Thursday, November 7, 2013

Suatu peralihan

Maal Hijrah yang disambut hari ini ada ketikanya dianggap hanyalah cuti umum atau permulaan kepada kalendar Islam. Sehinggakan tiada yang pedulikan pengertiannya.
Ia sering digambarkan sebagai permulaan baru kepada individu atau umat Islam untuk bermuhasabah agar berfikiran positif dan proses penilaian diri supaya berubah menjadi insan yang lebih baik. 
Namun kini, golongan muda kurang beri penghayatan kepada sambutan Awal Muharam dan hanya tahu ia disambut dengan perarakan beramai-ramai yang diadakan seluruh Malaysia. 

Seharusnya remaja menghayati konsep Maal Hijrah dengan lebih fokus, terutama berkaitan dengan sikap kurang baik kepada yang lebih baik serta istiqamah menjaga setiap perkara yang dilakukan agar sentiasa berlandaskan Islam.

Era kemodenan kini, ramai remaja terbabit dengan gejala yang kurang sihat sehingga menjejaskan nama baik negara, agama dan bangsa dengan perilaku yang ditonjolkan. Maka dengan adanya Maal Hijrah sebegini, mungkin berupaya mendidik para remaja agar beransur-ansur berubah menjadi remaja yang boleh dibanggakan.

Sebagai umat Islam, seharusnya sentiasa menanamkan sikap ingin berubah walaupun ia mengambil masa yang lama. Bahkan kini banyak motivasi, ceramah dan sesi kaunseling diadakan untuk memperbaiki sikap remaja berkenaan. 


Lebih baik dari semalam 

Awal Muharam dan Maal Hijrah adalah hari peristiwa penting dalam sejarah Islam. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah pada 622 Masihi diambil sebagai permulaan kiraan dalam kalendar Hijrah. 

Setiap tahun, Malaysia menyambut perayaan itu dengan upacara keagamaan, di mana seluruh umat Islam mengerjakan solat sunat di awal tahun Islam dan berdoa agar tahun berkenaan diberikan kemudahan yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Bahkan ia adalah cuti umum di negara ini. 

Berdasarkan kefahaman hijrah, golongan muda harus proaktif dalam perubahan iaitu melakukan sesuatu penghijrahan itu berdasarkan semangat yang ditunjukkan pada zaman kegemilangan Rasulullah. 

Antaranya, melakukan penghijrahan dari kawasan luar bandar ke bandar, mencari kebenaran berkaitan sesuatu hal, berdakwah, mencari nafkah, menuntut ilmu dan memulakan perniagaan. 

Contohnya, sekiranya dulu seseorang itu malas membaca dan sering mendapat keputusan ‘buruk’ dalam peperiksaan secara tak langsung mereka boleh pupuk satu perubahan dalam diri agar lebih rajin serta menanam azam untuk lebih berjaya pada masa hadapan. 

Nak sebut berkaitan penghijrahan ini terlalu banyak yang boleh diambil sebagai contoh. Bahkan ia adalah jalan terbaik untuk seseorang itu melakukan pengorbanan yang berkaitan dengan pemikiran, penampilan dan pergaulan. 

Bagi individu yang ingin menanamkan matlamat melakukan penghijrahan, mereka harus kental dan kuat dalam mengharungi cabaran. Maklum saja, bila melakukan perubahan pasti ada orang sekeliling kurang senang malah mempersoalkan perubahan itu. Definisi mudah, sibuk menjaga tepi kain orang! 

Meskipun itu, jangan ambil peduli kata-kata negatif orang lain yang tak suka melihat perubahan. Hayati kesukaran dan cabaran yang dilalui Nabi Muhammad SAW ketika mula-mula sebarkan Islam. Jadikan itu sebagai dorongan. 

Remaja seharusnya tidak hanyut dalam arus perubahan yang secara perlahan-lahan meracun pemikiran mereka hingga terjebak dalam kancah maksiat dan gejala negatif lain. 

Oleh itu, sekiranya kefahaman jahiliah mudah berkembang kini, golongan muda khususnya harus bertanggungjawab menolak kefahaman terpesong itu agar tidak terus menghantui dalam kehidupan seharian. 


5 tip ringkas hijrah 


1. Niat
 

Hijrah seharusnya dimulakan dengan niat yang ikhlas dalam mengharapkan keredaan Allah. Perubahan diri yang disertakan niat pasti mendapat pertolongan. Ingat remaja semua, jika anda melakukan hijrah tapi menunjuk-nunjuk pasti mengundang padah malah tidak kekal lama kebaikan yang diterima itu. 


2. Matlamat 

Matlamat yang ditetapkan itu perlulah relevan dan mampu untuk dicapai. Jangan meletakkan matlamat sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Mulakan dalam usaha yang mudah. 


3. Buang anggapan salah 

Selama ini anda mungkin mempunyai persepsi yang salah terhadap diri anda dan kehidupan. Mungkin anda pernah beranggapan, golongan baik-baik saja yang mampu memperoleh kemanisan iman sedangkan anda tidak. Buang jauh-jauh perasaan negatif itu yang boleh mencacatkan semangat anda untuk melakukan penghijrahan. 


4. Banyakkan baca kisah orang berjaya 

Bagi remaja yang ingin bertudung contohnya, bacalah buku-buku di pasaran mengenai bagaimana akhirnya wanita berkenaan mendapat hidayah untuk tampil bertudung dan menutup aurat. Banyak bahan bacaan yang mendorong kita untuk berubah. Itulah kuasa hijrah. 


5. Pedulikan kata orang 

Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Orang akan melihat sebarang perubahan diri yang dilakukan. Pasti ada yang memuji malah ada yang mengeji. Apa yang penting itulah rencah dan dugaan hidup yang perlu anda lalui. Jangan berkecil hati dan kuatkan semangat. 



Ingin jadi contoh 

“Nak dikatakan sudah berpuluh kali keluarga suruh saya memakai tudung dan ia pernah terdetik dalam hati terutama bila pergi ke pusat membeli-belah untuk memilih baju baru. 

“Bila diingat semula, tak pernah terlintas untuk beli tudung. Sedang­kan banyak corak dan warna menarik yang boleh digayakan dengan baju. 

“Namun sejak bertudung kini, sikap saya makin berubah ke arah yang lebih baik, malah ingin menjadi contoh baik kepada adik-adik. Memang ada benarnya, perempuan bertudung itu tidak semestinya baik dari semua aspek dan mereka yang tidak bertudung itu jahat. Kita harus mengubah tanggapan negatif itu agar tidak terus digunakan pada generasi akan datang. 

“Pun begitu, mereka yang memakai tudung itu sekurang-kurangnya belajar menjadi seorang yang lebih baik dan melakukannya secara perlahan-lahan. 

“Kini ramai golongan artis wanita yang mula memakai hijab dan perubahan itu ada ketikanya menarik diri ini untuk turut serta memakainya dengan busana yang cantik,” katanya. 

Nama: Siti Nur Fathihah Abdul Khalid 
Umur: 23 
Lokasi: Perak 


Mimpi memakai hijab 

“Saya mula memakai hijab pada Oktober 2012. Walaupun ketika itu sudah berada dalam umur yang sepatutnya memakai hijab, namun mungkin agar terlewat untuk diri ini berubah. Sedangkan, anak perempuan yang sudah baligh selayaknya menutup aurat. 

“Kini saya bersyukur kerana diberikan kesempatan berubah ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Malah sentiasa istiqamah dalam pemakaian hijab ini walau ke mana saja saya berada. Keluar dari kawasan rumah turut membuatkan perasaan berdosa itu wujud dalam diri, terutama bila tak menutup aurat. 

“Saya merasakan seolah diperhatikan Allah bila tak menutup aurat dan menerima perubahan ini juga daripada mimpi, sehingga terdetik hati untuk memakai hijab sehingga kini. 

“Bila membuat keputusan untuk memakai hijab seluruh ahli keluarga memberikan sokongan positif. Namun, perubahan ini adalah keputusan saya sendiri walaupun sebelum itu ayah pernah mendesak. 

“Ibu tidak memaksa untuk saya memakainya kerana biarlah ia datang daripada diri sendiri tanpa perlu dipaksa, tapi ayah yang selalu suruh tutup aurat dan mengatakan rambut adalah mahkota wanita yang harus dipelihara dan ditutup dengan baik. 

“Dengan menutup aurat membuatkan diri lebih terpelihara, bahkan dihormati rakan lelaki agar tidak ada bersentuhan tangan dan sebagainya. 

“Namun begitu, disebabkan terlalu banyak fesyen menarik kini, ada sebilangan remaja memandang rendah terhadap pakaian muslimah yang betul. Oleh itu, saya sentiasa waspada memilih pakaian agar aurat terjaga. Selain, ia sesuai dengan tubuh dan tidak terlalu ketat. 

“Sebelum melangkah keluar dari rumah, saya akan pastikan memakai baju longgar dan berlengan panjang. Kemudian pula, fikir baju yang nampak sopan dan sesuai digayakan dengan hijab. 

“Sendiri maklum bahawa Maal Hijrah membabitkan perpindahan yang dijelaskan dari pelbagai sudut tapi hanya pada niat yang satu untuk melakukan perubahan ke atas diri dan meninggalkan sikap buruk,” katanya. 

Nama: Nur Syafiqah Mustafa Ma’arof 
Umur: 21 
Lokasi: Pahang

No comments:

Post a Comment