"Adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sia-sia dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
(Al-Mu'minun: 115)
******************************
Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah yang hidup di muka bumi ini. Nikmat akal yang dikurniakan Allah merupakan sebesar-besar nikmat yang sekaligus menjadikan manusia lebih baik berbanding makhluk Allah yang lainnya. Merenung kembali kisah yang termaktub dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, bertitik tolak daripada penciptaan manusia, maka tercetuslah persengketaan antara iblis dan Penciptanya.
Apakah keistimewaan manusia sehingga Allah memerintahkan para malaikat dan iblis untuk tunduk sebagai tanda hormat terhadap penciptaan insan pertama iaitu Adam? Apakah tujuannnya disebalik kejadiaan manusia di muka bumi ini? Maha Kuasa Allah yang pastinya tidak menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia.
"Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..."
(Surah Al-Imran : 110)
Apabila kita menghayati dengan mendalam maksud ayat di atas, kita sebenarnya hidup di dunia ini dengan menggalas dua darjat yang berbeza; darjat sebagai hamba dan darjat sebagai khalifah. Menurut bahasa, khalifah bermakna pemimpin atau penguasa manakala hamba pula adalah orang suruhan atau tawanan. Oleh itu, jelas bahawa tugas untuk mengajak ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah peranan sebagai khalifah manakala tugas untuk beriman dan beribadah kepada Allah adalah peranan kita sebagai seorang hamba.
Islam memandang manusia sebagai khalifah sesuai dengan firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".
Melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar, tabligh, saling berpesan-pesan dengan kebenaran, kesabaran dan kasih sayang adalah antara tugas sebagai seorang khalifah Allah. Iman, amal dan ilmu pula adalah bekalnya. Namun ironinya, berapa ramaikah dalam kalangan kita selaku muslim mampu melaksanakan tugas ini? Gejala sosial yang semakin menular di kalangan para remaja muslim masa kini semakin membimbangkan. Apakah peranan kita? Adakah sekadar menggeleng kepala lalu memeluk tubuh tanpa ada usaha hatta secebis pun untuk menyedarkan sahabat-sahabat yang semakin hanyut dengan keseronokan duniawi? Islam sebenarnya telah memberi garis panduan yang lengkap dalam menyampaikan nasihat.
Pelbagai cara dakwah juga boleh diaplikasi demi kebaikan ummah. Ingatlah, sesungguhnya setiap muslim itu adalah bersaudara. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran. Memang benar, tugas sebagai khalifah Allah bukanlah satu tugas yang mudah, ia menuntut semangat jihad fisabilillah yang tinggi, iman yang kental, ilmu yang mantap serta keazaman yang teguh dalam memburu gelaran syahid. Tetaplah istiqomah, kerana sesungguhnya hakikat jihad itu pahit tetapi destinasi syurgaNya manis.
Setelah kita memahami peranan sebagai khalifah Allah di dunia ini, maka apakah pula peranan kita sebagai hamba Allah? Kita semua sedia maklum, semua yang diciptakan di atas bumi ini adalah hak milik mutlak Allah Azza wa Jalla. Sesuai dengan Asma' Allah, Al Malik yang bererti Maha Penguasa, maka kita dan seluruh makhluk ciptaanNya ini adalah hamba.Oleh itu, sebagai seorang hamba, maka selayaknya kita tunduk, patuh dan sujud hanya kepada Dia.
Dalam surah Adz-Dzariyyat ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud :
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat hanya kepadaKu."
Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah yang terbaik. Walaupun Allah telah menjanjikan syurga dan mengurniakan kemuliaan, namun baginda tetap sujud dan memohon ampun kepada Allah. Hadis riwayat Bukhari ada menyatakan, suatu hari Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah;
"Wahai Rasulullah, tuan bersolat begitu lama sekali dan menangis terlalu banyak sedangkan tuan adalah maksum?". Maka baginda menjawab, " Adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?".
Betapa hebatnya rasa kehambaan yang ada dalam diri baginda. Persoalannya, bagaimana pula halnya dengan kita? Sejauh manakah rasa kehambaan yang ada dalam diri kita? Kita sebagai umat akhir zaman ini, terlalu ramai yang sombong. Angkuh mendabik dada berjalan dengan megah tanpa pernah sedar segala kurniaan itu adalah milik Allah. Masih tidak mahu sujud dan terus kufur nikmat sedangkan jika Allah mahu, pada bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh diambil semula. Seharusnya, kita mencontohi akhlak dan teladan Rasulullah atau paling tidak para sahabat baginda yang merupakan hamba-hamba Allah yang terbaik.
"(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya; dan barangsiapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya, mereka akan membaca catatan (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun".
( Surah Al-Israa' : 71)
Kesimpulannya, kita harus sentiasa sedar bahawa Allah menciptakan kita bernafas di bumi ini dengan dua peranan yang berbeza. Kita adalah semulia-mulia khalifah dan kita juga adalah serendah-rendah hamba. Lakukan segala sesuatu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semoga kita menjadi hamba yang terpilih untuk melangkah masuk dan menghuni syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan selama-lamanya, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment