Dengan namaMu Ya Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ... Dengan NamaMu ini kami menjalankan amanah yang Kau telah tetapkan untuk kami, ada di kalangan kami yang mengajar anak-anak sekolah Atas NamaMu, ada di kalangan kami yang sedang menjual ayam di pasar Atas NamaMu, ada di kalangan kami yang sedang membawa pesawat kapal terbang Atas NamaMu ... kerana kami semua wakilMu ya Allah ... redhailah kami dan pandangilah kami dengan pandangan rahmatMu ... keranaMu kami hidup dan dengan NamaMu kami ingin mati ... Lailahaillallah ... perkenankan Ya Allah ...
Alhamdulillah sahabat, bertemu kembali setelah agak lama juga saya tidak berkesempatan untuk menulis di sebabkan program yang berterusan. Pada pagi ini saya ingin kongsikan pengalaman diberikan Allah untuk saya merasakan diri saya yang sebenarnya ...
Sebelum ini di dalam penulisan yang lepas, sudah agak kerap saya menulis bahawa kita bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini ... fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini. Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara fasiliti yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya ...
Allah juga memberikan komputer ini kepada wakilNya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai sistem yang ada di dalam diri kita ... Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan ...
Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhlukNya yang lain maka kita dilantik menjadi WakilNya di muka bumi ini.
Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal beserta nafsu, akal ... maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu ... betulkan?
Alhamdulillah, semalam saya diberi peluang diajar Allah untuk 'Merasakan' diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di "matikan" switch ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya. Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan ... benarkan?
Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu .... Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitu lah yang berlakunya setiap hari ...
Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointmentkami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas itu, saya tersedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya ... Saya sangat sedar ketika itu .... ingin saja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku ... tapi tidak berdaya.
Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah ... Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya, tidak mampu ... Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk mengadap Allah ... saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah ... kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup ... maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga ....
Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan ... Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat ... Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru ...
Saya terus menyedari bahawa 'Itulah Aku Yang Sebenarnya' ... aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini ... Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman'Merasakan' diri kita yang sebenarnya ... Terima kasih Allah.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui
No comments:
Post a Comment