Wednesday, June 1, 2011

Pakar pun Boleh Silap


Saya ingin ceritakan kepada anda perihal seorang sahabat kecil saya bernama Adam.
Adam berumur sebelas tahun dan suka menikmati sarapan pagi di kantin sekolah. Di situlah saya sering menemuinya. Gerak-gerinya perlahan tetapi serius apabila makan. Dia begitu berhati-hati supaya cebisan makanan tidak berselerak jatuh ke ribanya. Saya pernah menghadiahkan kepada Adam senaskhah buku Horrible Science: Blood, Bones and Body Bits, sebuah buku yang menjadi kegemaran anak-anak saya. Inilah catatan yang saya lakarkan di dalam lipatan kulit muka buku tersebut:
Adam,
Kata ibu, Adam ingin menjadi seorang doktor. Dalam buku ini, Adam akan menemui pelbagai rahsia badan manusia. Kata ibu juga, Adam sangat suka membaca sehingga semua buku yang Adam baca halamannya terlipat di sana sini... Moga-moga buku ini turut mendapat layanan yang sama! Saya harap Adam bakal menjadi seorang doktor yang hebat suatu hari nanti.
Dua hari kemudian, saya terserempak dengannya di pintu pagar sekolah. "Kamu masih membaca buku baru?" Saya bertanya.
"Saya sudah habis membacanya," katanya selamba. Dia membetulkan kedudukan cermin mata berbingkai gelap yang senget sedikit di atas hidungnya.
"Dah habis baca?" Terperanjat saya mendengar jawapannya. Apa tidaknya. Buku tersebut tebalnya hampir tiga suku inci dan tulisannya agak kecil. Saya sangka dia pasti memerlukan beberapa hari lagi untuk menghabiskannya, maklumlah, ia masih belum hujung minggu. Tetapi dengan ketekunan yang dimiliki Adam, apa yang hendak dihairankan!
Ketika Adam dalam kandungan, ibunya, Puan Alina, menghidapi jangkitan pada tiga bulan pertama. Jangkitan itu menjejaskan otak bayi yang sedang pesat berkembang.
"Sehari selepas dia mencecah usia setahun, saya dan suami saya pergi berjumpa dengan seorang pakar pediatrik di sebuah klinik swasta," Puan Alina menceritakan kepada saya. "Kami diberitahu bahawa Adam menghidapi 'kematangan lewat'. Pakar pediatrik tersebut memandang tepat ke muka kami dan mengatakan bahawa anak lelaki kami tidak akan membesar secara normal. Saya terkejut besar. Perasaan saya ketika itu seperti dijatuhkan hukuman mati. Setibanya di rumah, saya memberitahu suami saya, 'Kita mesti buktikan yang pakar itu silap.'"
Untuk beberapa tahun selepas itu, Puan Alina tinggal di rumah dan meluangkan masa bersama Adam setiap hari dengan penuh kesabaran. Dia mengajar Adam mengenali setiap huruf di dalam abjad satu demi satu. Dia juga mengajak Adam berbual dan cuba menjawab setiap soalannya. Apabila Adam berusia enam tahun, Puan Alina membawa Adam untuk satu lagi pemeriksaan kesihatan, kali ini di hospital kerajaan. Pakar pediatrik yang memeriksanya begitu terperanjat dan kagum apabila mendapati bahawa Adam boleh membaca sebaik kanak-kanak berumur enam tahun yang lain.
Alina mengakui bahawa dengan Adam, segala-galanya memerlukan lebih banyak masa. Ketika berusia lima tahun, Adam mengambil masa tiga bulan untuk membaca bukunya yang pertama."Adik lelakinya hanya memerlukan masa dua minggu untuk membaca buku yang sama," kata Puan Alina yang mempunyai tiga anak yang lain. "Tetapi saya menyedari bahawa daya ingatannya bagus. Dia boleh mengingati peristiwa yang berlaku ketika umurnya hanya dua setengah tahun. Dia boleh imbas kembali tempat-tempat yang kami lawati serta aktiviti-aktiviti yang kami sekeluarga lakukan pada usia semuda itu. Daya ingatan saya pun tidak sekuat itu!"
DUNIA YANG TERSENDIRI
Saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak yang menghidapi kecacatan serius. Kebanyakan daripada kanak-kanak ini menderita akibat palsi serebrum (sejenis kecacatan otak) dan memerlukan penjagaan teliti sepenuh masa. Lingkungan umur kanak-kanak ini di antara dua hingga lapan belas tahun. Sebilangan daripada mereka menghidapi sawan yang boleh menyerang pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Lantaran kecacatan yang begitu serius, kebanyakan kanak-kanak ini hanya berupaya terlantar di atas tilam di atas lantai. Di situlah mereka berguling dan berpusing dengan bantuan pengasuh. Mereka yang mengalami kecederaan otak yang paling teruk hanya mampu baring di tempat yang sama mereka diletakkan.
Beberapa orang kanak-kanak di situ kesihatannya agak lebih baik daripada yang lain. Setiap hari, seorang guru akan datang untuk mengajar mereka membaca, menulis, menyanyi dan bermain alat muzik. Di satu bahagian dinding, guru tersebut dengan bangganya telah menampal dan mempamerkan hasil kerja tangan mereka dan menulis nama semua kanak-kanak itu. Katanya, "Kerja tangan mereka mewakili semua kanak-kanak yang dijaga di sini."
Kamal yang berumur 16 tahun adalah seorang remaja yang boleh dikatakan lebih berupaya berbanding yang lain. Dia bergerak dengan menarik dan menolak badannya. Bahagian bawah badannya tidak berfungsi dan perlu diheret ke mana sahaja dia ingin pergi. Apabila saya bertanya kepada guru tersebut mengenai Kamal, dia berkata, "Saya telah mengajar Kamal menambah dan menolak sejak beberapa tahun lalu. Tetapi dia masih belum melepasi nombor dua digit."
Suatu hari, saya melihat Kamal duduk senget di atas sebuah kerusi. Dia menggenggam sebatang pensil dan berusaha keras untuk cuba mengira hasilnya apabila 21 ditolak 13. Mata kirinya berfungsi lebih baik daripada yang sebelah kanan. Oleh itu, dia sering mengiringkan kepalanya supaya mata kirinya lebih hampir dengan hujung pensil dan kertas. Kamal bersifat mudah mesra dan saya sering melihatnya menegur dan berbual dengan sukarelawan-sukarelawan yang lain.
Jika anda tidak biasa dengan kanak-kanak yang menghidapi kecacatan serius, melawat tempat sebegini akan mengguris perasaan. Suasana di tempat ini jauh berbeza dengan dunia luar di mana kanak-kanak boleh berlari bebas, bergelak ketawa dan sentiasa menjadi sumber keriuhan dan keceriaan. Di tempat ini, Kamal ibarat permata. Celotehnya yang ramah mesra membuatkan semua orang berasa lebih selesa. Namun keupayaan Kamal istimewa dan tidak dimiliki kanak-kanak lain yang dihantar ke sini. Bagi kanak-kanak yang lain, palsi serebrum menyebabkan mereka tidak berupaya bercakap untuk menyuarakan keinginan mereka. Beberapa jam bersama mereka sudah memadai untuk anda menyelami keperitan dan jurang komunikasi yang diharungi sesiapa sahaja yang mengasuh mereka.
PENULIS "MY LEFT FOOT"
Begitulah getirrnya hidup anak-anak yang mengalami palsi serebrum. Anda mungkin menyangka tiada apa yang boleh dicapai oleh mereka. Tetapi tidak lama dulu seorang anak lelaki yang dilahirkan dengan palsi serebrum berjaya memenangi pertandingan lukisan kanak-kanak pada usia 12 tahun. Dia seterusnya mencipta sejarah sebagai penulis, penyajak dan pelukis yang tersohor.
Ketika dia masih bayi, doktor memberitahu ibu bapanya bahawa masa depannya gelap kerana teruknya kecacatan otak yang dialaminya. Tetapi ibunya membantah. Katanya, "Hanya badan anak saya yang tidak berfungsi, bukan mindanya." Anak lelaki ini tidak boleh mengawal percakapan mahupun pergerakan tubuhnya. Satu-satunya bahagian badan yang dapat digerakkannya sendiri ialah kaki kirinya. Suatu hari, dengan kaki inilah dia mencapai sebatang kapur dan menconteng lantai. Sejak hari itulah, ibunya berazam untuk mula melatihnya membaca dan menulis.
Anak lelaki yang saya maksudkan itu ialah Christy Brown. Saban hari, ibunya mengajarnya membaca dan menulis. Prosesnya memang amat sukar dan memeritkan. Namun sepanjang hidupnya Christy Brown telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku, sajak dan lukisan serta memenangi hati ramai orang, hanya dengan menggunakan kaki kirinya. Bukunya yang termasyhur berjudul "My Left Foot" memuatkan kisah hidupnya sendiri.
Sebagai seorang penulis, saya sering terkenang kisah Christy Brown apabila saya meragui kebolehan saya. Christy Brown tidak dilahirkan di dalam keluarga yang kaya. Ayahnya merupakan seorang penurap bata manakala ibunya pula seorang suri rumah. Mereka berdua bersusah payah untuk membesarkan 13 orang anak yang mana Christy merupakan anak keenam. Ramai daripada mereka yang sebaya dengan Christy dilahirkan sempurna dan dibesarkan di dalam keluarga yang menjalani kehidupan yang lebih selesa. Namun, Christyjelas meraih pencapaian yang jauh lebih hebat daripada mereka!
LELAKI BUTA DAN GUNUNG EVEREST
Tahukah anda kisah Erik Weihenmayer? Semasa dilahirkan, Erik cukup sifatnya. Kehidupannya berubah apabila dia diserang sejenis penyakit mata yang tidak dapat dipulihkan. Akibatnya, dia menjadi buta pada umur 13 tahun. Pada mulanya, Erik merasa begitu kecewa. Bapa Erik, Ed Weihenmayer, mencabar Erik untuk menyoal dirinya sendiri tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh orang buta. Bapanya menghantar Erik ke sekolah mendaki batu bagi orang-orang cacat penglihatan. Di situlah Erik mempelajari sesuatu yang lebih bernilai daripada sekadar mendaki batu. Dia mula merenung dan memikirkan mengenai pelbagai perkara. KataErik:
"Pada mulanya saya menyangka saya tidak boleh membaca tetapi rupa-rupanya saya boleh. Saya menyangka saya tidak dapat bergerak bebas tetapi rupa-rupanya saya boleh. Ini bermakna, mungkin ada banyak lagi perkara lain yang saya sangka saya tidak boleh lakukan tetapi sebenarnya boleh saya lakukan, asalkan saya mengambil pendekatan yang berbeza."
Erik menyedari bahawa selagi dia terikat dengan perasaan sedih dan menyesali apa yang menimpa dirinya, tidak mungkin dia dapat merobah keadaan. Dia memutuskan untuk mengubah sikapnya. Dia hanya akan menumpukan perhatian kepada apa yang boleh dilakukannya dan tidak sebaliknya.
Hasilnya, ketika di sekolah menengah, Erik dinobatkan sebagai kapten pasukan gusti sekolah. Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyandang jawatan sebagai guru sekolah. Pada usia 33 tahun, Erik mencipta sejarah sebagai orang cacat penglihatan yang pertama berjaya mendaki puncak Gunung Everest. Bagaimana dia berjaya melakukannya? Dalam perkataannya sendiri – "Langkah demi langkah, saat demi saat." Hari ini, selain berjaya menawan puncak tertinggi di dunia, Erik adalah seorang penulis dan pakar motivasi. Apa yang boleh dicapai oleh anak lelaki yang bermotivasi tinggi memang menakjubkan.
Apakah persamaan yang dikongsi oleh Adam, Erik dan Christy?
Kesemua mereka mempunyai ibu bapa yang yakin dengan kebolehan mereka. Ibu bapa mereka akur dengan kelemahan diri mereka tetapi tetap mengharapkan mereka untuk membuat sehabis baik – yang terbaik yang dapat mereka lakukan.
Yang menariknya, ibu bapa mereka bukanlah "pakar" di dalam membesarkan anak lelaki, apatah lagi anak lelaki yang istimewa. Mereka semua adalah orang biasa seperti anda dan saya. Namun begitu, ibu bapa mereka menyedari:
dengan anak lelaki, anda harus lebih menekankan usaha berbanding bakat dan kebolehannya dengan anak lelaki, anda perlu meletakkan harapan yang tinggi anak lelaki sukakan cabaran.
FIKIRKANLAH: Apakah yang akan anda lakukan jika anda mempunyai anak lelaki seperti Adam, Erik atau Christy?

No comments:

Post a Comment