Status hanya kawan, tapi lagak hubungan macam orang bercinta. Itulah realitinya dalam banyak hubungan berkawan lebih-lebih lagi kalau berlainan jantina. Selalu lupa akan hubungan itu tidak lebih dari seorang kawan.
Perasaan kecewa dan jauh hati selalunya berlaku apabila salah seorang itu menemui cintanya. Mulalah timbul rasa cemburu kerana si dia sudah meletak kekasih mereka keutamaan dan sahabat itu kemudiannya.
Perlukah ada rasa begitu dan apa pula patut kita lakukan dalam kawan kita berperasaan begitu sedangkan dia hanya kawan saja?
Rasanya isu kawan timbul rasa cemburu atau rasa dipinggirkan bukan perkara pelik kerana ia sesuatu yang normal pada kebanyakan kita. Maklumlah apabila sudah akrab dan ‘sekepala’, sudah tentu ada komitmen secara tidak langsung.
Rasanya isu kawan timbul rasa cemburu atau rasa dipinggirkan bukan perkara pelik kerana ia sesuatu yang normal pada kebanyakan kita. Maklumlah apabila sudah akrab dan ‘sekepala’, sudah tentu ada komitmen secara tidak langsung.
Tapi cemburu itu ada batasnya kerana sejauh mana perasaan sedih kita terhadapnya, dia hanya kawan dan tiada perasaan istimewa lebih daripada seorang kawan.
Salah satu cara terbaik untuk menjaga persahabatan adalah untuk sentiasa berhubung walau sibuk mana sekalipun. Bukan hanya sekadar berhubung dengan kekasih, kita juga perlu sentiasa menghubungi sahabat. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kalau terlalu sibuk.
Bukan itu saja, kita juga boleh sentiasa memberi reaksi kepada status atau ‘tweet’nya di media sosial untuk membuktikan yang kita masih ada dekat dengannya walaupun jarang bertemu. Tapi awas, hati-hati dengan setiap perkataan kita agar tidak melukakan hati sahabat kerana faktanya, jika kita jarang bertemu, rasa sensitif itu lebih tebal.
Seperti yang dikatakan oleh Ejen Gen Y juga pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaya, Nur Amanina Mohd Azuddin Sham, istilah kawan hanya cukup sekadar kawan yang sudi mendengar dan menemani kita di kala susah dan senang.
“Rasa cemburu atau iri hati kepada kawan baik adalah sesuatu yang tidak patut berlaku kerana sebagai teman sejati, kita sepatutnya berasa gembira melihat kebahagiaannya. Itu yang patut berlaku.
“Contohnya saya sebagai pelajar, kawan baik saya adalah teman setia yang menemani untuk belajar bersama atau menguruskan hal peribadi jika saya keseorangan. Kami makan bersama dan dia adalah tempat untuk saya meluahkan perasaan baik sedih ataupun gembira.
“Namun jika dia sudah bertemu teman lelaki atau kawan lain yang mungkin lebih serasi dengannya, itu hak dia dan tidak patut untuk saya rasa marah kerana persahabatan itu tidak sekali terganggu.
“Apa yang penting adalah kejujuran dan ikhlas dalam berkawan. Walau kawan baik sudah ada teman lelaki atau kumpulan kawan lain, dia akan tetap cari saya untuk hal tertentu dan hubungan kami masih berjalan seperti biasa.
“Jika dia sudah tidak lagi boleh menemani saya untuk belajar atau makan, saya masih boleh pergi sendirian dan tidak perlu untuk timbul rasa sedih apatah lagi cemburu dengannya kerana itu hak individu.
“Lagipun saya jenis yang ‘independent’ dan tidak gemar mengharap pada sesiapa. Jadi tidak menjadi masalah untuk saya bergerak sendiri jika kawan baik ada hal lain dan tidak boleh membantu,” katanya positif.
Bukan memiliki
Tip kedua untuk menjaga persahabatan dan pantang untuk dilakukan adalah dengan menghormati hak dan privasinya. Walau rapat macam mana sekalipun kita masih perlu hormati hak dan privasinya. Perlu diingat, kita bukan memiliki kawan kita sebaliknya dia hanya sekadar kawan saja.
Jadi, jangan terlalu berkecil hati jika dia minta ruang dan membuat keputusan mengenai dirinya tanpa merujuk kepada kita. Hormatilah hak dan privasinya, barulah hubungan kita itu akan berkekalan.
Tambah Nur Amanina yang sememangnya menghormati hak teman baiknya turut mengatakan yang tidak perlu terlalu sensitif atau emosi apabila terperangkap dalam masalah persahabatan.
“Saya akui yang golongan perempuan lebih sensitif dan paling ramai berdepan masalah sebegini. Maklumlah sebelum ini ke mana saja bersama dan tidak pernah berenggang. Tapi apabila salah seorang sudah memiliki kekasih, dia sudah tentu akan kurang bersama kawan-kawannya dan lebih bersama kekasih hati.
“Justeru timbul rasa kononnya terpinggir dan kawan sudah mula lupa diri sedangkan itu perkara normal untuk seseorang itu melebihkan kekasihnya berbanding kawan. Saya sendiri pernah berdepan masalah sebegini namun ia bukanlah secara langsung kepada saya.
“Apa yang harus dilakukan adalah memberi penjelasan dan menerangkan kedudukan sebenar, komitmen dalam persahabatan dan tanggungjawab kepada kekasih hati. Insya-Allah kawan kita itu akan faham jika dia benar-benar ikhlas berkawan,” katanya lagi.
Ketiganya pantang dalam persahabatan adalah jangan sekali merampas miliknya. Ini banyak berlaku dalam remaja hari ini yang mana mereka sanggup putus kawan semata-mata ada yang sudah merampas dalam diam.
Tidak kiralah sama ada muda mahupun tua. Jangan sesekali kita cuba merampas miliknya terutama kekasihnya. Percayalah, sekali kita lakukan kesilapan ini pasti dia akan ingat dan sukar untuk maafkan kita.
Nilai terbaik
Keempatnya, pantang yang perlu diingat adalah jangan sekali kita menghina kawan baik kita. Tidak kira sebesar mana sekalipun kita bergaduh, jangan sesekali cuba menghina sahabat walaupun dia banyak kekurangan.
Kadang-kadang bila terlampau marah, kita tidak akan sedar apa yang kita katakan tapi bila kita mula menghina, nampak sangat selama ini kita hanya bermuka-muka saja dengannya.
Lain bagi Ejen Gen Y yang kini masih menuntut dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Malaya, Mohd Zafran Qayyum Mohd Zaki yang menyifatkan sahabat itu ibarat keluarga dan perlu dipelihara hubungan itu sebaiknya.
“Jika sahabat saya itu banyak kekurangan, saya sebagai teman paling rapat seharusnya melengkapi apa yang patutnya bukannya lagi memandang rendah padanya. Begitu juga sebaliknya. Barulah ikatan persahabatan itu semakin kukuh.
“Sahabat itu saling melengkapi dan tidak hanya pada kekasih semata-mata. Apabila saya sudah berada di universiti dan jauh dari keluarga, harga sebuah persahabatan itu lebih bernilai.
“Justeru tidak hairan jika ada yang berkecil hati atau sedih jika terasa dirinya terabai kerana kawan baiknya itu sudah mempunyai kekasih. Saya rasa itu normal dan turut berlaku kepada lelaki. Bagaimanapun apa yang penting adalah komunikasi. Tidak salah kalau kita berterus-terang dengan kawan baik sendiri jika ada yang tak puas hati,” katanya.
Paling penting, pantang dalam bersahabat adalah jangan mengungkit segala pengorbanan yang pernah kita lakukan kepada kawan baik. Ini akan menunjukkan betapa tidak ikhlas pengorbanan kita sebelum ini.
Pendek kata, hubungan persahabatan itu indah jika kesemua pihak punya keserasian dan persefahaman menyeluruh. Biar apa dugaan atau halangan yang datang, kalau kedua-dua pihak ada rasa ikhlas dan jujur, persahabatan itu akan kekal.
Lebih menarik kalau sahabat kita menjadi pengapit di majlis perkahwinan kita nanti.
No comments:
Post a Comment