Wednesday, November 27, 2013

30,000 kata sehari!

Luahan perasaan dan kongsi cerita akan jadi menarik kalau babitkan kedua-dua pihak. SHUHADA MANSOR faham rasa tertekan apabila dikelilingi manusia suka bebel, boleh sakit jiwa dibuatnya. Lebih teruk jika babitkan pasangan anda.
Tanyalah sesiapa pun pasti akan menjawab ‘tidak’ jika ditanya mahukah anda berpasangan dengan si mulut murai. Waktu awal proses kenal hati budi, lelaki tak pernah kisah jika pasangannya cakap banyak. Jika ditanya, dia akan mengakui dirinya rasa seperti individu penting apabila pasangan sanggup kongsi rasa dan cerita. Tapi lain jadinya apabila sudah berpasangan. Si gadis bercakap lebih had akan dilabel suka membebel.
Meskipun perit untuk terima tapi percayalah ia kenyataan. Malah ada kajian menyatakan wanita mampu melontarkan sehingga 30,000 simbol dan kata-kata sehari sedangkan lelaki hanya sebanyak 7,000 perkataan dalam tempoh sama. Jangan stereotaip! Situasi ini bukan saja babitkan golongan wanita, ada juga jejaka yang banyak cakap hingga naik rimas apabila duduk semeja. Itu baru sedikit, bayangkan pasangan yang terpaksa berdepan situasi ini setiap hari. Tebal telinga dan sabar saja kuncinya.
LELAKI MULUT MURAI
Kaum Adam dilabel sebagai golongan yang suka melindungi. Oleh sebab itu mereka merasa sedikit terancam sekiranya pasangan keluar dengan jejaka lain. Tapi tahukah anda, si gadis juga ada ketikanya mahu menghabiskan masa mereka bersama teman yang lain. Tetapi situasi ini boleh jadi punca bebelan si jejaka.

Ejen Gen Y juga pelajar jurusan Sains Biokesihatan Universiti Malaya (UM), Ahmad Khushairi Ismail akui ada lelaki yang suka membebel. Katanya, mungkin golongan ini hanya ingin menegur terhadap sesuatu perlakuan yang tidak begitu atau bertujuan menceriakan keadaan. Tidak ada sesiapa pun suka orang lain mengkritik atau membuat teguran mengenai dirinya terutama jika sengaja diucapkan dengan nada menyindir sehingga boleh membingitkan telinga.

“Ada juga lelaki yang cakap banyak dan suka hurai perkara yang tidak penting. Berbicara mengenai satu-satu isu hingga berjam-jam dan tak beri peluang untuk orang lain bercakap. Tapi, kalau itu dah jadi tabiat mereka kita tak boleh nak halang.

“Bagi saya, jika perempuan khususnya suka membebel, itu bukan perkara baru kerana diketahui umum. Mungkin untuk ambil berat, tegaskan pendirian atau pertahankan diri apabila dimalukan atau isu peribadi disentuh, tak mengapa asalkan tahu batas,” katanya.


BEBEL KERANA KURANG PERHATIAN

Pakar motivasi dan psikologi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berpendapat, memang lumrah semula jadi wanita yang memiliki paras hormon estrogen berlebihan, oleh itu mereka gemar meluahkan pendapat dan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berleter.

Katanya, tujuan utama wanita terutama isteri berleter ialah untuk membuktikan kasih dan sayang kepada pasangan. Tidak kira sama ada wanita yang bergelar ibu, isteri kekasih atau ketua di tempat kerja, asalkan ada pencetus terhadap tabiat membebel, letusan itu pasti kedengaran.

Jangan melabel kerana orang membebel pasti ada sebab. Mereka yang membebel selalunya dikaitkan dengan kurang perhatian. Dengan cara bercakap dan meluahkan apa dirasai dengan orang lain, akan merasai dirinya diberi perhatian. 

“Ada juga yang berleter atas tujuan peringatan. Contohnya, kalau pasangan anda membebel supaya jangan tunggang motosikal laju, takut jalan licin, angin lintang atau kecuaian orang lain, kita mungkin mendengarkan sebagai bebelan tetapi bagi dirinya, ia lebih kepada peringatan walaupun memakan masa lebih 15 minit untuk satu isu.

“Bebel juga boleh dikaitkan dengan sikap tak suka pendam perasaan. Saya sendiri jika ada rasa tak puas hati, akan terus luahkan serta-merta. Sebolehnya tak mahu tunggu lama-lama takut jadi dendam. Jika pasangan atau rakan menganggap saya berleter, tak kisahlah asalkan boleh luahkan apa yang nak dicakap,” kata ejen Gen Y yang juga pelajar jurusan Pendidikan Islam UM, Nur Sharmimi Abd Ghani.


BANYAK CAKAP KURANG TEKANAN

Tidak dinafikan ada pendapat menyatakan berleter adalah salah satu cara untuk mengurangkan tekanan. Mungkin sebab itulah ramai suka cakap banyak hingga tak sedar dirinya membebel.

Tekanan di tempat kerja ada kalanya sukar untuk dikongsi dengan rakan sepejabat. Oleh itu, ada memilih untuk ceritakan kepada pasangan atau rakan serumah. Namun lain pula tanggapannya, golongan ini dikategorikan manusia suka bebel kerana suka bercakap. Kasihan!

Namun ia bergantung kepada situasi, jika masalah sama diluahkan hampir setiap hari pasti akan buatkan seseorang itu rasa bingit, bosan dan meluat.

Bagi pekerja swasta, Ziela Abu Bakar, 26, dia secara peribadi memilih lelaki yang kurang membebel kerana tidak gemar mendengar orang bercakap tanpa henti umpama ‘mak nenek’, tapi jika sudah jodoh, dia terpaksa belajar cara mengendalikan lelaki kaki bebel.

“Sama seperti wanita yang suka membebel, golongan ‘mak nenek’ ini selalunya hanya akan bising jika ada yang tidak kena pada keinginan atau apa yang mereka mahukan. Dan jika sudah berpasangan, dia cuma mungkin ingin tarik perhatian pasangannya. 

“Tak terlalu sukar mengendalikan kelompok kaki bebel ini sebenarnya, cuma perlu sesuaikan diri dan bijak mengawal situasi. Harus juga menerima teguran secara positif kerana tiada orang yang akan membebel tanpa sebab, jadi mesti ada silap di mana-mana hingga menyebabkan orang berleter,” katanya.


KENA TAHU KAWAL

Walaupun mereka ini ada ketikanya menjengkelkan, jangan buat tidak tahu saja. Perkara paling geram ialah apabila si dia membebel, pasangan buat tak tahu. Lebih teruk ada yang terus pakai ‘earphone’ atau pasang radio kuat-kuat supaya suara bebelan tenggelam dalam bunyi radio.

Ada wanita yang suka bebel tetapi pasangannya tambah api dengan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘Awak ni tak ada kerja lain ke membebel saja! Atau paling teruk, ‘Janganlah membebel saja, naik pening kepala saya!’. Seboleh-bolehnya gunakan peranan senyap sebagai ‘reverse psychology’.

Biasanya orang akan membebel jika ada perkara menyakitkan hatinya. Sikap dan tingkah laku seseorang boleh menyebabkan si dia membebel tanpa sebab. Jadi, janganlah biarkan mereka merajuk atau bebel sepanjang hari. Pujuk dengan kata-kata manis yang boleh mengubat hati.

Perlu peka dengan setiap perubahan yang berlaku kepada pasangan. Kalau muka pasangan berkerut seribu atau pertanyaan tidak berjawab, cuba selidik apa masalah yang dihadapi. Mungkin anda mengabaikannya atau lebih mementingkan orang lain daripada dirinya.

No comments:

Post a Comment