Sunday, November 10, 2013

Kebaikan pil cegah kehamilan

Bercakap mengenai kaedah pencegah kehamilan, masyarakat di Malaysia, khususnya golongan wanita, masih tabu dan berasa ‘takut’ untuk mengambilnya disebabkan pelbagai kesan sampingan.
Kenaikan berat badan, haid tidak teratur dan selera makan bertambah antara ‘alasan’ yang sering diberi kaum Hawa apabila ditanya mengenai pencegah kehamilan. 
Namun, ramai tidak tahu kebaikan di sebalik ‘keburukan’ yang ada pada pil pencegah kehamilan. 

Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma iaitu bahagian farmaseutikal berjenama syarikat multinasional penjagaan kesihatan sepadu yang beribu pejabat di Sepanyol, Chemo Group mengumumkan hasil kajian serantaunya yang pertama di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.
Foto
BUAT pilihan yang betul untuk cegah kehamilan.

Ia membabitkan pengamal perubatan umum (GP), ahli farmasi, serta pakar perbidanan serta sakit puan (O&G) untuk mendapatkan gambaran mengenai lanskap rawatan dan keperluan yang tidak dipenuhi dalam kalangan wanita di Malaysia dan rantau ini.

Kajian menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon di negara ini berbanding tahun sebelumnya. 

Peningkatan ini mungkin disebabkan kehidupan seks yang aktif dan kesedaran mengenai pencegahan kehamilan yang semakin meningkat serta kewujudan terapi hormon wanita yang semakin banyak di pasaran. 

Berdasarkan peningkatan ini, satu daripada tiga wanita diberikan terapi hormon wanita untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan yang merangkumi pencegahan kehamilan (76 peratus), masalah kesan sampingan haid (61 peratus), jerawat (43 peratus) dan endometriosis (74 peratus). 

Kajian juga menunjukkan, pil perancang oral gabungan (combined oral contraceptive - COC) adalah pilihan terapi hormon yang diutamakan untuk merawat keadaan kesihatan berkenaan. 

Pil COC yang ideal adalah pil paling menyerupai tubuh manusia secara semula jadi, mempunyai kesan sampingan yang minimum dan menawarkan faedah kesihatan tambahan. 

Lebih penting, pil ini perlu murah dan mampu milik supaya lebih ramai orang dapat menggunakannya. 

Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr KK Iswaran berkata, pil COC mengandungi dua hormon wanita yang sintetik iaitu hormon progesteron (dirujuk sebagai progestin) dan estrogen serta fungsi utamanya ialah mencegah kehamilan. 

“Pil ini mempunyai beberapa faedah kesihatan tambahan dan segera seperti meredakan senggugut, merawat jerawat, mengurangkan gangguan emosi, mengurangkan risiko barah ovari dan endometrium, selain memperbaiki keadaan kesihatan reproduktif lain. 

“Di negara maju, sesetengah pesakit menggunakan pil ini secara eksklusif untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid serta keadaan kesihatan reproduktif tertentu seperti haid tidak teratur endometriosis serta sindrom pra haid (PMS),” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. 

Kajian yang dijalankan dalam kalangan penjagaan kesihatan mendapati pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana ia berkesan, selamat, mudah diterima badan, mempunyai kesan sampingan minimum serta memberikan faedah kesihatan tambahan. 

Namun, kos semasa pil COC drospirenone masih lagi menjadi faktor utama yang mungkin mengehadkan pilihan pesakit untuk mendapatkannya. 

Kemasukan serta kewujudan ubat generik susulan tamat tempoh paten untuk produk inovator dikaitkan dengan peningkatan akses ubatan dan penjimatan kos perubatan di beberapa negara, termasuk Malaysia. 

Pada 2009, Polisi Penjagaan Kesihatan Kebangsaan Malaysia menggalakkan penggunaan ubatan generik untuk menjamin penjagaan kesihatan yang lebih mampu dan lestari. 

Apabila ditanya mengenai tahap kepuasan wanita terhadap ubat hormon generik, secara purata responden memberi maklum balas positif dan menyatakan, ia pilihan lebih menjimatkan serta mempunyai keberkesanan setara dengan jenama popular. 

Setiausaha Majlis Kontraseptif Asia Pasifik (APCOC), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, di Malaysia, kadar penggunaan pil perancang moden sangat rendah. 

“Hanya kurang daripada empat peratus wanita lingkungan usia 15 hingga 49 tahun yang menggunakannya. Kos dan kesan sampingan biasanya menjadi faktor pertimbangan utama untuk wanita apabila memilih kaedah pencegah kehamilan. 

“Dengan adanya pil perancang moden generik yang mempunyai kesan sampingan minimum seperti tidak menyebabkan penambahan berat badan, kini wanita ada lebih banyak pilihan serta menikmati faedah kesihatan tambahan yang ditawarkan oleh pil baru ini,” katanya. 

Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan pesakit baru yang disokong Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Persatuan Keibubapaan Terancang Antarabangsa, Wilayah Asia Timur dan Tenggara dan Ocenia (IPPF ESEAOR) yang bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai faedah kesihatan tambahan pil COC serta menggalakkan wanita bertindak bagi meningkatkan kesejahteraan diri mereka. 

Risalah ini akan diedarkan di klinik, farmasi, hospital dan institusi pengajian tinggi. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia dan Singapura Exeltis Pharma, Andy Siow berkata, menerusi hasil kajian dan risalah pendidikan pesakit yang baru ini, pihaknya mahu memperkasakan golongan wanita dengan memberi peluang untuk mengawal dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka. 

“Di Malaysia, Exeltis Pharma menawarkan tiga pil COC mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza dan pada masa sama turut menawarkan faedah drospirenone pada harga mampu milik. 

“Pil itu dihasilkan di Sepanyol dan dipasarkan di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Sweden, Itali, Perancis, Thailand serta Filipina sejak 2009. 

“Di Exeltis, kami menyokong inovasi dan pembangunan lestari. Komitmen kami adalah meningkatkan kualiti kesihatan dan kehidupan manusia, menyediakan akses kepada ubatan berkualiti pada harga mampu milik, selain memperluas usaha dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan terapi baru yang lebih baik,” katanya. 


Perbezaan suntikan hormon dan pil perancang 

Suntikan hormon
 
  • Diberi secara suntikan.

  • Suntikan diberi setiap 12 minggu (tiga bulan) mengikut jadual ditetapkan.

  • Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas tujuh hari mendapat suntikan.

  • Kesuburan kembali tiga hingga enam bulan daripada suntikan terakhir


    • Pil Perancang 
      • Diambil secara oral (makan).

      • Makan secara berterusan selama 21 hari setiap satu pusingan. Jika terlupa mengambil pil, risiko untuk mengandung adalah tinggi.

      • Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas tujuh hari mengambil pil jenis kombinasi. Bagaimanapun, penggunaan pil Noriday adalah lebih cepat iaitu dua hari.

      • Kesuburan kembali dengan segera setelah berhenti makan pil.


      SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Post a Comment