terbesar Hong Kong milik Kumpulan Genting iaitu Superstar Genting Aries, saya ‘disekolahkan’ budak-budak kelasi ini dengan kisah pelayaran mereka yang bersejarah. Kata mereka, belayar tiada apa yang istimewa untuk diceritakan tetapi kisah mereka menjadi pelayar, itu yang pentingnya.
Seorang daripada mereka, Mahmud dulunya penunggu simpang tiga kampung Felda Bersia, bersenjatakan gitar kapok patah tiga berikatkan ‘selotape’. Malam berjaga siang tidur persis ‘Batman’, pelajaran tak ke mana, dua tahun tidak buat apa-apa cuma menambah derita orang tua. Namun, dia bernasib baik kerana diselamatkan dan ditaja FELDA untuk masuk ALAM.

Mahmud dan rakan tajaan FELDA ini digilap dan dilahirkan semula menjadi insan Melayu berkeperibadian tinggi atau saya takrif sebagai ‘Malay with Towering Personality’. Di samping kursus asas ‘rating’ enam bulan, terdapat juga pengajian pegawai selama tiga tahun untuk mereka yang berkelayakan dalam akademik menjadi pegawai dan kapten kapal.
Saya suka dengan cerita Mahmud. Selepas habis ALAM, Mahmud ditawarkan belayar dengan kapal berpangkalan di Brazil. Begitu juga rakan lain semuanya habis ditempah kerana permintaan yang tinggi terhadap kelasi dan pegawai perkapalan rakyat Malaysia. Kita semua patut ucapkan syabas kepada FELDA, MARA dan agensi lain kerana mereka merubah masa depan dan tamadun bangsa, mereka melahirkan insan daripada manusia.

Selepas 15 bulan belayar, Mahmud pulang ke desa memeluk ibu dan bapanya. RM10,000 di letak di atas meja. “Duit apa ni Abang?“ tanya bapa Mahmud. Mahmud jawab ringkas. “Itu duit mak dan bapa, ganti balik masa abang tak kerja dua tahun dulu.” Sekadar renungan, bangsa Melayu dulu gagah di nusantara. Jika di darat ia perwira, jika di laut ia nakhoda. Bukankah pengembara pertama merentas benua dari Asia ke Afrika seorang nakhoda Melayu dalam Armada Portugis dan Sepanyol bernama Nakhoda Awang Enrique? Bukankah ras Melayu ini dulu menjajah seluruh pelusuk nusantara? Dari Pattani ke Demak, Srivijaya hingga Sulu, Bugis dan Langkasuka? Melayu ini dulu ada ratusan Nakhoda Awang Enrique. Hari ini di zaman moden, anak Melayu cuma terpesona dengan Enrique Iglesias. Syukur, hari ini saya menjadi saksi kepada kelasi kapal dan pegawai pelayaran Melayu. Jadi, jangan merungut konon kerja tiada, masa depan suram, tiada peluang dan sebagainya. Jangan sentimental sangat dengan simpang tiga kampung yang sinonim dengan gitar kapok kamu itu wahai Melayu. Kamu perlu gagah hidup dalam bencana dan kemudaratan. Bertahan dalam kegawatan ekonomi, elektrik, cukai GST dan banjir. Hari ini kalau tak ada Internet kamu semua dah berteriak tak dapat kemas kini Twitter dan Facebook. Kamu perlu belajar daripada kelasi Cina. Belajar daripada usahawan Cina. Kamu harus bertekad dan berhijrah seperti saudara Cina kita. Kamu perlu jadi ‘towering personality’. Ingat Awang Enrique.

Kias bersebab

Perempuan memang logik apabila berkias ataupun menyimpan kehendak hati di depan lelaki terutamanya mereka yang masih belum punya ikatan. Peribadinya lebih tersembunyi dan perlu ada ruang ke belakang sedikit berbanding lelaki yang lebih ‘sempoi’.
Kalau perempuan lebih-lebih, nanti ada pula tanggapan tak tahu malu atau jenis perempuan tak jaga gaya. Perlu ‘jual mahal’ dan kena ada ego di sebalik kelembutan. Itulah realitinya perempuan.
Namun ada ketikanya masalah timbul apabila perempuan terlalu berdiam atau menyembunyikan kehendaknya dan lelaki pula jenis yang ambil mudah dan tidak pandai ‘membaca’ bahasa tubuh seseorang perempuan itu. Memang parah kerana lama-kelamaan, simpan dalam dan makan setiap inci dalaman hingga akhirnya meletus! Itu lebih menakutkan.

Kebiasaannya, pasangan kekasih umpamanya, si lelaki akan terlebih awal memberikan amaran kepada teman wanitanya.

Katanya, lelaki memang jenis berterus terang. Jika wanita berkias, dia kurang memahami dan sebaliknya membiarkannya saja.

Lelaki tidak suka wanita terlalu berkias sehingga mengusutkan hati dan fikirannya. Terus terangkan lebih menyenangkan kerja. Apabila lelaki membisu bukanlah bermakna dia tidak langsung memikirkan hal itu, sebaliknya dia enggan memanjangkan atau mengeruhkan sesuatu situasi buruk.

Itu selalu berlaku ketika perselisihan faham yang mana lelaki kebiasaannya lebih gemar mendiamkan diri daripada bersuara kerana bimbang ia akan merumitkan lagi keadaan. Kadang-kadang bahasa yang digunakan lelaki kasar dan boleh membuatkan wanita terguris.

Cara hidup lelaki lebih mudah berbanding wanita. Oleh sebab itu, lelaki sukar untuk memahami apabila sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk bahasa kiasan oleh wanita.

Bagi lelaki, golongan wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan sedih sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki pula lebih suka untuk menyembunyikannya dan membisu.

Itu adalah amaran yang selalunya diberikan lelaki pada awal perkenalan kerana mereka sering kali menjadi mangsa salah komunikasi dengan wanita yang akhirnya hingga terpaksa memutuskan hubungan.

Perempuan kalau berkias menyembunyi sesuatu, mereka ingin lelaki memahaminya. Lelaki pula tak semuanya ‘tahan’ untuk melayan perangai perempuan yang tidak pernah berterus terang, jadi akhirnya dia akan membiarkannya saja.

Kemudian, perempuan akan memendam rasa dan timbul perasaan benci, marah dan geram. Apabila lelaki memujuk sehari kemudian, perasaan itu lebih parah dan ketika itu katanya sudah terlewat.


Ego tersembunyi

Itulah peratusan terbesar yang membuatkan pasangan muda selalunya memutuskan hubungan. Salah komunikasi dan kononnya tidak memahami antara satu sama lain sedangkan puncanya ada kalanya terlalu remeh. Tapi pernah tak golongan lelaki terfikir mengapa perempuan lebih gemar berkias?

Di sebalik kelembutan seseorang wanita itu terselit juga keegoannya yang jarang ditonjolkan. Biasanya wanita jarang berterus terang mengenai apa dia mahukan meskipun amat mengharapkan lelaki memahaminya. Mereka sering kali berkias-kias.

Pertamanya, mereka inginkan perhatian. Wanita inginkan perhatian dan kasih sayang terutamanya daripada orang yang rapat dengannya. Apabila melihat orang di sekelilingnya sibuk dengan aktiviti sendiri, dia akan bersuara untuk membuat permintaan dengan cara cakap berlapik.

Contohnya mereka akan mengatakan: “Bosanlah asyik tengok siaran TV yang sama”. Ataupun “Selalunya hujung minggu pergi mana?” Tapi ayat tersirat ingin dikatakannya adalah: “Alangkah bagus kalau awak ajak saya keluar tengok wayang atau makan angin.”

Wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya.

Keduanya, mereka sebenarnya tidak pernah puas. Walaupun ramai mengatakan lelaki memiliki sifat tidak pernah puas, wanita juga tidak terkecuali kerana rata-rata wanita yang lebih sukar untuk puas dalam apa juga aspek.

Sebagai contoh, apabila mendapat sesuatu perkara diidamkan, dia akan berkias-kias dengan pasangannya mahukan sesuatu yang baru. Contohnya: “Saya lihat trend sekarang ramai suka iPad 2 berbanding laptop. Apa pendapat awak?”

Dia berkias kerana tidak mahu dimarahi atau si pasangannya mengeluh pula kalau terus meminta apa yang diinginkan. Tapi sebenarnya dalam hatinya dia ingin pasangannya membelikannya iPad 2!

Itulah perempuan! 


Bahasa jiwa

Ketiganya, mereka berkias kerana sekadar ingin menguji. Wanita memang suka menguji dan diuji. Dia lebih selesa menggunakan orang terdekat dengannya untuk dijadikan modal dan alasan bagi menilai sejauh mana kasih sayang yang diberikan kepadanya. 

“Alangkah bagusnya kalau saya jadi macam wanita itu, layanan diberikan bagai puteri,” kata kebiasaan yang terpacul daripada mulut teman wanita. Jauh dalam hatinya, dia hanya inginkan layanan sama seperti wanita yang dipuji. Tapi bukan semua wanita bersikap begitu, cuma jika diberi peluang, apa salahnya.

Keempatnya, mereka berkias kerana bimbang dimarahi. Lepas dapat satu, ada lagi kemahuan belum dipenuhi membuat dia berasa tidak selesa. Tambahan pula wanita lebih mementingkan kesempurnaan.

Kalau boleh dia inginkan sesuatu yang lain daripada lain, biarpun dia tahu risiko akan dimarahi. Oleh sebab bimbang dengan keadaan begitu, dia akan sedaya upaya berkias dan berharap pasangannya dapat memahami ‘bahasa jiwanya’.

Itulah alasan perempuan berkias dan mengapa kekasih anda ada kalanya berdiam diri menunjukkan rasa marah. Kalau ditanya, jawapan klise: “Saya OK, tak ada apa-apa.”

Sebenarnya lelaki pun janganlah terlalu pentingkan diri atau tidak sensitif kepada keinginan mereka. Bukannya susah untuk menunjukkan rasa sayang lebih daripada biasa ataupun menghargai mereka lebih kerap lagi.

Bukankah ia akan memberikan lebih keserasian dan menambah rasa cinta antara kamu. Cubalah faham sikit bro

Hawa jadi mangsa

Siapa lelaki yang tidak mahu berkenalan dengan perempuan cantik persis bintang Hollywood? Ditambah pula bila jalan di sebelah, wangian semerbak ada ketikanya buat lelaki makin ‘gila’ dan sanggup mendapatkan wanita berkenaan dengan cara apa sekalipun.
Merujuk kepada kajian oleh Women’s Aid Organization dan Survey Research Malaysia pada 1992, 39% wanita negara ini terbabit dengan keganasan. Amat membimbangkan peratusan meningkat pada tahun 1995 yang dilaporkan pihak polis iaitu sebanyak 1,409 kes. Malah bertambah kepada 5,477 kes tahun 1997.
Keganasan yang dimaksudkan adalah berasaskan jantina yang mendatangkan implikasi buruk terhadap wanita sama ada secara fizikal mahupun mental. 

Menurut organisasi berkenaan, tafsiran keganasan ini dilakukan kerana wanita dianggap tak sama taraf dengan lelaki. Meskipun begitu, ia membabitkan semua bangsa, agama, pendapatan dan taraf hidup.

Lebih buruk lagi, wanita sering diancam dengan keganasan seperti bunuh, rogol dan pukul. Di manakah kewarasan akal seorang lelaki yang sepatutnya menjaga dan membela wanita? Bahkan mereka sanggup berbuat apa saja kepada wanita seperti keadaan ketika zaman jahiliah.

Kes rogol misalnya, kerap meniti di bibir kita kerana ia membabitkan remaja perempuan belasan tahun yang menjadi mangsa di kawasan semak-samun lalu dibunuh.


Gangguan jiwa

Gangguan seksual terbahagi kepada beberapa bentuk. Antaranya bahasa isyarat, fizikal dan lisan seperti berjenaka, mengusik dan membuat bunyi pelik. Selain bahasa isyarat seperti menjelir lidah, menjilat bibir dan isyarat tangan turut memberikan gambaran bahawa wanita sedang diganggu. Jadi waspada! 

Manakala sentuhan secara tiba-tiba, urutan di bahagian tertentu, ciuman dan meraba pula boleh dikategorikan sebagai gangguan secara fizikal. 

Seorang wanita berusia 23 tahun menceritakan pengalamannya diganggu lelaki warga tempatan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. 

“Pada hari kejadian, saya tidak memandu kereta seperti biasa ke tempat kerja kerana memikirkan keadaan lalu lintas di Kuala Lumpur yang sesak. Jadi saya ambil keputusan untuk menggunakan LRT.

“Kejadian berlaku bila nak pulang ke rumah pada malamnya. Saya diekori seorang lelaki. Ketika itu memang peluh halus sudah keluar di dahi. Saya mati kutu, tak tahu apa nak buat. Panik keseorangan. Disebabkan terlalu bimbang kerana lelaki itu masih mengekori, saya menelefon kawan serumah untuk mengambil saya di sebuah restoran berdekatan. 

“Sementara menunggu kawan, lelaki itu masih tidak berganjak. Saya semakin takut, lalu segera ke balai polis terdekat bagi mendapatkan perlindungan. Kemudian baru lelaki terbabit beredar. 

“Sekarang saya tidak lagi berani untuk pulang lewat ke rumah dan sentiasa membawa alat bantuan kecemasan seperti serbuk cili dalam tas tangan,” katanya yang bekerja di bidang pemasaran di ibu negara. 


Beban miskin

Anak-anak perempuan juga turut jadi mangsa perceraian ibu bapa terutama hidup dalam kemiskinan. Bayangkan ayah yang mengabaikan nafkah keluarga dan ibu pula sarat mengandung! Maka anak-anak yang masih muda inilah harus keluar mencari rezeki bagi memastikan dapur berasap. Jika tidak melakukannya, mereka akan didera, dipukul dan mendapat pelbagai bentuk kekerasan yang lain. 

Disebabkan wanita dilahirkan berperwatakan lembut dan sopan, lelaki seharusnya tidak menunjukkan kekerasan terhadap mereka walaupun gelaran sekadar ayah tiri. Banyak kes penderaan dilaporkan pihak berkuasa akibat kesempitan hidup yang ditanggung. Oleh sebab itu, wanita dihalang mendapatkan sokongan orang lain. 


Dihalang bekerja 

Penulis sendiri tak faham sekiranya ada manusia yang masih tidak membenarkan anak perempuan keluar mencari pekerjaan. Ini adalah salah satu penderaan kewangan. Bahkan tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank sendiri.

Bila ini terjadi, wanita tidak boleh mendapatkan sesuatu yang diingini, malah jika dibenarkan untuk keluar bekerja sekalipun, kewangan mereka dikawal. Ini tidak adil! 

Justeru, banyak pelaksanaan program kesedaran yang diberikan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran kaum Hawa terhadap hak dan kepentingan diri. Seterusnya menjadi langkah terbaik bagi wanita menambahkan pengetahuan berkaitan cara melindungi diri dan atasi rintangan dalam kehidupan seharian.

Thursday, December 5, 2013

Aku penganggur!

Coretan dalam surat khabar, blog mahupun majalah yang berkisarkan lambakan graduan menganggur menunjukkan angka luar biasa. Lihat saja, graduan ijazah kelas pertama turut terkena tempiasnya. Bukankah kecemerlangan akademik itu mampu membuatkan mereka mudah memperoleh pekerjaan?
Dulu, penulis turut mendaftar di laman ‘job street’ atau blog lain yang akan memuat naik perihal kerja kosong. Dari situ menunjukkan banyak kerja kosong yang diiklankan dengan pelbagai jawatan. Aneh, sekiranya graduan tidak mengambil peluang di depan mata.
Gaji? Kenapa ia dipersoalkan, sedangkan banyak cara yang boleh dilakukan terutama ia dapat mengasah bakat yang ada dan ambil peluang itu sebagai satu pengalaman. Inilah dikatakan, belum bekerja sudah ‘demand’ gaji!

Satu hal pula, di mana ada yang sudah bertahun-tahun tamat belajar tetapi belum pernah menghantar satu pun resume ke sana sini. Ada juga yang mengharapkan gaji harus setimpal dengan kelayakan yang ada. Wahai kawan, janganlah meletakkan harapan terlalu tinggi, dengan pengalaman yang belum ada, sudah tentu anda akan terbiar menganggur sampai bila-bila.

Jika perempuan, mungkin boleh tunggu orang masuk meminang. Tapi bagi lelaki pula, jangan berharap keluarga kekasih akan menerima anda sebagai menantu. Nak menyara kehidupan sendiri pun belum tentu lepas.


Cerewet & memilih

Ada benarnya apabila sudah tamat saja belajar, perkara pertama yang akan dilakukan adalah memilih pekerjaan yang secocok dengan anda. Oleh itu, diri akan sentiasa memikirkan soal gaji, tempat tinggal, jawatan dan pelbagai perkara remeh yang lain. Jangan terlalu ‘lurus’ untuk membuat pilihan kerana peluang hanya datang sekali dalam seumur hidup.

Fikirlah hala tuju yang betul terutama apabila anda dibebani dengan hutang pinjaman pelajaran ataupun keinginan membantu keluarga di kampung yang banyak bersusah payah untuk anda selama ini.

Ketahuilah bahawa graduan di Malaysia ini sangat ramai. Itu tidak termasuk lagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang pasti menunggu masa untuk keluar mencari peluang.

Walaupun anda menetap di Kulim tetapi berjaya mendapat kerja di Kuala Lumpur, tidak ada salahnya untuk anda berhijrah ke bandar lain bagi meluaskan pengalaman. Bahkan, anda adalah insan terpilih untuk menyandang jawatan berkenaan, ia lebih baik daripada calon yang tidak dipanggil bekerja!

Jika gaji menjadi topik utama, bangun dan berusaha sekerasnya agar anda dinaikkan pangkat dengan cara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Ada baiknya bermula dari bawah. Di situ anda boleh belajar secara perlahan-lahan tanpa perlu ada sebarang tekanan dan mendapat ilmu tambahan daripada rakan kerja yang sudah lama berkhidmat.


Terpaksa untuk kerja

Apabila malas dan kemudian mendapat kerja. Itu menyebabkan ada di antara graduan yang bekerja dalam keadaan terpaksa. Apa yang dikatakan terpaksa merangkumi beberapa aspek, antaranya didesak oleh keluarga, tidak mahu menjadi penganggur atau malu jika tidak bekerja. Selain ada komitmen lain yang harus ditanggung membuatkan mereka tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja.

Selain tidak pasti kerjaya apa yang harus mereka pilih, ada yang merasakan kerjaya itu mestilah dalam bidang yang dipelajari. Ada juga yang tidak peduli kerja apa sekalipun walaupun berlainan dengan apa yang dia belajar. Asalkan ada kerja dan dapat gaji.

Sebelum tamat belajar, fikir dan renungkan cita-cita yang anda impikan. Lantas tetapkan pendirian untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak dapat apa yang dimahukan, jangan sesekali menyesal atau berputus asa.

Jika pada mulanya ia sekadar ‘paksa’ tetapi selepas dipupuk dengan kerajinan dan usaha yang tinggi, status itu akan bertukar menjadi ‘rela’.


Bodoh sombong

Ya, ini adalah satu sifat yang harus dihindarkan dalam diri seseorang itu terutama yang masih bergelar ‘fresh graduate’.

Nuralya Mohd Roslan, 27, mengatakan tidak ada syarikat yang akan menawarkan jawatan besar sekiranya individu itu tidak mempunyai pengalaman.

“Sebagai contoh, anda mengidamkan ­jawatan pegawai atasan tapi hakikatnya anda perlu terlebih dulu memegang jawatan yang setimpal atau memulakan yang bawahan dulu. Jika anda ingin menjadi pensyarah misalnya, anda perlu menjadi pembantunya terlebih dahulu.

“Saya mengatakan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan di mana ini yang membuatkan seseorang itu menolak setiap peluang temu duga, lalu mendatangkan kerugian pada diri sendiri sampai bila-bila,” kata ustazah muda ini.


Serba boleh

Menurut seorang lagi rakan Gen Y, Mohd Hafizul Mohd Yahya, 28, kemahiran ‘multitasking’ atau serba boleh sangat diperlukan oleh syarikat besar.

“Jangan menyimpan angan-angan tinggi sekiranya anda tidak ada kemahiran itu. Jika hanya duduk menaip dan mengangkat telefon, pasti seseorang itu tidak akan lama bertahan. Misalnya, anak muda kini tidak suka kerja yang membosankan sehingga buat diri rasa malas bangun pagi untuk ke tempat kerja.

“Oleh sebab itu, mereka tidak dapat mempersembahkan mutu kerja berkualiti yang syarikat mahukan. Ini yang membuatkan ramai graduan menganggur tidak ‘tahan’ dengan cara yang ditampilkan tempat kerja lama,” kata pegawai bank ini.

Justeru, semua graduan digalakkan untuk bekerja yang membabitkan bidang praktikal berbanding teori yang sudah tidak lagi relevan pada masa kini.

Setiap pekerjaan mahukan anda bijak dan tangkas dalam menghasilkan sesuatu. Bidang yang ada hari ini memerlukan anda membuat lebih daripada apa yang tercatat dalam ‘kontrak’ atau kertas perjanjian.

Biar apa sekalipun alasannya, ia terletak di tangan sendiri. Sama ada bekerja atau me­nganggur.

Zuriat istimewa

Zuriat istimewaGAMBAR kiri, Adel menunjukkan tangan palsu yang pernah digunakan ketika berusia setahun, gambar tengah keluarga bahagia Meor Amer dan Siti Hajar dengan kehadiran dua cahaya mata comel. Gambar bawah, Meor Amer mengisi masa lapang melayan kerenah Adel bermain belon. - Foto Adi Safri
Ibu bapa yakin Adel dilahirkan tanpa tangan kanan ada kelebihan tersendiri 

"Saat kelahiran Adel, dada berdebar-debar apabila doktor memanggil dan beritahu ada masalah sedikit. Saya diberitahu, bayi yang dilahirkan cuma ada sebelah tangan. Tipu kalau saya tidak sedih. Saya orang pertama diberitahu dan perlu pula memberitahu kepada isteri yang baru saja selesai dibedah. 
“Macam-macam yang saya fikirkan. Mungkin tangan itu akan tumbuh nanti,” luah Meor Amer Reza Meor Hazizi, 31, yang dikurniakan bayi lelaki istimewa, pada Julai, 2010 lalu. 


Yang nyata, Meor Adel Hariz (Adel), kini berusia tiga tahun dilahirkan tanpa tangan kanan dan pada hujung bahagian bahu, cuma tumbuh ibu jari saja. 

“Pada malam kelahiran Adel, saya sudah mula menerima kenyataan. Saya juga beritahu isteri apabila dia mula sedar dan rakan lain menerusi sistem panggilan ringkas (SMS), anak dilahirkan tanpa tangan kanan. 

“Rasa lega kerana tidak menyembunyikan perkara itu. Cuma isteri, pada mulanya sukar menerima kenyataan dan sedih. Akhirnya, dia juga seperti saya, menerima Adel seadanya,” katanya ketika mengimbas kenangan lalu mengenai anaknya kepada wartawan FAMILI, baru-baru ini. 

Meor Amer berkata, sebelum ini, beliau memikirkan mungkin kelahiran Adel secara pembedahan disebabkan songsang adalah petunjuk awal ada sesuatu yang tidak kena. 
Beliau berkata, isterinya sudah menjalani imbasan beberapa kali dan doktor menyatakan normal. Begitu juga organ penting dalam keadaan normal. 

Sehingga hari ini, Meor Amer tidak mengetahui punca anaknya dilahirkan tanpa sebelah tangan dan menganggap ia suratan takdir dan mahu terus fokus membesarkan Adel menjadi insan terbaik. 

Meor Amer yang bekerja sebagai jurutera di syarikat telekomunikasi, berkata isteri, Siti Hajar Mohd Yakop, 30, lebih memikirkan apa proses seterusnya yang perlu dilakukan apabila dikurnia anak istimewa. 

“Saya pernah terfikir untuk mengumpul wang banyak-banyak bagi membantu Adel apabila dia besar nanti. Bagaimanapun, saya mula fikir apa yang dilakukan untuk ubah kekurangan anak menjadi satu kelebihan kepadanya,” kata bapa dua cahaya mata ini. 

Pakai tangan palsu 

Beliau kemudian mengambil keputusan berhenti kerja, manakala isteri pula mengambil cuti tanpa gaji selama setahun selepas tiga bulan kelahiran Adel untuk menumpukan perhatian kepada cahaya mata barunya itu. 

“Semangat saya semakin kuat apabila adik saya yang belajar di United Kingdom (UK) dalam bidang perubatan memberitahu di negara itu sudah ada kemajuan untuk anak istimewa seperti Adel. Adik saya memberi banyak maklumat berkenaan tangan palsu. 

“Jadi, saya membawanya ke pusat perkhidmatan kurang upaya di UK. Ketika di sana, saya berjumpa ibu bapa yang mengalami nasib sama. Adel mula memakai tangan palsu ketika dia berusia enam bulan dan setahun,” katanya. 

Meor Amer berkata, beliau turut melanjutkan pelajaran peringkat sarjana kejuruteraan bio perubatan selama setahun di UK semata-mata untuk melengkapkan diri sebagai bapa kepada anak istimewa. 

Tujuan lain adalah untuk lebih memahami teknologi perubatan penyambungan tangan palsu untuk anak tersayang. Setahun selepas itu, mereka pulang semula ke Malaysia dan menyambung kerjaya sebagai jurutera. 

“Tidak pernah terfikir untuk sambung belajar. Tetapi saya lakukan untuk anak. Begitu juga isteri. Ilmu perubatan ini bukan untuk kerjaya tetapi lebih kepada untuk berkongsi dengan ibu bapa lain ,” katanya. 

Anugerah tidak ternilai 

“Kini, saya sedar kelahiran Adel ada hikmahnya kerana percaya Adel ada kelebihannya. 

Adel juga seperti kanak-kanak lain. Dia sudah boleh memegang botol susu seawal usia empat bulan dan pada usia dua tahun, dia sudah menyarung baju. Saya lihat, Adel suka berdikari dan melakukan sendiri apa saja. 

“Malah dia kuat semangat. Jika ada kawan bertanya mana tangannya, selamba saja dia tunjukkan ibu jari kecil pada bahagian kanannya. Malah dia menjelaskan ibu jari itu sebagai ‘good’. Ini tangan Adel, itu jawapan yakin Adel jika disoal anak lain mana tangannya,” katanya 

Justeru, Meor Amer berkata, ibu bapa sepatutnya memberikan galakan dan semangat kepada anak untuk yakin pada diri dan melakukan aktivitinya sendiri. 
“Memang sedih tengok dia terkial-kial pakai baju sendiri, tetapi dia boleh melakukannya apabila dilatih. Memang rasa kasihan, tetapi perlu tahan perasaan itu untuk melihat kejayaannya,” katanya. 

Kualiti masa dengan anak 

Berbicara soal kualiti masa bersama keluarga, Meor Amer, berkata walaupun beliau dan isteri sibuk bekerja, mereka pasti meluangkan masa sebaiknya untuk Adel. 

Katanya, beliau akan meluangkan 15 minit untuk berinteraksi dengan anak sulung dan bongsunya, Mai Safiyya, 2, walaupun hanya bermain belon atau melempar bola. Ia lebih baik berbanding menonton televisyen bersama keluarga. 

“Usia anak enam tahun ke bawah ibarat masa emas kerana 15 peratus daripada ingatan atau memori awal mereka pada fasa ini amat penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Manfaatkan masa sebaiknya untuk bersama keluarga” katanya. 

Adel pencetus inspirasi tulis buku 

Kelahiran Adel memberi inspirasi kepada Meor Amer untuk menulis buku bertajuk The Greatest Gift: Unlocking The Hidden Treasures in Your Children. 

Meor Amer berkata, buku bertemakan motivasi keibubapaan setebal 180 muka surat itu ditulis hasil pengalamannya dan turut dilengkapkan temu bual dengan beberapa pakar kanak-kanak tempatan, selain memasukkan teori yang dipelajari ketika menuntut di UK. Ia berjaya dihasilkan dalam masa enam bulan dengan bantuan isteri. 

“Buku ini adalah semangat yang dikumpulkan sepanjang membesarkan Adel dan dia adalah sumber inspirasi untuk saya berkarya. Saya ingin nyatakan kepada ibu bapa lain mengenai potensi anak tiada hadnya. 

“Malah buku ini bukan saja didedikasikan kepada ibu bapa yang ada anak istimewa, ia juga boleh menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang kecewa mempunyai anak nakal, hiperaktif dan mengalami masalah pembelajaran. Sebagai ibu bap,a kita perlu sediakan peluang untuk anak dan bukan buat keputusan untuk mereka,” katanya. 

Ikuti bengkel penulisan 

Meor Amer, berkata sebelum menulis buku, beliau sudah mengikuti bengkel penulisan buku yang dikendalikan pengarang terkenal di Kanada, Gerry Robert. 

Katanya, buku itu dijual dengan harga RM49 dan pembaca boleh membacanya menerusi muat turun salinan digital di laman web www.thegreatestgiftbook.net selepas ia dilancarkan pada Februari depan. 

Jelas Meor Amer, inti pati buku itu sarat dengan panduan cara mendidik, kaedah pembelajaran, cara mencungkil potensi anak dan membesarkan anak, selain pengalamannya dianugerahkan anak istimewa 

INFO: Penerimaan anak istimewa 
1. Bersyukur. Setiap perkara yang berlaku ada hikmah. 
2. Jangan berpura-pura dengan kesedihan yang membelenggu. 
3. Terima takdir. 
4. Fikir dan usaha ke arah kebaikan dan peningkatan diri. 
5. Berkongsi masalah dengan mereka yang senasib dan prihatin.