Musim tengkujuh sudah tiba. Sejak pertengahan Oktober lalu beberapa daerah di Pulau Pinang, Perak dan Kedah dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan. Ini menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara mangsa banjir apabila rumah mereka dinaiki air.
Bagi menjaga kebajikan mangsa banjir di pusat penempatan sementara, pihak berkuasa melengkapi pusat itu dengan kemudahan asas, makanan dan keperluan diri yang selesa, termasuk menyediakan kawalan keselamatan dan pemeriksaan kesihatan.
Namun, tanggungjawab menjaga kesihatan diri sebenarnya bergantung kepada individu terbabit. Ini kerana, banjir juga mengundang penyakit berjangkit disebabkan bawaan air dan hanya kesedaran diri sendiri mampu mengelak menghidap penyakit seperti taun, Hepatitis A, demam kepialu dan Leptospirosis.
Penyakit yang kerap dihidapi mangsa di pusat penempatan ini adalah taun yang disebabkan oleh bakteria Vibrio cholerae pada usus kecil yang menyebabkan cirit-birit teruk.
Penyakit yang kerap dihidapi mangsa di pusat penempatan ini adalah taun yang disebabkan oleh bakteria Vibrio cholerae pada usus kecil yang menyebabkan cirit-birit teruk.
Seseorang yang menghidap taun dapat dikesan melalui gejala seperti cirit-birit mendadak yang banyak dan cair.
Penghidap taun juga mengalami masalah kekurangan air, degupan jantung yang laju, kulit kering, terlalu dahaga, bermata cengkung, tubuh lesu, selalu mengantuk, kekejangan abdomen, rasa loya dan muntah.
Semua gejala itu muncul dalam beberapa jam hingga lima hari selepas terdedah kepada jangkitan yang merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar dengan kuman taun.
Selain itu, kecuaian individu terbabit yang kurang menjaga kebersihan diri turut mendedahkan dirinya terhadap penyakit ini.
Selain kehilangan cecair dari badan, penghidap taun boleh menemui ajal dalam masa singkat jika tidak mendapat rawatan segera dan sewajarnya. Oleh itu, penghidap taun perlu menggantikan cecair badan dan garam yang hilang.
Penghidap juga akan diberi sama ada terapi Cecair Rehidrasi Oral (ORS), infusi intravena atau antibiotik seperti Tetracycline, Doxycline dan Ciprofloxacin.
Penyakit Hepatitis A pula disebabkan oleh virus Hepatitis A yang berjangkit melalui air, makanan atau susu dicemari najis mengandungi virus Hepatitis A. Virus ini mengakibatkan hati penghidap bengkak dan kurang berfungsi.
Lebih buruk, ia cepat berjangkit namun tidak menyebabkan kematian. Walaupun penyakit ini tidak menyebabkan jangkitan kuman yang berterusan, tetapi ia akan menghasilkan imuniti terhadap penyakit ini sepanjang hayat.
Tanda penghidap Hepatits A dapat dikesan melalui mata kekuningan, kencing kotor dan berwarna gelap, loya, demam, lesu, kurang selera makan, sakit perut, muntah dan gatal seluruh badan.
Bagaimanapun, tidak semua penghidap mendapat gejala terbabit kerana ia akan muncul dalam jangka masa beberapa hari.
Penyakit ini merebak melalui hubungan rapat individu yang mengalami jangkitan, makanan dan minuman yang tercemar atau tercemar ketika mengendalikannya, makanan bercengkerang yang diambil dari air tercemar, air atau ais yang tercemar.
Kebanyakan penghidap Hepatitis A akan sembuh sendiri dalam beberapa minggu. Tiada ubatan khusus atau antibiotik bagi merawat penyakit ini, oleh itu penghidapnya disaran mendapatkan rehat secukupnya untuk beberapa hari.
Bagi mencegah Hepatitis A, orang ramai perlu mendapatkan vaksin Hepatitis A. Paling penting, amalkan kebersihan diri, basuh tangan menggunakan air dan sabun selepas ke tandas, menukar lampin dan sebelum menyediakan makanan. Memakai sarung tangan jika ada menyentuh najis, darah atau cecair badan dari seseorang.
Kekalkan kebersihan dan sistem pembuangan najis yang sempurna, terutama selepas banjir atau bencana alam. Elak makanan berisiko seperti sayuran mentah dan buah-buahan yang tidak dibasuh dengan bersih. Minum air yang dimasak atau air dari bekalan botol.
Demam kepialu juga adalah penyakit kerap dilaporkan di kalangan mangsa banjir disebabkan bakteria Salmonella Typhi iaitu seseorang yang dijangkiti membawa bakteria itu dalam darah dan usus.
Mereka boleh mencemari makanan dan minuman melalui penyediaannya dan boleh menjangkiti orang lain. Gejala penyakit ini biasanya muncul selepas satu atau dua minggu tetapi ia juga boleh berlaku dari tiga hari hingga tiga bulan selepas pendedahan.
Penghidapnya akan mengalami demam berterusan dan berpanjangan dengan suhu tubuh melebihi 40 °C, cirit-birit, sembelit, sakit perut, sakit kepala, lemah badan, kurang selera makan, batuk tanpa kahak, denyutan jantung perlahan (bradycardia), ruam bintik merah, bengkak limpa dan hati.
Penyakit ini boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya. Seseorang yang sembuh daripada demam kepialu boleh menjadi pembawa bakteria kepialu.
Oleh itu, mereka yang mempunyai gejala penyakit ini perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal dengan antibiotik seperti chloramphenicol, ampicilin dan ciprofloxacin.
Bagi penyakit Leptospirosis pula, walaupun ia jarang berlaku tetapi dikategorikan sebagai penyakit tenat dan boleh berjangkit. Jangkitan berlaku disebabkan oleh beberapa spesies daripada keturunan leptospira berbentuk lingkaran.
Penyakit ini terjadi disebabkan oleh pendedahan kepada kuman dalam air yang tercemar dengan kencing binatang seperti tikus, lembu, kambing, khinzir, anjing yang dicemari kuman leptospira.
Biasanya terjadi di negara beriklim panas dan nama lain bagi Leptospirosis adalah penyakit Weil, demam Icterohemorrhage, penyakit Swineherd’s, demam pesawah, demam pemotong tebu, demam paya, demam lumpur, jaundis berdarah, penyakit Stuttgart dan demam Canicola.
Tempoh pengeraman kuman Leptosporosis antara dua hingga 26 hari bermula dengan demam, menggigil, sakit anggota tubuh dan sakit kepala. Penghidap juga akan batuk tidak berkahak, loya, muntah dan cirit-birit serta radang selaput mata.
Antara 7 peratus hingga 40 peratus penghidap mungkin mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak, kekerasan otot, perubahan bunyi pada paru-paru atau ruam.
Dalam kebanyakan kes, penghidap boleh sembuh, namun kematian boleh berlaku pada kes rumit dan tidak menerima rawatan sewajarnya. Ini kerana, penyakit ini menyebabkan komplikasi jangkitan kuman di otak (Meningitis), pendarahan teruk, tekanan respiratori, kegagalan fungsi hati dan buah pinggang.
Rawatan yang biasa diberi kepada penghidap Leptospirosis adalah pemberian ubat Cephalosporim, Penicillins, doxycycline, chloramphenicol dan erythromycin. Penjagaan sokongan diperlukan bagi kes yang rumit dan bermasalah.
Justeru, mangsa banjir perlu menitikberatkan kebersihan untuk mengelak dijangkiti penyakit terbabit. Panduan berikut boleh membantu melindungi diri dan keluarga:
- Jangan gunakan air tercemar untuk mencuci pinggan mangkuk, menggosok gigi, mencuci dan menyediakan makanan atau membuat ais.
- Minum air yang dibotol, dimasak atau dirawat.
- Air mendidih dapat membunuh bakteria berbahaya, parasit dan virus. Didihkan air selama lima minit kerana ia membunuh sebahagian besar organisma. Air boleh dirawat dengan klorin atau pil iodin. Campurkan larutan sehingga sebati dan biarkan selama 30 minit.
- Bekas digunakan untuk menyimpan air perlu dicuci dengan cecair pencuci dan dibilas dengan larutan peluntur sebelum diguna semula.
- Jangan makan makanan yang mungkin terkena banjir.
- Musnahkan semua makanan dalam tin yang terkena banjir jika tin itu mengembang, berkarat atau kemik. Makanan dalam tin yang tidak rosak dapat diselamatkan jika membuang labelnya dengan cara membasuh tin itu, termasuk menulis semula tarikh luputnya.
- Bekas makanan yang penutup berskru dan penutup snap perlu dibuang jika terkena air banjir.
- Nyahsejuk beku makanan boleh dimakan atau dibekukan semula jika ia masih mengandungi hablur ais. Jika nyahsejuk beku, makanan perlu dimasak atau dibuang. Untuk lebih selamat, buang saja makanan jika ragu-ragu.
- Sentiasa buang apa juga makanan yang berbau, bertukar warna dan berubah teksturnya.
- Jika mendapat luka yang tercemar oleh banjir, cuci dengan menggunakan air panas atau yang dirawat, sapukan antiseptik dan balut dengan plaster atau kain pembalut. Jika luka menjadi kemerah-merahan, bengkak atau bernanah, dapatkan segera rawatan doktor.
- Jangan biarkan kanak-kanak bermain dengan banjir dan tangan kanak- kanak perlu kerap dicuci.
- Sentiasa pakai but getah dan sarung tangan kalis air sewaktu membuat kerja pembersihan. Usah menyentuh muka sewaktu membersih atau bekerja dalam banjir.
info: MyHEALTH Kementerian Kesihatan
No comments:
Post a Comment