Sunday, November 24, 2013

Usah cemas cyst timbul di ovari

Sista atau cyst ialah kantung tidak normal yang terbentuk di mana-mana organ dalam badan manusia. Ia boleh mengandungi udara, cecair atau selaput.
Nama diberi pada cyst berbeza bergantung kepada jenis dan lokasinya.
Cyst pada kilang telur wanita, dikenali sebagai Ovarian Cyst atau sista ovari, antara paling kerap berlaku.
Cyst ovari ialah pengumpulan cecair dalam kantung yang berada dalam ovari wanita.

Ia boleh berlaku pada bila-bila masa hidup seseorang wanita tetapi paling kerap ketika usia subur iaitu antara usia remaja dan sebelum putus haid.
Kebanyakan cyst ini adalah jenis tidak berbahaya atau ‘benign’ dan ia biasanya cyst yang terbentuk akibat proses fisiologi normal seorang wanita dalam sesuatu kitar haid.
Akibat rangsangan hormon wanita, sel telur yang matang akan membentuk cyst bagi menghasilkan telur yang subur ketika ovulasi sebelum berlakunya persenyawaan.
Cyst ini akan pecah dan mengeluarkan telur yang subur.

Jika persenyawaan tidak berlaku, cyst ini akan mengecut dan akhirnya lenyap dalam sistem pembiakan wanita.

Namun jika tidak pecah, ia menjadi cyst yang tidak normal tetapi tidak berbahaya.
Selain itu, ada beberapa lagi jenis cyst tidak normal yang boleh terbentuk dalam kilang telur wanita.

Antaranya sindrom ovari polisistik (polycystic ovarian syndrome), endometriosis, dermoid cyst dan beberapa jenis cyst lain.
Simptom cyst ovari adalah berbeza bergantung kepada individu.

Ada juga wanita yang mempunyai cyst ini tidak mempunyai simptom.
Sakit pada bahagian bawah perut sekitar kawasan ari-ari adalah simptom paling kerap berlaku.

Sakit ini sering timbul beberapa hari sebelum atau selepas datang bulan.
Ada kalanya kitaran haid menjadi tidak menentu dan berlaku pendarahan tidak normal, kerap membuang air kecil atau masalah membuang air besar seperti sembelit juga boleh berlaku, terutama jika saiz cyst sangat besar.
Selain itu, simptom seperti tiada selera makan, susut berat badan, selalu mengalami keletihan adalah simptom yang merisaukan.
Sebanyak 95 peratus daripada kes cyst ovari adalah bukan kanser dan tidak merisaukan.

Ujian ultrasound atau CT scan (computed tomography) boleh membantu mengesahkan masalah ini.
Ujian darah dan air kencing perlu dilakukan pada peringkat awal untuk membezakan cyst ovari dengan masalah lain seperti appendicitis, terutama jika terasa sakit pada bahagian kanan kilang telur wanita.
Pakar juga boleh mencadangkan untuk membuat ujian saringan kanser darah jika ujian awal scan menunjukkan ia bukan cyst biasa.
Rawatan untuk cyst ovari bergantung kepada beberapa faktor, antaranya saiz cyst, usia pesakit, kekerapan sakit berlaku dan jenis cyst yang kelihatan ketika ‘scan’ dilakukan.
Jika perlu, pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan kantung berkenaan dan tisu itu dihantar ke makmal untuk mengesahkan sama ada ia mengandungi sel kanser.
Untuk cyst biasa dan tidak berbahaya, pembedahan tidak perlu dilakukan.

Ubat penahan sakit diberi bila perlu, terutama ketika haid.
Tuam dengan tungku atau botol mengandungi air suam pada bahagian ari-ari sekerap mungkin untuk mengurangkan rasa sakit pada ba hagian itu.
Ada kalanya, pil perancang diberi untuk menjadikan kitaran haid pesakit terkawal dan mengurangkan kebarangkalian terjadinya pembentukan cyst.

No comments:

Post a Comment