Tuesday, June 7, 2011

Potensi Besar Gaharu


Ramai yang mungkin tidak tahu apa itu 'Karas' atau 'Depu", tetapi Gaharu tidak perlu diperkenalkan lagi. Gaharu ialah bongkah atau kepingan beresin atau berdamar yang diperoleh hasil daripada tindak balas yang berlaku di dalam pokok Karas.
Gaharu dikenali kerana baunya yang wangi. Disebabkan itu penggunaannya amat meluas di dalam industri haruman dan perkakasan ibadat pelbagai agama. Disebabkan itulah permintaan terhadapnya tinggi.
"Pokok karas memerlukan lebih kurang 50 tahun untuk menghasilkan gaharu bermutu tinggi. "Pun begitu, hanya 1-10 peratus sahaja pokok karas hutan akan menghasilkan gaharu, sebab itulah ia sangat sukar didapati dan bernilai tinggi," kata Abas Alias dari Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk 'Keusahawanan Gaharu' di Seminar Keusahawanan Dalam Industri Gaharu anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia (YA'MAL) dan Kayu Gaharu (M) Sdn. Bhd (KGMSB)di kampus UIAM Gombak, dekat sini.
Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)
Menurut beliau, ramai yang tidak faham perbezaan di antara karas dan gaharu, lantas membuat anggapan bahawa 'Gaharu' ialah sejenis pokok.
Karas ialah nama sejenis tumbuhan malar hijau yang cepat tumbuh. Berbatang lurus menjulang ke langit, tetapi tidak begitu tinggi. Biasanya pucuk pokok ini berada di lapisan kanopi kedua di antara pokok-pokok hutan yang lain. Umurnya boleh mencecah sehingga 100 tahun.
Terdapat pelbagai spesies karas di Malaysia. Antaranya ialah keluarga 'Aquilaria' seperti Aquilaria Malaccensis, Aquilaria Beccariana, Aquilaria Hirta, Aquilaria Microcarpa' dan Aquilaria Rostrata.
Gaharu sendiri ialah hasil tindak balas imun pokok daripada jangkitan penyakit dan kulat. Pokok yang cedera menyebabkan ia terdedah kepada jangkitan mikrob. Pokok yang dijangkiti tetapi berimun lemah menyebabkan penyakit terbentuk pada pokok seterusnya menyebabkan pembentukan gaharu daripada nutrien pokok.
"Resin yang terhasil dari proses ini mengandungi bahan sari atau resapan berbau wangi. Itulah yang kita panggil sebagai gaharu'" kata beliau. Bagaimanapun, tidak semua pokok karas melalui proses ini, menyebabkan hanya sebilangan kecil sahaja pokok karas yang menghasilkan gaharu.
Hari ini masalah itu sudah dapat diatasi. Dengan penciptaan inokulan iaitu sejenis campuran yang dapat merangsang tindak balas pokok untuk menghasilkan gaharu, penghasilan gaharu dapat dilakukan secara sengaja. Inilah antara faktor yang menjadikan penanaman pokok karas untuk mendapatkan gaharu secara intensif dapat direalisasikan hari ini.
POTENSI PASARAN
Turut dikenali sebagai 'Kayu dari Tuhan' atau 'Emas Hitam', harga untuk teras gaharu di pasaran tempatan ialah antara RM 1,000 hingga RM25,000 sekilogram. Selain dijual dalam bentuk teras kayu, ia juga boleh diekstrak untuk dijadikan pati minyak dan boleh dijual di antara harga RM350 hingga RM1200 setola (1 tola = 12 ml). Jika dijual dalam bentuk ketulan kayu, ia boleh dijual dari harga RM4 hingga RM 350 sekilogram.
"Yang membezakan harga antara produk gaharu ialah gred dan mutu produk itu."kata Abas.
Pada waktu ini, pasaran gaharu dunia hanya dapat menampung 20 peratus daripada permintaan sebenar, menjadikannya satu bidang yang boleh menjanjikanpendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.
Walaupun hanya memenuhi satu per lima daripada permintaan, transaksi pasaran dunia bagi industri gaharu bernilai kira-kira RM200 juta dan dikatakan berpotensi untuk berkembang, sehingga RM3 bilion diperuntuk jika mampu memenuhi keperluan pasaran.
NASIB GAHARU TEMPATAN
Abas berkata walaupun terdapat peluang yang sangat luas dalam industri ini, masih ramai yang tidak mengambil kesempatan sebaiknya.
Sedihnya, pokok karas diancam kepupusan akibat beberapa sebab. Spesies Aquilaria Rostrata yang dinobat mampu menghasilkan gaharu terbaik berbanding mana-mana spesies lain dikatakan sudah pupus sepenuhnya.
Antara ancaman besar ialah penuaian pokok yang berleluasa, teknik penuaian yang merosakkan pokok, kemerosotan kualiti alam semulajadi dan yang paling menyedihkan ialah banyak hasil gaharu yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini telah dicerobohi dan dicuri oleh pencari gaharu dari negara jiran.
PENANAMAN YANG MUDAH
Sesuai dengan statusnya sebagai pokok hutan, karas tidak memerlukan penjagaan yang melampau dan amat mudah untuk ditanam berdasarkan prinsip Empat T iaitu Tanam, Tinggal, Tengok-tengok dan Tuai. Pokok ini hanya memerlukan pencahayaan sebanyak 45 hingga 75 peratus sahaja sehari serta boleh menyesuaikan dirinya dengan pelbagai jenis tanah.
Anak benih terbaik untuk penanaman berumur daripada empat bulan ke satu tahun kerana ia mudah diangkut serta pembentukan akar yang sedang berkembang untuk mencengkam tanah, mengelakkannya daripada mudah tumbang.
Penanaman pokok karas juga tidak memerlukan ladang terbuka. Ia lebih sesuai ditanam di dalam kongsi atau hutan asli untuk pembesaran yang lebih sempurna. Untuk penanaman pokok Karas secara intensif, 0.4 hektar tanah mampu menampung kira-kira 450 hingga 1,000 batang pokok pada satu-satu masa.
Terdapat pelbagai spesies karas yang mana setiap satunya memerlukan jangka masa berlainan untuk mengeluarkan hasil. Abas oleh itu mencadangkan spesies 'Sub-Integra'untuk mengeluarkan hasil dalam jangka masa singkat.
Spesies ini ditanam secara meluas di Thailand sejak 40 tahun lepas dan terbukti dapat mengeluarkan hasil dalam jangka masa lima hingga tujuh tahun. Pokok karas yang berusia empat tahun ke atas sudah sedia untuk disuntik inokulan yang mana hasilnya dapat dituai mulai dari tahun kelima penanamannya. Atas sebab inilah, Abas mencadangkan spesies ini ditanam secara komersil.
MENYELAMATKAN KHAZANAH NEGARA
Semasa membentangkan kertas kerja pada seminar yang sama, Dr Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim dari UIAM berkata banyak pokok karas secara kebetulan berada di dalam kawasan Taman Negara. Pun begitu ia tidak dapat melindungi pokok karasdaripada ancaman kepupusan.
Oleh itu beliau mencadangkan perladangan pokok karas sebagai satu usaha untuk menyelamatkan khazanah negara ini. Beliau juga ialah seorang daripada tenaga dalam Kumpulan Penyelidik Oud UIAM yang menjalankan kajian untuk mempelbagai produk berasaskan gaharu.
GAHARU DALAM PERUBATAN
Yumi berkata gaharu mempunyai pelbagai potensi selain hanya digunakan dalam bidang wangi-wangian. "Kami sedang membuat kajian berkenaan potensi gaharu untuk digunakan dalam bidang perubatan," katanya. Menurut beliau, produk terapi kesihatan daripada sumber alam semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana dianggap lebih selamat.
Pelbagai kajian dijalankan di serata dunia terhadap pelbagai bahan semula jadi ini untuk mengetahui farmakologinya terhadap sesuatu penyakit untuk mencipta terapi bagi penyakit-penyakit berkenaan.
"Bahan aktif yang dicari daripada tumbuhan-tumbuhan ini dikenali sebagai 'secondary metabolites'," ujarnya. Berdasarkan catatan perubatan tradisional dan kajian moden, sumber dari pokok karas sememangnya sudah ada sejarah perubatan yang baik di pelbagai tempat terutama di Asia, di mana pokok itu mudah didapati.
Dalam pembentangannya, beliau memfokuskan potensi gaharu dalam tiga bidang perubatan iaitu pencegahan dan terapi untuk kanser, keradangan, dan jangkitan kuman.
SOKONGAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI TEMPATAN
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KGMSB, Osman Hanapi berkata syarikatitu bersungguh-sungguh dalam mengusahakan industri berasaskan gaharu di negara ini.
"Antara usaha yang kami laksanakan ialah mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk membuat kajian berkenaan teknologi pembenihan, penanaman serta produk hasilan daripada gaharu," kata beliau. Universiti yang terlibat dalama kerjasama itu ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Terbaharu, KGMSB sedang berbincang dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk kajian berkenaan teknik pembenihan moden. Untuk beliau, ini adalah usaha 'serampang dua mata' untuk menaikkan imej universiti-universiti tempatan di mata dunia.
MEMBANGUNKAN MASYARAKAT LUAR BANDAR
Setiausaha Eksekutif YA'MAL, Amiruddin Rasedin berkata pihaknya memilih untuk terlibat dalam jaringan usahasama pembangunan industri gaharu kerana potensi ekonominya yang tinggi.
"Kami yakin bahawa industri ini bakal memberi impak positif kepada masyarakat umum, khususnya kepada mereka yang tinggal di luar bandar di mana Karas boleh dijadikan tanaman tambahan kepada pekebun," ujar beliau.
Bagi tujuan promosi, YA'MAL sedang merencanakan siri taklimat di seluruh negara agar peluang dan informasi berharga ini dapat diketahui masyarakat umum. Industri gaharu juga ialah satu daripada aktiviti ekonomi terpilih dalam
Model Baru Ekonomi (MBE), Pelan Induk Pembangunan Luar Badar yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada Oktober 2010.
TANAMAN KETIGA NEGARA
Industri berasaskan gaharu menjanjikan pulangan yang besar kepada negara jika diusahakan dengan teliti, terancang dan mendapat sokongan wajar daripada pelbagai pihak.
Potensi industri ini masih belum diteroka sepenuhnya dan tidak mustahil suatu hari nanti penanaman karas dapat menyumbang meningkatkan ekonomi negara di samping kelapa sawit dan getah.

No comments:

Post a Comment