Wednesday, November 27, 2013

Kembali terjalin

Reunion adalah salah satu cara terbaik untuk berkumpul dengan rakan-rakan lama. Walau sesibuk manapun kita, rakan dan keluarga jangan dilupai. NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN menyingkap kefahaman berkaitan reunion dengan lebih mendalam.
Baru-baru ini, ketika penulis menghadiri majlis konvokesyen ke-79, Universiti Teknologi MARA (UiTM), kelihatan ramai rakan yang sudah bekerja. Tak terkecuali mereka yang sudah berbadan dua (kahwin).
Kemeriahan dapat dirasai bila berjumpa kembali dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak ketemu. Keriuhan semasa mengambil jubah konvokesyen juga penuh dengan pelbagai ragam. Malah ada yang bercerita semula berkaitan kesukaran ketika belajar dulu, demi segulung ijazah. Memang ‘happening’! 

Pun begitu, ada lagi yang masih menganggur dan cuba mencari peluang pekerjaan. Bila ini terjadi, rakan yang bekerja sudi untuk membantu. Maklum saja, selepas tamatnya konvokesyen sudah tentu pelbagai perancangan bakal dilakukan. Demi meneruskan kehidupan sebagai seorang lepasan siswazah.

Justeru, kita tidak akan dapat lagi berjumpa dengan rakan sekelas yang pernah susah dan senang bersama. Ingat lagi, berkelahi dan salah faham, antara yang kerap berlaku bila tibanya tugasan berkumpulan. Malah ada yang lebih suka tugasan individu, tanpa perlu ada kes curi tulang.

Namun ia hanyalah sebuah kenangan yang tidak dapat dilupakan terutama bila tibanya hari konvokesyen. Semuanya kelihatan biasa dan tidak akan tersimpan dendam dalam hati. 

Situasi yang berlaku membuatkan penulis terfikir, bagaimana cara untuk berkumpul dengan rakan sekelas selepas ini? Jawapan yang terlintas adalah ‘reunion’. 

Reunion adalah sesi berkumpul semula dengan ­rakan-rakan sekolah, universiti, tempat kerja lama atau kolej terutama bila memakan masa bertahun lamanya untuk bertemu. 

Tentu kita akan memikirkan masa depan yang lebih jauh untuk ditempuhi. Namun, kenangan semasa belajar antara memori yang tidak akan dilupakan. Dengan pelbagai ­ragam dan kerenah rakan yang ada ketikanya mampu mengisi ­kekosongan bila berjauhan dengan keluarga. Payah nak lupa! 


KEMUDAHAN LAMAN SOSIAL 

Facebook atau Twitter, antara laman sosial yang membantu untuk cari rakan sekolah terutama bagi mereka yang sudah ‘lost contact’. Maka medium ini digunakan sebaiknya. 

Bila berjaya dicari dan bertemu. Tentu banyak perubahan yang boleh kita saksikan berlaku pada teman itu. Misalnya sudah berkahwin, mempunyai anak, bekerja dan sebagainya. Tidak kurang juga yang masih lagi menyambung pelajaran.

‘Reunion’ turut membolehkan seseorang berkongsi pengalaman dengan rakan lama. Bahkan, bagi mereka yang membuka perniagaan, ‘reunion’ dijadikan tempat untuk mempromosikan barang kepada rakan-rakan. Siap bagi diskaun istimewa.

Bukan hanya sekadar berkongsi kisah manis, ada juga yang menceritakan kisah pahit sepanjang perjalanan hidupnya. Seperti kehilangan insan tersayang, tak dapat menyambung pelajaran atau apa saja yang boleh dikongsikan bersama. Tidak menjadi keberatan buat mereka untuk menceritakan semua itu. 

Secara puratanya, laman sosial dapat menjalinkan kembali hubungan yang sudah terputus. Tekan butang ‘search’ dan cari nama rakan berkenaan. Memang mudah! 

Pun begitu, jangan pula tersilap orang kerana bukan rakan itu seorang saja yang mempunyai nama Noraniza atau Farahana. Sedangkan, berjuta-juta pemilik akaun Facebook ada nama yang serupa. Cuma dapat kenal pasti melalui gambar profil mereka. 

Dunia tanpa sempadan ini turut memudahkan seseorang menggunakan medium itu untuk membuat ‘event’ seterusnya menjemput rakan untuk hadir. Selain boleh membuat kumpulan ‘reunion’ sendiri di laman sosial berkenaan. 

Pasti ada perubahan ketara daripada rakan berkaitan penampilan dirinya dan kemajuan yang sudah dikecapi. 

Jika dulu dialah seorang pemalas untuk menyiapkan kerja sekolah, tapi kini, sudah menjawat jawatan tinggi dan tidak sombong pula dengan rakan lain semasa sesi ‘reunion’. 

Kawan perempuan pula, dulunya malu-malu untuk bercinta, tapi kini sudah mendirikan rumah tangga lebih awal berbanding rakan lain. 

Kesimpulannya, ‘reunion’ mengeratkan semula silaturahim antara rakan-rakan yang sudah jauh terpisah. Walaupun beribu batu jauhnya, jangan sesekali tidak mempedulikan rakan itu yang mungkin suatu ketika dulu dia pernah membantu anda.


AJAK BERCUTI 

Seorang guru sekolah menengah, Noorain Mohd Fuad, 26, mengatakan dengan adanya ‘reunion’ beliau boleh menjemput rakan-rakan untuk menghadiri majlis pertunangannya.

“Selepas tamat persekolahan, saya berpindah rumah dari Ipoh ke Terengganu. Jadi disebabkan itu, sukar untuk berjumpa dengan rakan sekolah.

“Saya pernah minta keizinan keluarga untuk pulang ke Ipoh agar dapat berjumpa rakan-rakan sekolah, tapi dihalang oleh ayah kerana tidak ada ahli keluarga yang tinggal di sana lagi.

“Namun, selepas ada rakan tempat kerja memberitahu dapat jumpa rakannya melalui laman sosial Facebook seterusnya mengadakan sesi ‘reunion’, saya terus ambil keputusan untuk membuat akaun berkenaan dan mencari semula rakan-rakan sekolah.

“Akhirnya seorang demi seorang saya jumpa di Facebook. Jadi dapat saya menjemput rakan-rakan untuk menghadiri majlis besar saya nanti. Selain dapat mengajak mereka bercuti di tempat baru saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment