Wednesday, November 27, 2013

Hari ini OK, esok terlebih garam

Baru-baru ini, sewaktu dalam perjalanan ke Kota Bharu, saya melihat begitu banyak sekali gerai menjual jagung di sepanjang kiri kanan jalan, terutamanya di negeri Terengganu. Jagung segar berkenaan dijual di gerai-gerai sementara yang dibina berhampiran antara satu sama lain. Gerai-gerai itu juga dibina secara ala kadar, tidak menarik malah ada yang tidak berbumbung pun.
Saya tidak dapat mengira dengan tepat berapa jumlah gerai yang menjual tongkol-tongkol jagung berkenaan, tetapi pasti melebihi 50 gerai. Bagaimanapun saya mendapati boleh dikatakan hampir semua gerai berkenaan tiada pelanggan. Nampaknya, gerai jagung lebih ramai daripada pembeli jagung! 
Kebanyakan gerai pula hanya dijaga oleh kanak-kanak, malah banyak juga yang ditinggalkan begitu saja tanpa ada penjualnya. Saya juga begitu pasti bahawa semua penjaja atau peniaga di gerai-gerai ini adalah orang Melayu. 

Inilah antara masalah atau kelemahan peniaga Melayu di negara ini. Setiap orang mahu menjual produk yang sama di lokasi serupa kepada pelanggan yang mungkin tidak berbeza. Premis jualan juga tidak menarik dan dibina ala kadar. Malah ada yang seperti reban ayam saja. Dalam kata lain, peniaga Melayu kita tidak kreatif di dalam memasarkan produk mereka.

Bersaing sesama sendiri 

Fenomena ketidakkreatifan peniaga Melayu ini dapat juga dilihat di pasar-pasar malam di seluruh negara. Contohnya, jika ada 30 peniaga Melayu di sesuatu pasar malam itu, 20 daripada mereka pasti menjual barangan yang hampir sama, baik pakaian, makanan atau buah-buahan. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri manakala peniaga bangsa lain, terutamanya Cina, akan menjual produk tertentu yang tidak sama dengan peniaga Cina lain dan pasti tidak akan menjual pakaian atau makanan seperti peniaga Melayu. 

Bukan saja faktor persaingan sebegini yang menjadi hambatan atau kekangan kepada peniaga atau penjaja Melayu, tetapi mereka juga tewas teruk dalam hal persembahan, bungkusan atau pakej produk mereka. Lebih malang, peniaga Melayu juga didapati kurang peramah dan tidak mesra pelanggan. 

Gerai penjaja Melayu biasanya juga kurang menarik, gelap selain susun atur barangan tidak dibuat dengan strategik dan kurang praktikal. Lampu yang digunakan juga malap, berbanding gerai peniaga bangsa lain yang cerah dan terang-benderang, selain barangan jualan dipamer dengan baik, tersusun hingga mampu menaikkan nafsu pelanggan untuk datang membeli. 

Saya masih ingat pada bulan Ramadan lalu ramai peniaga Melayu yang menjual songkok, capal dan kain samping mengeluh kerana jualan mereka terjejas teruk akibat kemasukan produk serupa dari negara Indonesia dan India yang dijual pada harga jauh lebih murah, tetapi mempunyai kualiti dan reka bentuk yang lebih menarik. 

Justeru, untuk produk seperti songkok, capal dan kain samping pun kita tidak mampu bersaing, bagaimana pula untuk barangan lain yang lebih canggih dan perlukan modal besar seperti jentera dan peralatan elektronik? 

Tidak perlu pergi jauh sebenarnya untuk melihat betapa teruk orang Melayu kita ketinggalan di dalam bidang niaga kecil-kecilan ini. Pengusaha restoran kita begitu jauh tercicir jika dibandingkan dengan peniaga restoran Mamak. Restoran Mamak membuka perniagaannya mulai awal pagi hinggalah tengah malam, malah banyak yang membukanya 24 jam sehari. Mereka beroperasi tujuh hari seminggu, 31 hari sebulan. 

Restoran Melayu pula hanya menjual makanan pada waktu tengah hari dan paling lewat hingga jam 9 malam. Banyak pula yang tutup pada kedua-dua hari hujung minggu. Pada Aidilfitri dan Aidiladha pula banyak restoran Melayu tidak membuka perniagaan sehingga lebih seminggu. 

Dalam hal kualiti hidangan juga restoran Melayu masih jauh ketinggalan. Hari ini nasi goreng yang dihidang OK, esok terlebih garam, lusa pula tawar hebeh hingga pelanggan pun tidak tergamak mahu menelannya. Semuanya gara-gara tukang masak yang sering bertukar. 

Kritikan saya ini tidak bertujuan mahu melemahkan semangat peniaga Melayu. Untuk maju dan mampu bersaing dengan peniaga bangsa lain, mereka perlu meningkatkan kemahiran, disiplin dan ilmu dalam perniagaan. Yang penting, produk mestilah bermutu, menarik dan mampu dibeli oleh pengguna. 

30,000 kata sehari!

Luahan perasaan dan kongsi cerita akan jadi menarik kalau babitkan kedua-dua pihak. SHUHADA MANSOR faham rasa tertekan apabila dikelilingi manusia suka bebel, boleh sakit jiwa dibuatnya. Lebih teruk jika babitkan pasangan anda.
Tanyalah sesiapa pun pasti akan menjawab ‘tidak’ jika ditanya mahukah anda berpasangan dengan si mulut murai. Waktu awal proses kenal hati budi, lelaki tak pernah kisah jika pasangannya cakap banyak. Jika ditanya, dia akan mengakui dirinya rasa seperti individu penting apabila pasangan sanggup kongsi rasa dan cerita. Tapi lain jadinya apabila sudah berpasangan. Si gadis bercakap lebih had akan dilabel suka membebel.
Meskipun perit untuk terima tapi percayalah ia kenyataan. Malah ada kajian menyatakan wanita mampu melontarkan sehingga 30,000 simbol dan kata-kata sehari sedangkan lelaki hanya sebanyak 7,000 perkataan dalam tempoh sama. Jangan stereotaip! Situasi ini bukan saja babitkan golongan wanita, ada juga jejaka yang banyak cakap hingga naik rimas apabila duduk semeja. Itu baru sedikit, bayangkan pasangan yang terpaksa berdepan situasi ini setiap hari. Tebal telinga dan sabar saja kuncinya.
LELAKI MULUT MURAI
Kaum Adam dilabel sebagai golongan yang suka melindungi. Oleh sebab itu mereka merasa sedikit terancam sekiranya pasangan keluar dengan jejaka lain. Tapi tahukah anda, si gadis juga ada ketikanya mahu menghabiskan masa mereka bersama teman yang lain. Tetapi situasi ini boleh jadi punca bebelan si jejaka.

Ejen Gen Y juga pelajar jurusan Sains Biokesihatan Universiti Malaya (UM), Ahmad Khushairi Ismail akui ada lelaki yang suka membebel. Katanya, mungkin golongan ini hanya ingin menegur terhadap sesuatu perlakuan yang tidak begitu atau bertujuan menceriakan keadaan. Tidak ada sesiapa pun suka orang lain mengkritik atau membuat teguran mengenai dirinya terutama jika sengaja diucapkan dengan nada menyindir sehingga boleh membingitkan telinga.

“Ada juga lelaki yang cakap banyak dan suka hurai perkara yang tidak penting. Berbicara mengenai satu-satu isu hingga berjam-jam dan tak beri peluang untuk orang lain bercakap. Tapi, kalau itu dah jadi tabiat mereka kita tak boleh nak halang.

“Bagi saya, jika perempuan khususnya suka membebel, itu bukan perkara baru kerana diketahui umum. Mungkin untuk ambil berat, tegaskan pendirian atau pertahankan diri apabila dimalukan atau isu peribadi disentuh, tak mengapa asalkan tahu batas,” katanya.


BEBEL KERANA KURANG PERHATIAN

Pakar motivasi dan psikologi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berpendapat, memang lumrah semula jadi wanita yang memiliki paras hormon estrogen berlebihan, oleh itu mereka gemar meluahkan pendapat dan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berleter.

Katanya, tujuan utama wanita terutama isteri berleter ialah untuk membuktikan kasih dan sayang kepada pasangan. Tidak kira sama ada wanita yang bergelar ibu, isteri kekasih atau ketua di tempat kerja, asalkan ada pencetus terhadap tabiat membebel, letusan itu pasti kedengaran.

Jangan melabel kerana orang membebel pasti ada sebab. Mereka yang membebel selalunya dikaitkan dengan kurang perhatian. Dengan cara bercakap dan meluahkan apa dirasai dengan orang lain, akan merasai dirinya diberi perhatian. 

“Ada juga yang berleter atas tujuan peringatan. Contohnya, kalau pasangan anda membebel supaya jangan tunggang motosikal laju, takut jalan licin, angin lintang atau kecuaian orang lain, kita mungkin mendengarkan sebagai bebelan tetapi bagi dirinya, ia lebih kepada peringatan walaupun memakan masa lebih 15 minit untuk satu isu.

“Bebel juga boleh dikaitkan dengan sikap tak suka pendam perasaan. Saya sendiri jika ada rasa tak puas hati, akan terus luahkan serta-merta. Sebolehnya tak mahu tunggu lama-lama takut jadi dendam. Jika pasangan atau rakan menganggap saya berleter, tak kisahlah asalkan boleh luahkan apa yang nak dicakap,” kata ejen Gen Y yang juga pelajar jurusan Pendidikan Islam UM, Nur Sharmimi Abd Ghani.


BANYAK CAKAP KURANG TEKANAN

Tidak dinafikan ada pendapat menyatakan berleter adalah salah satu cara untuk mengurangkan tekanan. Mungkin sebab itulah ramai suka cakap banyak hingga tak sedar dirinya membebel.

Tekanan di tempat kerja ada kalanya sukar untuk dikongsi dengan rakan sepejabat. Oleh itu, ada memilih untuk ceritakan kepada pasangan atau rakan serumah. Namun lain pula tanggapannya, golongan ini dikategorikan manusia suka bebel kerana suka bercakap. Kasihan!

Namun ia bergantung kepada situasi, jika masalah sama diluahkan hampir setiap hari pasti akan buatkan seseorang itu rasa bingit, bosan dan meluat.

Bagi pekerja swasta, Ziela Abu Bakar, 26, dia secara peribadi memilih lelaki yang kurang membebel kerana tidak gemar mendengar orang bercakap tanpa henti umpama ‘mak nenek’, tapi jika sudah jodoh, dia terpaksa belajar cara mengendalikan lelaki kaki bebel.

“Sama seperti wanita yang suka membebel, golongan ‘mak nenek’ ini selalunya hanya akan bising jika ada yang tidak kena pada keinginan atau apa yang mereka mahukan. Dan jika sudah berpasangan, dia cuma mungkin ingin tarik perhatian pasangannya. 

“Tak terlalu sukar mengendalikan kelompok kaki bebel ini sebenarnya, cuma perlu sesuaikan diri dan bijak mengawal situasi. Harus juga menerima teguran secara positif kerana tiada orang yang akan membebel tanpa sebab, jadi mesti ada silap di mana-mana hingga menyebabkan orang berleter,” katanya.


KENA TAHU KAWAL

Walaupun mereka ini ada ketikanya menjengkelkan, jangan buat tidak tahu saja. Perkara paling geram ialah apabila si dia membebel, pasangan buat tak tahu. Lebih teruk ada yang terus pakai ‘earphone’ atau pasang radio kuat-kuat supaya suara bebelan tenggelam dalam bunyi radio.

Ada wanita yang suka bebel tetapi pasangannya tambah api dengan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘Awak ni tak ada kerja lain ke membebel saja! Atau paling teruk, ‘Janganlah membebel saja, naik pening kepala saya!’. Seboleh-bolehnya gunakan peranan senyap sebagai ‘reverse psychology’.

Biasanya orang akan membebel jika ada perkara menyakitkan hatinya. Sikap dan tingkah laku seseorang boleh menyebabkan si dia membebel tanpa sebab. Jadi, janganlah biarkan mereka merajuk atau bebel sepanjang hari. Pujuk dengan kata-kata manis yang boleh mengubat hati.

Perlu peka dengan setiap perubahan yang berlaku kepada pasangan. Kalau muka pasangan berkerut seribu atau pertanyaan tidak berjawab, cuba selidik apa masalah yang dihadapi. Mungkin anda mengabaikannya atau lebih mementingkan orang lain daripada dirinya.

Kembali terjalin

Reunion adalah salah satu cara terbaik untuk berkumpul dengan rakan-rakan lama. Walau sesibuk manapun kita, rakan dan keluarga jangan dilupai. NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN menyingkap kefahaman berkaitan reunion dengan lebih mendalam.
Baru-baru ini, ketika penulis menghadiri majlis konvokesyen ke-79, Universiti Teknologi MARA (UiTM), kelihatan ramai rakan yang sudah bekerja. Tak terkecuali mereka yang sudah berbadan dua (kahwin).
Kemeriahan dapat dirasai bila berjumpa kembali dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak ketemu. Keriuhan semasa mengambil jubah konvokesyen juga penuh dengan pelbagai ragam. Malah ada yang bercerita semula berkaitan kesukaran ketika belajar dulu, demi segulung ijazah. Memang ‘happening’! 

Pun begitu, ada lagi yang masih menganggur dan cuba mencari peluang pekerjaan. Bila ini terjadi, rakan yang bekerja sudi untuk membantu. Maklum saja, selepas tamatnya konvokesyen sudah tentu pelbagai perancangan bakal dilakukan. Demi meneruskan kehidupan sebagai seorang lepasan siswazah.

Justeru, kita tidak akan dapat lagi berjumpa dengan rakan sekelas yang pernah susah dan senang bersama. Ingat lagi, berkelahi dan salah faham, antara yang kerap berlaku bila tibanya tugasan berkumpulan. Malah ada yang lebih suka tugasan individu, tanpa perlu ada kes curi tulang.

Namun ia hanyalah sebuah kenangan yang tidak dapat dilupakan terutama bila tibanya hari konvokesyen. Semuanya kelihatan biasa dan tidak akan tersimpan dendam dalam hati. 

Situasi yang berlaku membuatkan penulis terfikir, bagaimana cara untuk berkumpul dengan rakan sekelas selepas ini? Jawapan yang terlintas adalah ‘reunion’. 

Reunion adalah sesi berkumpul semula dengan ­rakan-rakan sekolah, universiti, tempat kerja lama atau kolej terutama bila memakan masa bertahun lamanya untuk bertemu. 

Tentu kita akan memikirkan masa depan yang lebih jauh untuk ditempuhi. Namun, kenangan semasa belajar antara memori yang tidak akan dilupakan. Dengan pelbagai ­ragam dan kerenah rakan yang ada ketikanya mampu mengisi ­kekosongan bila berjauhan dengan keluarga. Payah nak lupa! 


KEMUDAHAN LAMAN SOSIAL 

Facebook atau Twitter, antara laman sosial yang membantu untuk cari rakan sekolah terutama bagi mereka yang sudah ‘lost contact’. Maka medium ini digunakan sebaiknya. 

Bila berjaya dicari dan bertemu. Tentu banyak perubahan yang boleh kita saksikan berlaku pada teman itu. Misalnya sudah berkahwin, mempunyai anak, bekerja dan sebagainya. Tidak kurang juga yang masih lagi menyambung pelajaran.

‘Reunion’ turut membolehkan seseorang berkongsi pengalaman dengan rakan lama. Bahkan, bagi mereka yang membuka perniagaan, ‘reunion’ dijadikan tempat untuk mempromosikan barang kepada rakan-rakan. Siap bagi diskaun istimewa.

Bukan hanya sekadar berkongsi kisah manis, ada juga yang menceritakan kisah pahit sepanjang perjalanan hidupnya. Seperti kehilangan insan tersayang, tak dapat menyambung pelajaran atau apa saja yang boleh dikongsikan bersama. Tidak menjadi keberatan buat mereka untuk menceritakan semua itu. 

Secara puratanya, laman sosial dapat menjalinkan kembali hubungan yang sudah terputus. Tekan butang ‘search’ dan cari nama rakan berkenaan. Memang mudah! 

Pun begitu, jangan pula tersilap orang kerana bukan rakan itu seorang saja yang mempunyai nama Noraniza atau Farahana. Sedangkan, berjuta-juta pemilik akaun Facebook ada nama yang serupa. Cuma dapat kenal pasti melalui gambar profil mereka. 

Dunia tanpa sempadan ini turut memudahkan seseorang menggunakan medium itu untuk membuat ‘event’ seterusnya menjemput rakan untuk hadir. Selain boleh membuat kumpulan ‘reunion’ sendiri di laman sosial berkenaan. 

Pasti ada perubahan ketara daripada rakan berkaitan penampilan dirinya dan kemajuan yang sudah dikecapi. 

Jika dulu dialah seorang pemalas untuk menyiapkan kerja sekolah, tapi kini, sudah menjawat jawatan tinggi dan tidak sombong pula dengan rakan lain semasa sesi ‘reunion’. 

Kawan perempuan pula, dulunya malu-malu untuk bercinta, tapi kini sudah mendirikan rumah tangga lebih awal berbanding rakan lain. 

Kesimpulannya, ‘reunion’ mengeratkan semula silaturahim antara rakan-rakan yang sudah jauh terpisah. Walaupun beribu batu jauhnya, jangan sesekali tidak mempedulikan rakan itu yang mungkin suatu ketika dulu dia pernah membantu anda.


AJAK BERCUTI 

Seorang guru sekolah menengah, Noorain Mohd Fuad, 26, mengatakan dengan adanya ‘reunion’ beliau boleh menjemput rakan-rakan untuk menghadiri majlis pertunangannya.

“Selepas tamat persekolahan, saya berpindah rumah dari Ipoh ke Terengganu. Jadi disebabkan itu, sukar untuk berjumpa dengan rakan sekolah.

“Saya pernah minta keizinan keluarga untuk pulang ke Ipoh agar dapat berjumpa rakan-rakan sekolah, tapi dihalang oleh ayah kerana tidak ada ahli keluarga yang tinggal di sana lagi.

“Namun, selepas ada rakan tempat kerja memberitahu dapat jumpa rakannya melalui laman sosial Facebook seterusnya mengadakan sesi ‘reunion’, saya terus ambil keputusan untuk membuat akaun berkenaan dan mencari semula rakan-rakan sekolah.

“Akhirnya seorang demi seorang saya jumpa di Facebook. Jadi dapat saya menjemput rakan-rakan untuk menghadiri majlis besar saya nanti. Selain dapat mengajak mereka bercuti di tempat baru saya,” katanya.

Pantang berkawan

Status hanya kawan, tapi lagak hubungan macam orang bercinta. Itulah realitinya dalam banyak hubungan berkawan lebih-lebih lagi kalau berlainan jantina. Selalu lupa akan hubungan itu tidak lebih dari seorang kawan.
Perasaan kecewa dan jauh hati selalunya berlaku apabila salah seorang itu menemui cinta­nya. Mulalah timbul rasa cemburu kerana si dia sudah meletak kekasih mereka keutamaan dan sahabat itu kemudiannya. 
Perlukah ada rasa begitu dan apa pula patut kita lakukan dalam kawan kita berperasaan begitu sedangkan dia hanya kawan saja? 

Rasanya isu kawan timbul rasa cemburu atau rasa dipinggirkan bukan perkara pelik kerana ia sesuatu yang normal pada kebanyakan kita. Maklumlah apabila sudah akrab dan ‘sekepala’, sudah tentu ada komitmen secara tidak langsung.

Tapi cemburu itu ada batasnya kerana sejauh mana perasaan sedih kita terhadapnya, dia hanya kawan dan tiada perasaan istimewa lebih daripada seorang kawan.

Salah satu cara terbaik untuk menjaga per­sahabatan adalah untuk sentiasa berhubung walau sibuk mana sekalipun. Bukan hanya sekadar berhubung dengan kekasih, kita juga perlu sentiasa menghubungi sahabat. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kalau terlalu sibuk. 

Bukan itu saja, kita juga boleh sentiasa memberi reaksi kepada status atau ‘tweet’nya di media sosial untuk membuktikan yang kita masih ada dekat dengannya walaupun jarang bertemu. Tapi awas, hati-hati dengan setiap perkataan kita agar tidak melukakan hati sahabat kerana faktanya, jika kita jarang bertemu, rasa sensitif itu lebih tebal. 

Seperti yang dikatakan oleh Ejen Gen Y juga pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaya, Nur Amanina Mohd Azuddin Sham, istilah kawan hanya cukup sekadar kawan yang sudi mendengar dan menemani kita di kala susah dan senang. 

“Rasa cemburu atau iri hati kepada kawan baik adalah sesuatu yang tidak patut berlaku kerana sebagai teman sejati, kita sepatutnya berasa gembira melihat kebahagiaannya. Itu yang patut berlaku. 

“Contohnya saya sebagai pelajar, kawan baik saya adalah teman setia yang menemani untuk belajar bersama atau menguruskan hal peribadi jika saya keseorangan. Kami makan bersama dan dia adalah tempat untuk saya meluahkan perasaan baik sedih ataupun gembira. 

“Namun jika dia sudah bertemu teman lelaki atau kawan lain yang mungkin lebih serasi dengannya, itu hak dia dan tidak patut untuk saya rasa marah kerana persahabatan itu tidak sekali terganggu. 

“Apa yang penting adalah kejujuran dan ikhlas dalam berkawan. Walau kawan baik ­sudah ada teman lelaki atau kumpulan kawan lain, dia akan tetap cari saya untuk hal tertentu dan hubungan kami masih berjalan seperti ­biasa. 

“Jika dia sudah tidak lagi boleh menemani saya untuk belajar atau makan, saya masih boleh pergi sendirian dan tidak perlu untuk timbul rasa sedih apatah lagi cemburu dengannya kerana itu hak individu. 

“Lagipun saya jenis yang ‘independent’ dan tidak gemar mengharap pada sesiapa. Jadi tidak menjadi masalah untuk saya bergerak sendiri jika kawan baik ada hal lain dan tidak boleh membantu,” katanya positif. 


Bukan memiliki 

Tip kedua untuk menjaga persahabatan dan pantang untuk dilakukan adalah dengan menghormati hak dan privasinya. Walau rapat macam mana sekalipun kita masih perlu hormati hak dan privasinya. Perlu diingat, kita bukan memiliki kawan kita sebaliknya dia hanya sekadar kawan saja. 

Jadi, jangan terlalu berkecil hati jika dia minta ruang dan membuat keputusan mengenai dirinya tanpa merujuk kepada kita. Hormatilah hak dan privasinya, barulah hubungan kita itu akan berkekalan. 

Tambah Nur Amanina yang sememangnya menghormati hak teman baiknya turut mengatakan yang tidak perlu terlalu sensitif atau emosi apabila terperangkap dalam masalah persahabatan. 

“Saya akui yang golongan perempuan lebih sensitif dan paling ramai berdepan masalah sebegini. Maklumlah sebelum ini ke mana saja bersama dan tidak pernah berenggang. Tapi apabila salah seorang sudah memiliki kekasih, dia sudah tentu akan kurang bersama kawan-kawannya dan lebih bersama kekasih hati. 

“Justeru timbul rasa kononnya terpinggir dan kawan sudah mula lupa diri sedangkan itu perkara normal untuk seseorang itu melebihkan kekasihnya berbanding kawan. Saya sendiri pernah berdepan masalah sebegini namun ia bukanlah secara langsung kepada saya. 

“Apa yang harus dilakukan adalah memberi penjelasan dan menerangkan kedudukan sebenar, komitmen dalam persahabatan dan tanggungjawab kepada kekasih hati. Insya-Allah kawan kita itu akan faham jika dia benar-benar ikhlas berkawan,” katanya lagi. 

Ketiganya pantang dalam persahabatan adalah jangan sekali merampas miliknya. Ini banyak berlaku dalam remaja hari ini yang mana mereka sanggup putus kawan semata-mata ada yang sudah merampas dalam diam. 

Tidak kiralah sama ada muda mahupun tua. Jangan sesekali kita cuba merampas miliknya terutama kekasihnya. Percayalah, sekali kita lakukan kesilapan ini pasti dia akan ingat dan sukar untuk maafkan kita. 


Nilai terbaik 

Keempatnya, pantang yang perlu diingat adalah jangan sekali kita menghina kawan baik kita. Tidak kira sebesar mana sekalipun kita bergaduh, jangan sesekali cuba menghina sahabat walaupun dia banyak kekurangan. 

Kadang-kadang bila terlampau marah, kita tidak akan sedar apa yang kita katakan tapi bila kita mula menghina, nampak sangat selama ini kita hanya bermuka-muka saja dengannya. 

Lain bagi Ejen Gen Y yang kini masih menuntut dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Malaya, Mohd Zafran Qayyum Mohd Zaki yang menyifatkan sahabat itu ibarat keluarga dan perlu dipelihara hubungan itu sebaiknya. 

“Jika sahabat saya itu banyak kekurangan, saya sebagai teman paling rapat seharusnya melengkapi apa yang patutnya bukannya lagi memandang rendah padanya. Begitu juga sebaliknya. Barulah ikatan persahabatan itu semakin kukuh. 

“Sahabat itu saling melengkapi dan tidak hanya pada kekasih semata-mata. Apabila saya sudah berada di universiti dan jauh dari keluarga, harga sebuah persahabatan itu lebih bernilai. 

“Justeru tidak hairan jika ada yang berkecil hati atau sedih jika terasa dirinya terabai kerana kawan baiknya itu sudah mempunyai kekasih. Saya rasa itu normal dan turut berlaku kepada lelaki. Bagaimanapun apa yang penting adalah komunikasi. Tidak salah kalau kita berterus-terang dengan kawan baik sendiri jika ada yang tak puas hati,” katanya. 

Paling penting, pantang dalam bersahabat adalah jangan mengungkit segala pengorbanan yang pernah kita lakukan kepada kawan baik. Ini akan menunjukkan betapa tidak ikhlas pengorbanan kita sebelum ini. 

Pendek kata, hubungan persahabatan itu indah jika kesemua pihak punya keserasian dan persefahaman menyeluruh. Biar apa dugaan atau halangan yang datang, kalau kedua-dua pihak ada rasa ikhlas dan jujur, persahabatan itu akan kekal. 

Lebih menarik kalau sahabat kita menjadi pengapit di majlis perkahwinan kita nanti.

Atasi gangguan emosi

Atasi gangguan emosi
Perubahan emosi satu perkara biasa yang berlaku sepanjang tempoh kehamilan. Ada kalanya rasa sedih, marah, takut, bimbang, gembira, teruja dan pelbagai lagi disebabkan perubahan hormon. 

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Helena Lim, berkata emosi ibu hamil sukar dijangka, ada kalanya rasa negatif dan positif akibat kewujudan estrogen, progesteron, oxytocin, endorfin dan prolaktin. 
Katanya, perasaan terkejut dan teruja adalah emosi pertama yang akan dirasai sebaik selepas wanita mengetahui dirinya hamil. 


Sepanjang kehamilan banyak insiden boleh menjadi kejutan dan memberi kesan kepada individu. Oleh itu, mereka digalakkan membaca lebih banyak buku untuk mendapatkan maklumat mengenai kehamilannya bagi mengurangkan kejutan yang tidak dijangka, katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Emosi positif 

Dr Helena berkata, selalunya, ibu hamil mahu sentiasa merasai kasih sayang dengan sentuhan fizikal kerana ia ada kaitannya dengan hormon oxytocin. 

Tahap oxytocin menggalakkan pengecutan pada rahim sekali gus memberi kebaikan kepada ibu dan anak selepas kelahiran, katanya. 
Selain itu, biasanya wanita hamil takut untuk bersalin terutama yang pertama kali mengandung seperti bagaimana proses kelahiran dan kesihatan bayinya nanti. 

Katanya, situasi itu dipanggil tocophobia dan dikategorikan sebagai gangguan psikologi. 

Perasaan lain yang boleh timbul ketika mengandung ialah marah. Ia timbul apabila ibu terasa lemah, kurang selamat, rasa geram atau ketika mereka mengalami rasa tidak selesa. Perasaan itu kadang kala sukar dikawal kerana ia boleh ditujukan kepada sesiapa saja seperti ahli keluarga, rakan dan diri sendiri. 

Perasaan marah juga akan berterusan walaupun bayi sudah dilahirkan. Ini kerana ibu akan merasakan dirinya dibebani apabila tiba-tiba hilang kebebasan berikutan terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya kepada bayi dan pelbagai lagi, katanya. 

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, wanita seharusnya bijak mengawal perasaannya untuk mengelak situasi lebih buruk. 

Katanya, jika bayi yang dilahirkan mati ia akan menimbulkan situasi lain seperti kesedihan berpanjangan hingga menyebabkan kemurungan. 

Emosi sedih itu mungkin akan berlarutan dan tidak akan hilang sepenuhnya tetapi ia akan berkurangan dari semasa ke semasa apabila mendapat sokongan orang sekeliling, katanya. 

Kemurungan selepas bersalin 

Kemurungan boleh terjadi kepada sesetengah wanita hamil dan selepas melahirkan bayi. 

Beliau berkata, kemurungan antenatal itu bermula apabila mereka merasa bosan dan hilang minat pada diri sendiri. Gangguan itu menyebabkan tidak boleh tidur dan dirundung kesedihan, cemas dan kalanya marah. 

Dianggarkan sebanyak 50 hingga 70 peratus wanita akan mengalami baby blues dalam tempoh selama dua minggu pertama selepas kelahiran. Ia boleh berlaku secara beransur-ansur atau tiba-tiba, katanya. 

Punca kemurungan adalah hasil gabungan daripada banyak perkara dalam satu masa. 

Cara atasi kemurungan 

Dr Helena berkata, walaupun sukar dikawal tetapi masalah emosi masih boleh diatasi. 

Ibu hamil digalakkan berkongsi perasaan mereka dengan orang yang boleh dipercayai seperti ibunya atau rakan rapat yang lebih berpengalaman mengenai situasi sama. 

Bagi mengelak kemurungan wanita hamil juga perlu memberikan masa untuk menyesuaikan diri sendiri dengan keadaannya. Dengan melakukan senaman ringan seperti berjalan kaki atau berenang dan mengekalkan diet sihat. 

Ada sesetengah wanita tidak mahu menerima bantuan dan sokongan daripada orang sekeliling sedangkan ia baik untuk tempoh ketika kehamilan dan selepas melahirkan bayi. Sekiranya semua perkara sudah dilakukan tetapi masih belum boleh pulih, wanita murung ini disarankan berjumpa pakar terapi dan kaunseling untuk rawatan, katanya.

Pelaksanaan gaji minimum bendung hutang isi rumah

Pembaharuan pasaran tenaga kerja menerusi pelaksanaan gaji minimum akan menjadi kunci kepada usaha membendung paras hutang isi rumah yang kini kirakira 83 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata antara punca utama paras hutang isi rumah yang tinggi ketika ini adalah disebabkan tenaga kerja tidak menerima gaji yang setimpal dengan daya produktiviti mereka. 
“Sebelum ini, kita mahukan isi rumah yang menyumbang sebahagian besar kepada permintaan domestik supaya bekerja dengan lebih keras (untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara), dan mereka sudah melakukannya dengan baik. 


“Kita dapati pasaran tenaga kerja di Malaysia sudah bekerja keras, namun tidak diberikan upah atau gaji yang sepadan dengan usaha yang sudah dilakukan. 

“Berikutan itu, mereka perlu membayar harganya iaitu dalam bentuk hutang dan jalan penyelesaian kepada masalah ini akan menjadi satu isu jangka panjang,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Tinjauan Ekonomi Nasional (NEOC) di Kuala Lumpur, semalam. 

Beliau sebelum itu menyampaikan pembentangan bertajuk Tinjauan Ekonomi Malaysia 2014-2015 pada hari pertama forum berlangsung selama dua hari itu. 

Laksana gaji minimum Zakariah berkata, usaha kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum adalah satu bentuk pembaharuan pasaran tenaga kerja untuk menuju kepada satu peringkat pembayaran upah yang boleh dikaitkan dengan produktiviti. 
Katanya, pelaksanaan sepenuhnya dasar gaji minimum membolehkan negara bergerak ke arah sedemikian, namun matlamatnya akan dapat dicapai dalam tempoh yang lebih lama. 

“Tahun ini, dasar gaji minimum sudah mula dilaksanakan namun ada beberapa perkara yang membabitkan pelaksanaannya masih belum berjalan lancar. 

Maka diharapkan Kementerian Sumber Manusia akan lebih bertekad memperbaikinya pada tahun depan,” katanya. 

Setelah ditangguh dan diberi kelonggaran sejak Januari tahun ini, dasar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari tahun depan. 

Penuhi permintaan syarikat 

Perintah Gaji Minimum 2012 sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013, dengan kadarnya dikaji setiap dua tahun. 

Ia bagaimanapun ditangguh bagi memenuhi permintaan 400 syarikat agar tarikhnya ditunda kepada 31 Disember 2013. 

Pelaksanaan dasar gaji minimum itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April tahun lalu dan diwartakan pada 16 Julai. 

Mengulas lanjut, Zakariah berkata impak pelaksanaan gaji minimum sukar untuk dinilai dalam tempoh terdekat kerana ini adalah kali pertama negara melaksanakan dasar berkenaan pada skala nasional yang menyebabkan golongan majikan serta pekerja belum membiasakan diri dengannya. 

“Kita perlu bersikap lebih pragmatik dalam hal ini dan memberikan ruang kepada mereka supaya lebih bersedia. 

“Tahun pertama pelaksanaan pasti akan ada masalah dan ia akan diperbaiki pada tahun berikutnya, malah dasar juga disemak setiap dua tahun sekali,” katanya.

Sunday, November 24, 2013

Strok serang orang muda

Saban tahun, kira-kira 15 juta individu di seluruh dunia menderita kerana strok. Dianggarkan 50,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun. Angka itu bermaksud secara purata, seorang diserang strok bagi setiap 10 minit.
Menjelang 2020, kadar kematian disebabkan strok di dunia akan meningkat hampir dua kali ganda. Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2003 (WHO), punca utamanya ialah peningkatan jumlah warga emas dan kekurangan kawalan terhadap faktor risiko utama strok, terutama di negara kurang membangun.
Strok atau juga dikenali sebagai angin ahmar adalah punca kematian ketiga di Malaysia. Secara umumnya, penyakit ini bukan hanya memberi impak kepada kualiti kehidupan pesakit, malah ahli keluarga terdekat.

Antara strok biasa dikenal pasti adalah iskemia (beku), berdarah, serangan iskemia sementara (TIA) dan fibrilasi atrium (AF) yang dikaitkan dengan penyakit yang semakin membimbangkan itu. Setiap jenis serangan mampu memberikan kesan yang mendalam terhadap pesakit dan penjaga.
Foto

Perunding Kardiologi dan Electrophysiologist, Institusi Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Razali Omar, berkata AF boleh menyebabkan jantung seseorang itu berdegup melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit.

Menurutnya, dulu, AF tidak dilihat sebagai masalah yang mengancam nyawa dan ia kerap dikesan oleh orang tua. Tetapi hari ini, AF turut dikesan oleh golongan seawal usia 14 tahun.

Ia kerap terjadi dalam kalangan orang muda yang masih aktif bekerja, bersukan dan tiada masalah kesihatan (seperti diabetes atau tekanan darah tinggi). Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko diserang AF.

“Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah kepada penyakit ini, tetapi ia lebih banyak dihidapi individu berusia 60 tahun ke atas. Dengan AF, risiko mendapat strok meningkat kerana kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif yang menjejas kelancaran pengaliran darah dalam jantung.

“Ini menyebabkan darah bertakung dalam atrium dan apabila alirannya terganggu, pembekuan darah boleh berlaku. Darah beku yang terbentuk pada atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak dan menyebabkan strok,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Strok Sedunia anjuran Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM) di ibu negara baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof Dr Hamidon Basri, berkata penyakit itu mampu mengubah kehidupan, emosi dan pergerakan fizikal dalam sekelip mata.

“Sesiapa saja boleh mendapat serangan strok termasuk individu paling penting dalam hidup anda. Kebanyakan rakyat Malaysia pernah mendengar dan tahu mengenainya tapi yang menyedihkan tidak pernah mengambil tahu kesan penyakit itu terhadap mereka.

“Kebanyakan individu tidak sedar akan peningkatan risiko dan potensi perubahan gaya hidup akibat strok. Terdapat beberapa langkah untuk mencegah strok. Antaranya peka terhadap faktor risiko seperti tekanan darah, kencing manis dan kolesterol.

“Banyakkan bersenam, mengekalkan diet seimbang misalnya kurangkan pengambilan alkohol, elakkan merokok selain meminimumkan risiko terkena strok,” katanya.

Pesakit kencing manis berisiko empat kali ganda. Paling penting ialah memastikan paras gula dalam darah dalam keadaan baik dengan pengawalan dan pemantauan yang kerap.

Dengan AF, risiko mendapat strok meningkat kerana kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif yang menjejas kelancaran pengaliran darah dalam jantung.

Ini menyebabkan darah bertakung dalam atrium dan apabila alirannya terganggu, pembekuan darah boleh berlaku. Darah beku yang terbentuk di atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak dan menyebabkan strok.

AF juga boleh menyebabkan jantung seseorang itu berdegup melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit. Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko diserang AF. Mereka berusia 40 tahun ke atas terdedah kepada penyakit ini, tetapi ia lebih banyak dihidapi individu berusia 60 tahun ke atas.

Strok adalah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia


Angin ahmar

Strok atau angin ahmar dibahagikan kepada dua jenis:

1. Strok Infarcts: 
  • Dikenali juga sebagai strok ischaemic iaitu pengaliran darah ke otak berkurangan disebabkan arteri (saluran darah) sempit.

  • Ia disebabkan darah beku yang menyekat arteri yang membekalkan darah ke otak.

  • Ada dua jenis darah beku yang menyebabkan sekatan arteri:

    a. Thrombus, iaitu darah beku berbentuk plak, bahan melekit mengandungi lemak dan kolesterol pada dinding arteri.

    b. Embolus, darah beku yang bergerak dalam saluran darah. Berpunca dari bahagian lain seperti jantung atau arteri bahagian bawah yang kemudian menyekat laluan arteri yang membawa darah ke otak.



2. Cerebal hamorrhage (pendarahan):

  • Ia berlaku apabila salur darah dalam mana-mana bahagian otak lemah dan pecah.

  • Apabila pecah, darah masuk ke otak pada tekanan tinggi dan boleh mengakibatkan pemampatan tisu dalam otak. Tekanan ini boleh menyebabkan kehilangan bekalan darah ke tisu di sekeliling otak.

  • Strok biasanya berlaku secara tiba-tiba dan tidak ada amaran. Ini bergantung kepada kawasan otak yang terjejas. 

    Lebih luas otak terjejas, semakin besar kerosakan dan lebih banyak fungsi otak juga akan rosak.



Apakah AF

  • Apabila ritma denyutan jantung tidak normal.

  • Degupan jantung tidak teratur.

  • Kadar degupan jantung sangat pantas iaitu 350-700 seminit.

  • Atrium tidak mengecut dengan efektif.



Individu atau pesakit yang terdedah kepada AF

  • Darah tinggi

  • Diabetes

  • Paru-paru

  • Tiroid

  • Buah pinggang

  • Sesak nafas

  • Obesiti Sebab terjadi AF

  • Mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung.

  • Individu yang minum arak atau alkohol dan pneumonia.



Gejala AF

  • Jantung berdebar

  • Lesu

  • Sakit dada

  • Pening kepala

  • Pengsan

  • Sesak nafas



Faktor risiko AF

  • Usia: Lazimnya semakin usia bertambah, risiko AF meningkat.

  • Gender: AF lebih banyak dihidapi lelaki berbanding wanita.

  • Keadaan jantung: Masalah injap jantung, serangan jantung dan kegagalan jantung berfungsi.

  • Faktor lain: Diabetes dan darah tinggi



Fibrilasi atrium (AF)

  • AF adalah masalah daripada ruang atas dalam jantung, biasanya pada atrium sebelah kanan.

  • Ia membabitkan vena di bahagian pulmonari yang membawa darah diperkaya oksigen daripada paru-paru.

  • Untuk sampai ke bahagian pulmonari, dilakukan dengan memasukkan kateter melalui kaki pesakit sebelum kateter dipandu ke kawasan itu dan dengan sejumlah tenaga radiofrekuensi yang terkawal ia berupaya memusnahkan tisu kardiak.

Prihatin jika anak demam

Demam bagi yang dewasa adalah perkara biasa, tetapi jangan dibuat main apabila anak kecil mengalaminya. Jika anak kecil mengalami demam, ia perlu diambil serius oleh semua ibu bapa.
Ini kerana, anak kecil yang mengalami demam sehingga suhu badannya melebihi 40 darjah Celsius berisiko tinggi menghidap sawan yang boleh memberi pelbagai implikasi, dengan paling ditakuti ialah kematian. 
Perunding Paediatrik Kardiologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Azam Mohd Nor berkata, sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur enam bulan hingga enam tahun apabila demam menjadi terlalu tinggi dan mengganggu aktiviti otak. 

Menurutnya, sawan bermaksud keadaan di mana kanak-kanak itu tidak sedarkan diri, mengalami kekejangan badan dan kaki, mata hitam terbeliak ke atas, air liur meleleh dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.
Foto

“Ia berlaku pada hari pertama kanak-kanak mengalami demam, terutama apabila demamnya naik mendadak.

“Selalunya sawan menyerang tidak lebih daripada 15 minit, namun kadangkala ia boleh berlarutan dan kebanyakannya hilang sendiri,” katanya. 

Sawan demam terbahagi kepada demam biasa dan demam kompleks. Sawan demam biasa adalah singkat, hanya satu episod sawan setiap kali demam dan terjadi kurang daripada 15 minit. 

Manakala sawan demam kompleks adalah berpanjangan, lebih daripada 15 minit dan terjadi berulang-ulang di dalam satu episod demam. 

Kanak-kanak boleh mengalami sawan demam dan ini adalah sawan yang lazim berlaku. 

Sekitar 30 peratus kanak-kanak mengalami sawan demam yang berulang-ulang, terutama selepas doktor mendapati tidak ada punca lain menyebabkan sawan selain suhu badan yang tinggi. 

“Namun, perlu diketahui juga bahawa kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi iaitu kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam. 

“Hanya kira-kira tiga peratus daripada kanak-kanak mengalami sawan demam akan mendapat epilepsi. 

“Ketika diserang sawan, kanak-kanak mungkin tercedera kerana terjatuh atau mungkin tercekik air liur yang bertakung dalam mulut,” katanya. 

Tanda kanak-kanak diserang demam ketika sawan apabila tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas bila dipanggil. 

Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak, tetapi kadangkala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Mata mungkin terbeliak ke atas. 

Sawan demam biasanya berhenti dengan sendiri selepas dua atau tiga minit atau kurang dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun, dalam kes di mana sawan melebihi lima minit, kanak-kanak perlu dibawa ke klinik secepat mungkin. 

“Ketika anak diserang sawan, cuba jangan panik dan lihat jam bila serangan berlaku dan tamat kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan berlaku. 

“Longgarkan segala pakaian dan jangan ambil sudu atau bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut kerana ia boleh menyebabkan luka teruk dalam mulut. 

“Malah, jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan. Baringkan anak anda mengiring ke kiri bagi mengelak muntah atau lendiran masuk ke paru-paru. Lap lendiran atau air liur yang keluar dari mulut,” katanya. 

Dr Azam berkata, bawa anak ke klinik atau hospital dengan segera dan biasanya doktor akan masukkan ubat rectal diazepam melalui dubur untuk mengelak sawan demam berulang atau berpanjangan. 

Anak anda kemungkinan dimasukkan ke wad walaupun tidak semua kanak-kanak perlu dimasukkan ke wad. Anak dimasukkan ke wad kerana khuatir sawan berulang, selain memastikan tiada jangkitan di otak atau penyakit lain. 

Doktor juga mungkin membuat beberapa ujian untuk mencari penyebab demam dan apabila dijangka ada jangkitan di otak, ujian cecair saraf mungkin perlu dijalankan untuk mencari dan merawat penyebab demam, selain jangkitan otak. 

“Ini kerana supaya doktor dapat memeriksa dan memastikan anak tidak menghidap meningitis atau jangkitan selaput otak berikutan demam sawan juga adalah positif untuk mendapat penyakit ini. 

“Malah, bahayanya meningitis boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh. Jika menghidap meningitis, anak akan demam berpanjangan, lemah, muntah, menangis tak henti-henti dan dalam kesakitan,” katanya. 

Menurutnya, kebanyakan kesan jangka masa panjang sawan demam tidak membahayakan. Tidak ada bukti mengatakan sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak. 

Kanak-kanak yang mengalami sawan demam memperoleh pencapaian normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan sama seperti kanak-kanak lain yang tidak mengalami masalah sawan demam. 

“Ibu bapa boleh mengawal sawan demam dengan mengawal demam anak mereka. Ini berkesan dengan cara mengelap anak yang demam dengan tuala basah daripada air paip atau air yang suam sedikit. 

“Beri anak minum ubat untuk demam atau selesema. Jangan pakaikan anak dengan pakaian tebal kerana ia boleh menaikkan lagi suhu. Buka pakaian anak dan letak di bawah kipas dan lap dengan air ke seluruh badan,” katanya. 

Beliau berkata, kajian turut menunjukkan anak yang mengalami sawan demam juga disebabkan sejarah keluarga terdekat yang menghidap epilepsi atau menghidap sawan demam ketika kecil. 


Ketika anak diserang sawan 
  • Jangan panik dan lihat jam bila serangan berlaku dan tamat.

  • Longgarkan segala pakaian.

  • Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan.

  • Baringkan anak anda mengiring ke kiri bagi mengelak muntah atau lendiran masuk ke paru-paru.

  • Lap lendiran atau air liur yang keluar dari mulut.

  • Bawa anak ke klinik atau hospital dengan segera.