Perasaan sayang, menerbitkan keinginan untuk memiliki, memantau dan sentiasa berkongsi. Jika tiada perasaan itu, tidak lengkaplah rasa kasih sayang kepada pasangan.
Belajar untuk meluahkan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami sama ada anda sedang marah, terluka, tersinggung atau gembira." Hushim Salleh, Kaunselor Perkahwinan Berdaftar
Sikap cemburu keterlaluan atau terlalu kerap juga boleh mendatangkan bosan kerana seakan hidup seseorang itu tersekat dalam kongkongan.
Tidak kira usia atau jantina
Perasaan cemburu berputik apabila kuasa ingin memiliki mulai menebal. Kaunselor Perkahwinan Berdaftar, Hushim Salleh, berkata cemburu buta boleh mengakibatkan seseorang itu mula mengongkong pasangannya kerana tidak mahu orang lain mengambil tanggungjawab dirinya sebagai suami atau isteri.
Sama ada wanita atau lelaki, tua dan muda, hampir 99 peratus memiliki perasaan cemburu manakala kecenderungan untuk berlaku kasar.
“Cemburu muncul apabila pasangan menganggap kasih sayang dimilikinya adalah hak individu dan sememangnya manusia tidak suka jika ruang peribadi mereka diceroboh.
“Jadi, mereka melihat kasih sayang tidak boleh diukur dengan wang ringgit dan kerana takut kehilangan, mereka tidak boleh terima keintiman atau elemen keakraban pasangan dengan orang lain.
“Biarpun ia memberikan sikap kepunyaan meninggi untuk menunjukkan kasih sayang, tindakan itu boleh mengundang perkara kurang sihat termasuk pergaduhan dan pertengkaran serta kongkongan,” katanya.
Kejujuran kuatkan hubungan
Setiap individu tidak mampu lari dari perasaan cemburu. Justeru, kata Hushim, kejujuran adalah perkara paling penting dalam perhubungan kehilangannya boleh mengakibatkan seseorang itu mula cemburu.
Katanya, cemburu keterlaluan juga sebaiknya dielakkan memandangkan ia mampu mencetuskan pergaduhan dan rasa tidak selesa pada diri sendiri. Hubungan cinta harus dibina atas dasar percaya kepada pasangan.
“Kejujuran yang dimaksudkan ialah mengungkap perasaan terhadap pasangan. Jika terluka, katakan anda terluka. Katakan dengan tenang tanpa perlu meninggikan suara.
“Anda juga perlu yakinkan pasangan mengenai perasaan sayang diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mengabaikan komitmen sudah dijanjikan. Jika terjadi, bersiap sedia untuk kehilangan mereka,” katanya.
Berkomunikasi secara terbuka
Sementara itu, sikap memendam rasa keterlaluan turut boleh mengundang cemburu apatah lagi dengan pergaulan hari ini yang bebas.
Kata Hushim, perasaan pasangan lebih muda terluka.
“Jangan selalu membuat andaian mengenai perasaan pasangan. Lebih baik, ajak pasangan berbincang secara terbuka mengenai semua perkara.
“Belajar untuk meluahkan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami sama ada anda sedang marah, terluka, tersinggung atau gembira.
“Ucapkan kata sayang sekerap mungkin walaupun kadangkala ia dianggap keterlaluan tetapi itulah yang mahu didengar oleh pasangan. Elakkan daripada sikap mendiamkan diri,” jelasnya.
Wanita lebih ketara cemburu
Memang lahiriah wanita mempunyai hati lembut malahan mudah tersentuh. Jika berlaku sedikit perkara mungkin remeh bagi lelaki, mereka merasakan perkara berlaku terlalu berat sehingga tidak dapat mengawal perasaan.
Ada juga pandangan mendakwa, wanita tidak boleh elak dari perasaan ragu-ragu dan cepat hilang keyakinan diri hingga perkara kecil yang berlaku dalam hubungan boleh mengguris hati mereka.
“Seperti wanita lelaki juga mempunyai perasaan cemburu. Bezanya mereka lebih menyimpan dan karang menunjukkan perasaan itu secara membuta. Namun, bila jika mereka mempunyai bukti, lelaki akan bertindak agresif dalam mengambil keputusan.
“Berlainan dengan wanita pula, biarpun mereka kuat membebel namun mereka bersikap pemaaf dan tidak menyimpan hati,” jelasnya
Tiada istilah perasaan negatif
Penceramah bebas, Che Hashim Mat Said memberitahu, perasaan cemburu boleh menterjemahkan perasaan sayang terhadap pasangan namun jika ia tidak dikawal ia boleh mengundang parah kepada hubungan.
Katanya, dalam Islam sendiri tiada istilah cemburu sebaliknya meletakkan marhabbah (kasih sayang) sebagai panduan untuk kebahagiaan melayari bahtera rumah tangga dan berkeluarga.
“Istilah cemburu terbit apabila adanya rasa marah, curiga dan hilang kepercayaan di dalam satu hubungan. Namun, tidak dinafikan cemburu terkawal juga boleh mengembalikan kesejahteraan keluarga.
“Perasaan cemburu juga perlu dikawal dan bertempat supaya tidak munculnya dendam dan kecederaan emosi sama ada lelaki atau perempuan,” katanya.
Cemburu pulihkan hubungan
Mengenai hukum mengupah penyiasat untuk mengesan pergerakan pasangan yang disyaki, katanya ia tidak melanggar hukum namun perlulah dilakukan secara berasas atau bukti yang kukuh katanya.
Che Hashim, berkata untuk memulihkan keadaan hubungan sekali gus membantu pasangan dari hanyut landasan agama, lebih lagi jika cemburu itu mengaitkan orang ketiga.
“Kita boleh siasat atau mengupah orang menjejaki suami, tetapi perlu berasas kerana curiga atau tuduhan boleh menjarakkan lagi keintiman antara kedua pasangan.
“Cemburu boleh memudaratkan pasangan. Sebaiknya sebelum anda mengambil keputusan lanjut lebih baik berbincang dulu dengan pasangan mengenai masalah dihadapi.
“Jika ia membabitkan maklumat daripada orang luar, lebih baik anda kaji selidik dulu berita diterima agar anda tidak kesal di kemudian hari,” katanya.
Luahkan rasa sayang
Sememangnya ego lelaki lebih tinggi berbanding wanita namun ungkapan sayang dan maaf tidak merendahkan martabat sebagai ketua keluarga. Kata Che Hashim lelaki perlu tahu mengambil hati pasangannya dan bersikap ikhlas dalam hubungan.
Berbanding wanita, lelaki lebih mudah terbuka hati menerima ‘cinta baru’ berbanding wanita dan tindakan itu juga menjadikan wanita sentiasa curiga hingga terbitnya perasaan cemburu keterlaluan.
“Selepas berumah tangga, ramai kurang mengambil perhatian mengenai hati pasangan. Ramai beranggapan bila sudah berubah tangga tidak perlu lagi bersikap manja atau romantis.
“Rasa cinta dan sayang tidak ada salahnya jika diluahkan antara suami isteri. Menunjukkan rasa cinta secara berterusan kepada pasangan ternyata sesuatu yang mampu mengekalkan perhubungan pada tahap yang selesa,” jelasnya.
Reaksi:
Jusnita Hassan, 39, ahli perniagaan
Cemburu biarlah berpada-pada dan tak salah kalau perasaan itu ada. Baginya, sifat cemburu itu adalah sebahagian sifat wanita dan bukanlah perkara baru.
Katanya, bagaimanapun sikap cemburu keterlaluan perlu dielakkan kerana ia boleh mendatangkan masalah dalam hubungan sekali gus memudaratkan diri.
“Tak perlu terlalu cemburu dalam menjalinkan hubungan cukup sekadar menunjukkan kita prihatin dan memberikan perhatian.
“Saya bersyukur, setakat ini saya masih belum bertindak ganas apabila berhadapan dengan perasaan cemburu. Cuma pernah juga curiga dan curi-curi semak telefon bimbit untuk kepastian,” jelasnya.
Marina Mohd Shariff, 44, Pengurus
Komunikasi dan berbincang penting untuk menyelesaikan masalah bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi dilalui pasangan.
“Setiap individu mempunyai perasaan itu dan saya sendiri agak suka cemburu namun ia perlulah bertempat. Jika ada perkara membangkitkan perasaan itu, lebih baik luahkan kepada pasangan anda.
“Jika jawapan atau alasan diberikan tidak logik saya akan mendiamkan diri dan merajuk. Tapi tidaklah berpanjangan hingga mengusutkan lagi keadaan, jelasnya
INFO: Panduan elak cemburu
* Berikan perhatian dan kasih sayang kepada pasangan anda supaya mereka tidak rasa dipinggirkan.
* Wujudkan komunikasi dua hala.
* Hubungi pasangan anda menggunakan telefon tiap kali ada masa lapang untuk bertanyakan khabar.
* Elakkan perkara boleh mengundang cemburu dan sakit hati.
* Hidupkan suasana selesa ketika bersama.
* Hargai setiap perkara dilakukan pasangan anda.
* Jangan ragu-ragu terhadap kesetiaan pasangan anda.
* Amalkan sikap saling hormat-menghormati sesama sendiri.
* Beri diri sendiri masa untuk mengatasi sifat cemburu dalam diri.
* Minta maaf
* Sentiasa berfikiran positif terhadap diri sendiri dan pasangan.
* Buang atau kurangkan sifat marah.
Kesan buruk dalam hubungan
* Apabila dikongkong pasangan terlalu cemburu buta, pergerakan sosial seseorang akan terhad dan emosi terganggu
serta tidak dapat memberikan fokus.
* Tindakan cemburu juga boleh menjadikan hubungan hambar berakhir dengan kemurungan dan hilang kepercayaan.
* Kesan cemburu buta boleh membuatkan seseorang itu bertindak di luar jangkaan dan ia bukanlah perkara diimpikan
dalam hubungan.
* Apa yang perlu ialah sikap saling mempercayai, telus dan sentiasa yakin dengan perbuatan pasangan.
* Jika di tempat kerja perlu profesional, begitu juga hubungan dalam pasangan yang bercinta perlu tahu had batasan.
Alih kemarahan
* Kegagalan mengawal perasaan cemburu boleh menjadikan anda ganas, panas baran dan mencederakan diri sendiri.
* Tuduhan atau kemarahan akibat cemburu tak terkawal boleh mendorong mencederakan pasangan termasuk pukul dan lebih teruk membunuh.
* Jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi, anda mampu mengawal kemarahan akibat cemburu.
* Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan.
* Gunakan pemikiran rasional anda untuk mengalihkan perasaan cemburu buta dan tumpukan pada perbincangan untuk meleraikan masalah dihadapi.
Doa menghilangkan rasa marah:
“Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan terkutuk. Ya Allah, ampunilah dosaku dan hilangkan kepanasan hatiku serta lepas aku dari gangguan syaitan terkutuk.”
No comments:
Post a Comment