Wednesday, November 27, 2013

Hari ini OK, esok terlebih garam

Baru-baru ini, sewaktu dalam perjalanan ke Kota Bharu, saya melihat begitu banyak sekali gerai menjual jagung di sepanjang kiri kanan jalan, terutamanya di negeri Terengganu. Jagung segar berkenaan dijual di gerai-gerai sementara yang dibina berhampiran antara satu sama lain. Gerai-gerai itu juga dibina secara ala kadar, tidak menarik malah ada yang tidak berbumbung pun.
Saya tidak dapat mengira dengan tepat berapa jumlah gerai yang menjual tongkol-tongkol jagung berkenaan, tetapi pasti melebihi 50 gerai. Bagaimanapun saya mendapati boleh dikatakan hampir semua gerai berkenaan tiada pelanggan. Nampaknya, gerai jagung lebih ramai daripada pembeli jagung! 
Kebanyakan gerai pula hanya dijaga oleh kanak-kanak, malah banyak juga yang ditinggalkan begitu saja tanpa ada penjualnya. Saya juga begitu pasti bahawa semua penjaja atau peniaga di gerai-gerai ini adalah orang Melayu. 

Inilah antara masalah atau kelemahan peniaga Melayu di negara ini. Setiap orang mahu menjual produk yang sama di lokasi serupa kepada pelanggan yang mungkin tidak berbeza. Premis jualan juga tidak menarik dan dibina ala kadar. Malah ada yang seperti reban ayam saja. Dalam kata lain, peniaga Melayu kita tidak kreatif di dalam memasarkan produk mereka.

Bersaing sesama sendiri 

Fenomena ketidakkreatifan peniaga Melayu ini dapat juga dilihat di pasar-pasar malam di seluruh negara. Contohnya, jika ada 30 peniaga Melayu di sesuatu pasar malam itu, 20 daripada mereka pasti menjual barangan yang hampir sama, baik pakaian, makanan atau buah-buahan. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri manakala peniaga bangsa lain, terutamanya Cina, akan menjual produk tertentu yang tidak sama dengan peniaga Cina lain dan pasti tidak akan menjual pakaian atau makanan seperti peniaga Melayu. 

Bukan saja faktor persaingan sebegini yang menjadi hambatan atau kekangan kepada peniaga atau penjaja Melayu, tetapi mereka juga tewas teruk dalam hal persembahan, bungkusan atau pakej produk mereka. Lebih malang, peniaga Melayu juga didapati kurang peramah dan tidak mesra pelanggan. 

Gerai penjaja Melayu biasanya juga kurang menarik, gelap selain susun atur barangan tidak dibuat dengan strategik dan kurang praktikal. Lampu yang digunakan juga malap, berbanding gerai peniaga bangsa lain yang cerah dan terang-benderang, selain barangan jualan dipamer dengan baik, tersusun hingga mampu menaikkan nafsu pelanggan untuk datang membeli. 

Saya masih ingat pada bulan Ramadan lalu ramai peniaga Melayu yang menjual songkok, capal dan kain samping mengeluh kerana jualan mereka terjejas teruk akibat kemasukan produk serupa dari negara Indonesia dan India yang dijual pada harga jauh lebih murah, tetapi mempunyai kualiti dan reka bentuk yang lebih menarik. 

Justeru, untuk produk seperti songkok, capal dan kain samping pun kita tidak mampu bersaing, bagaimana pula untuk barangan lain yang lebih canggih dan perlukan modal besar seperti jentera dan peralatan elektronik? 

Tidak perlu pergi jauh sebenarnya untuk melihat betapa teruk orang Melayu kita ketinggalan di dalam bidang niaga kecil-kecilan ini. Pengusaha restoran kita begitu jauh tercicir jika dibandingkan dengan peniaga restoran Mamak. Restoran Mamak membuka perniagaannya mulai awal pagi hinggalah tengah malam, malah banyak yang membukanya 24 jam sehari. Mereka beroperasi tujuh hari seminggu, 31 hari sebulan. 

Restoran Melayu pula hanya menjual makanan pada waktu tengah hari dan paling lewat hingga jam 9 malam. Banyak pula yang tutup pada kedua-dua hari hujung minggu. Pada Aidilfitri dan Aidiladha pula banyak restoran Melayu tidak membuka perniagaan sehingga lebih seminggu. 

Dalam hal kualiti hidangan juga restoran Melayu masih jauh ketinggalan. Hari ini nasi goreng yang dihidang OK, esok terlebih garam, lusa pula tawar hebeh hingga pelanggan pun tidak tergamak mahu menelannya. Semuanya gara-gara tukang masak yang sering bertukar. 

Kritikan saya ini tidak bertujuan mahu melemahkan semangat peniaga Melayu. Untuk maju dan mampu bersaing dengan peniaga bangsa lain, mereka perlu meningkatkan kemahiran, disiplin dan ilmu dalam perniagaan. Yang penting, produk mestilah bermutu, menarik dan mampu dibeli oleh pengguna. 

No comments:

Post a Comment