Wednesday, June 1, 2011

Mulia Hati Seorang Kakak


Emak melabuhkan tirai pada daun tingkap di kampung. Aku terdengar bunyi tingkap ditutup. Aku hanya dapat berhubung dengan emak menggunakan panggilan telefon. Jarak yang sangat jauh membataskan perjumpaan kami.
Setelah 2 minggu berumahtangga, aku perlu mengikut suamiku ke Australia kerana beliau menyambung pelajarannya. Sedih dan pasrah, aku tinggalkan emak dan abah yang sudah tua di kampung. Aku sebagai anak yang bongsu, berasa sangat sedih dan takut meninggalkan emak dan abah, berdua di kampung. Siapalah yang tahu sakit dan pening mereka.
Setibanya aku dan suami di KLIA, aku menanti dengan penuh sabar. Emak dan abah katanya akan sampai beberapa minit lagi dari rumah abangku di Sepang.
Aku bersalam dan berpelukan dengan emak dan abah saat aku perlu masuk untuk berlepas. Kusalam tangan emak dan abah. Kupeluk tanpa mahu kulepas lagi.
Demi suami tercinta, aku tinggalkan emak dan abah kepada Allah yang Maha Esa. Semoga Allah menjaga mereka berdua.
Beberapa bulan kemudian aku menghubungi emak dan abah.
Pada suatu hari, emak menangis dan mengdu sesuatu kepada aku.
"Sewaktu emak kecil, emak pergi mendulang bijih timah. Emak menoreh getah. Emak berhenti sekolah. Emak hanya sekolah setakat darjah 2."
Emak terdiam. Aku kalut memikirkan mengapa emak menangis. Adakah kakak dan abang-abangku di Malaysia menyakitkan hatinya. Aku mulai rasa marah terhadap mereka.
Rupa-rupanya aku salah. Emak menyambung aduannya.
"Emak tidak pandai sekolah dan emak kena berhenti sekolah semata-mata untuk kesenangan adik-adik emak. Emak tolong opah buat kerja macam-macam. Menoreh getah seawal belum masuk fardhu Subuh. Emak cari duit beri adik-adik."
"Adik-adik mahu makan, emak suapkan nasi ke mulut mereka walaupun pada ketika itu emak sangat lapar. Tanggung jawab emak lebih daripda opah. Opah yang suka merayau tidak kira ke mana, meninggalkan adik-adik untuk emak jaga. Emak tidak pernah merungut sehinggalah ke hari ini. Adik-adik emak sudah besar. Sudah menjawat jawatan yang pelbagai." Emak diam.
"Emak jangan menangis...," pintaku dari corong telefon. Hiba rasa hati mendengar tangisan emak.
"Sekarang adik-adik emak sudah berjaya. Sudah beranak dan bercucu. Selalu kita dengar di media, anak buang emak. Anak hantar emak ke rumah orang tua-tua," ujar emak, sendunya semakin menjadi-jadi.
"Kini, rupa-rupanya masih ada gejala membuang orang. Tetapi kini, adik membuang kakak. Emak tidak pernah menyesal membesarkan mereka sebagai ganti opah. Tetapi emak sedih, opah tidak mengajar adik-adik emak menghormati emak, sebagai kakak yang sulung."
"Emak sanggup rela jadi bodoh semata-mata beri peluang kepada adik-adik emak bersekolah kerana emak ingat opah pernah merungut, aku tidak cukup duit untuk sekolahkan engaku. Engkau duduk di rumah dan buat kerja tolong cari rezeki!" Emak diam....
Emak akur kerana emak tahu berdosa derhaka kepada ibu. Biarlah adik-adik sahaja yang dapat ke sekolah. Rupa-rupanya, Allah tunjukkan sekarang, biarpun emak bodoh dan tidak sekolah, emak bahagia, anak-anak emak semuanya masuk universiti. Emak bangga, anak emak hormat orang tua. Emak bangga, anak emak bernikah dengan cara halal dan sah."
"Bagi adik-adik emak yang pangkat mereka besar-besar, emak sedih mereka tidak mengajar anak-anak mereka sujud kepada Allah. Meraka lupa mengajar anak mereka menutup aurat. Mereka lupa mengajar anak mereka walimah dengan cara baik, bukan tangkap basah dan ada anak luar nikah."
Sambil terdengar emak mengucapkan syukur, emak menyambung,
"Biar kita bodoh ilmu. Jangan kita kurang iman..."
Aku tidak akan pernah lupa kata-kata emak.
Aku termenung...Teringat akan perpisahan dengan emak saat emak mahu ke Tanah Suci.
"Emak selalu mendoakan anak-anak emak supaya bertambah iman dan menjadi anak-anak dan adik-beradik bersatu dengan penuh ukhuwwah!"
Amin.

No comments:

Post a Comment