Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata antara punca utama paras hutang isi rumah yang tinggi ketika ini adalah disebabkan tenaga kerja tidak menerima gaji yang setimpal dengan daya produktiviti mereka.
“Kita dapati pasaran tenaga kerja di Malaysia sudah bekerja keras, namun tidak diberikan upah atau gaji yang sepadan dengan usaha yang sudah dilakukan.
“Berikutan itu, mereka perlu membayar harganya iaitu dalam bentuk hutang dan jalan penyelesaian kepada masalah ini akan menjadi satu isu jangka panjang,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Tinjauan Ekonomi Nasional (NEOC) di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau sebelum itu menyampaikan pembentangan bertajuk Tinjauan Ekonomi Malaysia 2014-2015 pada hari pertama forum berlangsung selama dua hari itu.
Laksana gaji minimum Zakariah berkata, usaha kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum adalah satu bentuk pembaharuan pasaran tenaga kerja untuk menuju kepada satu peringkat pembayaran upah yang boleh dikaitkan dengan produktiviti.
Katanya, pelaksanaan sepenuhnya dasar gaji minimum membolehkan negara bergerak ke arah sedemikian, namun matlamatnya akan dapat dicapai dalam tempoh yang lebih lama.
“Tahun ini, dasar gaji minimum sudah mula dilaksanakan namun ada beberapa perkara yang membabitkan pelaksanaannya masih belum berjalan lancar.
Maka diharapkan Kementerian Sumber Manusia akan lebih bertekad memperbaikinya pada tahun depan,” katanya.
Setelah ditangguh dan diberi kelonggaran sejak Januari tahun ini, dasar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari tahun depan.
Penuhi permintaan syarikat
Perintah Gaji Minimum 2012 sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013, dengan kadarnya dikaji setiap dua tahun.
Ia bagaimanapun ditangguh bagi memenuhi permintaan 400 syarikat agar tarikhnya ditunda kepada 31 Disember 2013.
Pelaksanaan dasar gaji minimum itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April tahun lalu dan diwartakan pada 16 Julai.
Mengulas lanjut, Zakariah berkata impak pelaksanaan gaji minimum sukar untuk dinilai dalam tempoh terdekat kerana ini adalah kali pertama negara melaksanakan dasar berkenaan pada skala nasional yang menyebabkan golongan majikan serta pekerja belum membiasakan diri dengannya.
“Kita perlu bersikap lebih pragmatik dalam hal ini dan memberikan ruang kepada mereka supaya lebih bersedia.
“Tahun pertama pelaksanaan pasti akan ada masalah dan ia akan diperbaiki pada tahun berikutnya, malah dasar juga disemak setiap dua tahun sekali,” katanya.
No comments:
Post a Comment